Saturday, May 1, 2010

Siri 2 : Ada apa pada nama?

Kesinambungan daripada topik yang aku garap semalam mengenai gelaran2 menarik para Sahabat pada zaman kehidupan Rasullulah s.a.w; di sini aku sambung coretanku mengenai 5 orang lagi para Sahabiah Islam pada zaman itu yang mempunyai gelaran yang tidak kurang menariknya untuk dikenang. Mereka yang aku pilih untuk diabadikan di blog ini ialah :

Aisyah binti Abdullah
Saidatina Aisyah binti Abdullah @ Abu Bakar; adalah puteri pertama pasangan Abu Bakar al-Siddiq dan Ummu Ruman binti Amir. Rasulullah menikahi Aisyah pada usia enam tahun; setelah Siti Khadijah meninggal dunia. Aisyah memiliki penampilan  seorang wanita yang berwibawa dan anggun. Kerana itu, Rasulullah memberi gelaran “al-Humaira” (yang kemerah-merahan ) dek wajahnya yang cantik dengan pipi kemerah-merahan. Aisyah juga dikenali sebagai wanita yang cerdas dan pandai sehingga menjadikannya termasuk dalam golongan “al-Muktasirin” (orang yang paling banyak meriwayatkan hadis).  Isteri kesayangan Nabi saw yang wafat pada usia 63 tahun ini telah meriwayatkan hadis daripada Rasulullah saw sebanyak 2210 hadis (kalo silap tolong betulkan) . Dan antaranya, 297 hadis tercatit dalam  Kitab Sahihan dan hadis yang mencapai darjat muttafaq ‘alaih adalah sebanyak 174 hadis.

Fatimah Az Zahraa
Mungkin nama ini tidak perlu lagi diperkenalkan, malah aku yakin semua orang mengetahui tentang kehebatan puteri bongsu Rasulullah ini. Merupakan isteri kepada Ali bin Abu Talib; Fatimah mempunyai berbagai nama gelaran dalam menggambarkan pekerti dirinya. Antaranya ialah  “as Sidiqah” (wanita terpercaya) berikutan sikap amanahnya yang tinggi, “at Thahirah” (wanita suci) juga menggambarkan budi pekertinya yang terhalang dari melakukan perbuatan maksiah, “al-Mubarakah” (yang diberkahi) dan yang paling popular adalah gelaran daripada Nabi s.a.w sendiri, iaitu “Ummu Abihi” (ibu kepada bapanya) merujuk kepada sikap penyayang Fatimah yang senantiasa menjaga kebajikan Rasulullah terutamanya terpapar ketika beliau menangis membersihkan luka Rasulullah akibat perbuatan rakyat Thaif.
Barkah binti Sa’alabah
Merupakan tokoh Islam yang sangat2 penting dan amat disayangi Nabi saw. Apa tidaknya, beliau ibarat ibu kandungnya selepas pemergian ibu kandung baginda, Aminah binti Wahab. Dijamin oleh  Rasulullah sebagai wanita syurga; Barkah binti Sa’alabah diberi gelaran “Ummi Ba’ada Ummi” (Ibuku selepas ibuku) oleh baginda Nabi saw berikutan sikap kasih dan sayang beliau kepadanya dalam membesarkan Rasulullah. Beliau lebih dikenali dengan nama “Ummu Aiman” (ibu kepada Aiman) oleh para Sahabat; juga oleh kita pada hari ini, berkait dengan anaknya Aiman bin ‘Ubayd yang berperanan melakar sejarah hidupnya tersendiri bersama baginda Rsulullah s.a.w, turut berhijrah, berperang sehinggalah ia syahid pada Perang Hunain. Kerana itulah nama Ummu Aiman dan Aiman dikenali dan disanjung sebagai anak-beranak kesayangan Rasulullah dalam siri perjuangan Islam yang kita ceritakan hari ini.
Asma’ binti Abdullah
Salah seorang watak penting dalam sinopsis peristiwa Hijrah yang kita kenang2 hari ini. Lebih dikenali dengan nama Asma’ binti Abu Bakar al-Siddiq. Apa yang menarik mengenai Asma’ binti Abdullah ini yang ingin aku kongsikan adalah gelarannya yang diberikan Rasulullah iaitu “Zatin Nithaqain” (wanita yang memiliki dua tali pinggang) berikutan peristiwa ketika ingin menghantar makanan dan minuman kepada Rasulullah dan bapanya, (ketika misi hijrah ke Yathrib) Asma’ tidak memiliki tali untuk mengikat bungkusan makanan dan minuman itu, lalu tali pinggang di pinggangannya di cabut dan dipotong kepada dua untuk mengikat bungkusan2 tersebut. Apabila baginda Nabi saw mengetahui akan cerita itu, baginda berdoa kepada Allah agar Asma’ digantikan dengan tali pinggang yang lebih baik dan indah di syurga nanti.
Nusaibah Binti Ka'ab Al-Anshari
Namanya menghiasi hikayat peperangan penting dalam Islam seperti Perang Hunain, Perang Yammamah dan Perang Uhud. Wirawati Ansar ini juga terlibat dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyah dan Bai’ah Aqabah. Beliau digelar “Dar’u Rasulullah” (sang perisai Rasulullah) berikutan daripada peristiwa Uhud, Nusaibah dengan gagah berada di sisi Rasulullah, melindungi beliau. Waktu itu kebetulan pasukan kaum muslimin banyak yang lalai dan mengejar ghanimah. Nusaibah tetap lincah bergerak ke sana ke mari bersama puteranya Abdullah dan Habib. Bagi para sahabat dan Rasulullah sendiri, Nusaibah lebih dikenali dengan panggilan “Ummu Ammara” (wanita yang teguh imannya) berdasarkan kecekalan Iman beliau terhadap Islam. Beliau juga menerima khabar gembira daripada Rasulullah yang member  jaminan kepada keluarganya menjadi tetangga Rasulullah di syurga kelak.



Begitulah antara gelaran yang dimiliki oleh  5 tokoh Sahabiah yang dapat aku coretkan untuk dikongsi bersama. Seorang isteri yang taat, anak yang solehah, ibu yang penyayang, dan wirawati yang berani pada zaman Rasulullah s.a.w.

Mungkin kita semua tak mampu untuk mendapat gelaran2 terpuji seperti mereka, tetapi sementara kita hidup ini; sebelum kita menyambut panggilan Ilahi, sama2lah kita mencuba memainkan perwatakan yang seiring dianjurkan dalam Islam(pesanan untuk diriku sendiri yang lagha nih..hahaha) semoga kita tidak meninggalkan dunia ini dengan gelaran yang tidak baik kepada orang yang masih hidup.


Amiin Ya Rabbal 'Alamin…

1 comment: