Saturday, December 25, 2010

Aku Ingin Menangis.



Aku ingin menangis,
Menurutkan hati yang dilanda gerimis,
Mematuhi fitrah yang jelas tertulis,
Segenggam takdir tak mungkin terhakis,
Menyangkal pengertian ungkapan egois,
Benarkah hanya lelaki yang ampuh menangis,
Aku ingin menangis,
Akalku tidak setajam Khalid di medan Mu’tah,
Matlamat hidupku tidak setepat panahan Hamzah,
Suara jiwaku tidak selantang Bilal di subuh mencerah,
Pendirianku tidak sehebat Sulaiman membina wilayah,
Apakah ini bisikan dayus atau diriku yang mudah mengalah?
Aku ingin menangis,
Mengimbau kembali sejarah hidupku,
Pentasan dunia bersulam waktu,
Merentasi hari  menagih kurniaanMu,
Termenung sejenak diriku terpaku,
Apakah sumbanganku pada agamaMu?
Aku ingin menangis,
Ketika derai tawa menghiasi hariku,
Ketika indah mentari menemani pagiku,
Ketika garis sang pelangi menghiburkan petangku,
Ketika hening malam menemani tidurku,
Apakah terpacul dari bibirku hamburan syukur diriku padaMu?

Aku ingin menangis,
Kutahu ajal mautku tertulis ditanganMu,
Kusedar segunung doa tak mampu memutar waktu,
Namun kuyakini Engkau selalu mendengarkan aku,
Ya Allah kau biarkanlah air mata ini berlalu,
Kembalikan diriku ke jalan redhaMu.

Farhan Martnong
25 Disember 2009

Saturday, December 4, 2010

Berserah KepadaNya


Hari ini aku kempunan bertemu gembirA,
Bertamukan sedih mengundang kecewa,
Terlupa suratan nama pemberian ibubapa,
“Farhan” kalimah membawa riang gembira.
Aku tak tahu bila akan bertemu ajaL,
Kusedar tulisan takdir tuhan tak bisa disangkal,
Hanya kuharapkan lapisan imanku kian menebal,
Menempuh hariku diiringi jiwa yang kental.

Lumrah manusia hidup bergantungkan akaL,
Berpandukan pengawasan iman dari hujung ke pangkal,
Gabungan keduanya menjadi kunci  memelihara mental,
Teringat pesan atuk anak sulung bertemankan cekal.

Kenapa bisikan duka kedengaran di celah sorakan gembirA,
Satu persoalan yang sudah terbentang jawapannya,
Aku tahu Tuhan sengaja menciptakan keduanya,
Agar diriku ini tak mudah hanyut mula melupakanNya.

Diluar jendela hari semakin menceraH,
Kurniaan waktu untuk aku meneruskan kisah,
Hidup mesti diteruskan walu dihimpit gundah,
Kerana ku tahu masih ada tempat padaNya berserah.


Farhan Martnong
2 Disember 2010

Tuesday, November 30, 2010

Kisah Lucu 2 : Panggilan Telefon.


Telefon pertama.

A   : Hello... Ini kediaman Farhan Martnong?
B   : Maaf Salah nombor. Ini kediaman Amirul Shahmir.

Telefon kedua.


A : Hello... Ini kediaman Farhan Martnong?
B : Maaf, salah dail ni, encik!! Ini kediaman Amirul Shahmir. (nada kesal)


Telefon ketiga.


A : Hello...
B : Eeeh.. Kau lagi!! Kau jangan main-main. Jangan sampai aku buat laporan polis!!(marah sangat dah ni!)

A : Maaf, ini kediaman Amirul Shahmir?
B : Eh, maaf encik. Ada panggilan main-main tadi. Encik nak bercakap dengan siapa?

A : Farhan Martnong
B : ??!!@#@$!! (sambil mengusap2 dada)


Telefon ketiga.

A : Hello..
B : Kurang ajaaar!!! Kau nak mati ke ha!!!

A : Saya Amirul Shahmir...
B : Eh!!! Maaf tuan! Tadi ada orang main-main dengan panggilan telefon. Ada apa tuan?

A : Boleh tolong panggil Farhan Martnong!!
B : Hah??!! (pengsan)

Selepas 10 minit kemudian setelah tersedar dari pengsan...


Telefon keempat.

A : Hello… (suara berbeza berbanding panggilan2 terdahulu)
B : (Hmm..suara lain) Nak bercakap dengan siapa encik?

A : Ini kediaman keluarga Amirul Shahmir?
B : Ya betul…

A : Saya Farhan Martnong…, tadi ada tak orang cari saya???
B : ??@#$%^??… (terkejang!)


Friday, November 26, 2010

Kisah Lucu 1 : Kisah Mamat & Seorang Peguam. (versi Terengganu)

  
Kepada semua pembaca (terutama y bukan org Terengganu) sila baca dan fahami dengan betul. Ya-Ha!!

Mamat rase malassang nök bangung tiddo. Nye gulling-gulling atah katil. Pusing kiri, pusing kanang. Serba dök kene dia berase. Mök Lijöh blèbèr hanyaar kot luör pitu.

“Mat! Matahari nök tinggi galöh döh nim, ka’ak rezeki kalu bangung lèwat-lèwat. Mung tak dök kheje ke ari nim?”

Dök tahang kene blèbèr Mamat ppayang pong bikah bangung ceggat dari katil. Baru dia teringat pukol 11 ada kene wat kheje sikit hök Böh dia suroh kemarèng. Mamat pong jungaa tangang dia ambèk tuala.

Pèsèngang mandi P. Ramlee pulök pagi nim, al maklunglah pukol 10.30 döh. Dari Manir nök jembe ke Jalang Batah Baru tu jauh jugök. Pah tu nök kena bereti stèsèng minyok Petronah pulök dekat sipang trapik lait Pulau Musang. Döp ingat starang nok tamböh minyök kemarèng.

Dök dang 10 minit Mamat siap belake döh. Minung air kopi-ö setegök dua, lepah tu pakaa kasut kulit atah tangge kak lambo. Baru beli minggu lepah tu kasut tu. Bekilat ssiö! Lepah tu Mamat pong stak möto vroooooong!! hale ke bandö. Mötosika sèkèng hèng jer, tapi boleh tahang lah.

Jalang Batah Baru ader banyök bangunang jabbat dengang kedaa. Kalu hale ke depang sikit ada kedaa Astro, hök tv kene bayö bulang-bulang tu. Kalu tebèng dök bayö jer kena pötöng hanyaar. Lepah pada suraa Flat Batah Baru tu ada lèrèk kedaa èkong. Kedaa makang pong ada gök. Kalu jallang sikit lagi sebelum kedaa Astro tu, ada kawasang lapang tepat juaa khète baru cap Hyundaa dengang Kia.

Di antara kedaa èkong dengang kedaa Astro tu ada celöh-celöh tu jabbat löyar baru buke. Pèsèngang baru pah jadi löyar tu Mamat mari mmkir sörrang. Slo-slo Mamat naèk tikat dua. Napök gaye ader dua örang jer kherani. Llaki sörang, ppuang sörang. Boleh tahang hök ppuang tu. Tapi pakaa cicing molèk ngak kat jari manih tu. Ttunang döh pèsèngang tu. Dök napök gambö starang. Berat nnanang.

Mamat kabö ke kherani ppuang tu dia nök jjuper Tuang Löyar. Hayat hidup Mamat dök rajing jjuper löyar skali habuk. Cakkak dengang löyar jauh skali. Nye mari debö wèh.

Mamat pong ketok pitu masok. Löyar tu tengöh pegang gagang talipung cap Panasonic kat telinga dia. Wayar talipung tu tengöh beseranggöh lagi.

“I dah uruskan fixed deposit you sebanyak RM10 juta tu. Lagi satu, minggu depan ni, I nak you ikut I ke Singapore. HSBC Singapore dah buat arrangement untuk finance syarikat klien I, tak banyak, dalam 20 juta Sing dollar. Firm I jadi lawyer jugak tu. I turun KL minggu ni, kita dinner kat Shook di Starhill ok?”

Mamat bukang pandaa sangat cakak orang putih. Tapi bila dengö haa pitih die pahang. Mainang apa juta-juta nim? Mamat mari mmikir.

Löyar muder tu pong letök gagang talipung sambil-sambil kheling ujung mata tengök ke Mamat.

“Yer, nök mender? Saya sibuk sangat ni, dök tengök ker?” löyar tu tanye Mamat.

Mamat pucat kesi. Dök tahu nök kata mende. Nök jawak salöh. Tak mboh jawak salöh. Macang mase nök bangung tiddo sakning. Serbe dök kene. Sudöhhang Mamat tebèng jugök jawak.

“Sebenörnyer tuang, sayer nim kheje dengang sarikat Teleköng. Saya mari nok sambung wayar talipung hök tuang wak lölök cakkak sakning. Dök sambung lagi wayar tu, guaner lah tuang boleh cakkak döh!”

Muka tuang löyar tu jadi biru hèrang!

Döh nök wat guana starang! Nök èksèng dök betepat! Ada jugök löyar kècèk orang dèh! Pecöh bo! Orang jamang lenim kata “kantoi”!

 :-) :-) :-) :-) :-) :-) :-)

Monday, June 21, 2010

Cerpen 2: Antara Kelapa & Kurma



Matahari mengucapkan selamat tinggal ketika sang bulan hadir bertamu mengubah umur suasana. Sayup-sayup kedengaran azan berkumandang seperti lazimnya diiring paluan geduk memberi isyarat kepada semua hambaNya mempersiap diri menyembah tuhan. Di sebalik kegelapan malam yang semakin gelita, sekumpulan anak-anak desa berjalan bersama-sama jamung yang bertukar tangan silih berganti menuju destinasi yang satu sambil menjinjing naskhah Al-Quran masing-masing. Menuju tempat di mana mereka berkumpul bersama-sama sambil menghabiskan usia malam menagih ilmu tinggalan Rasulullah s.a.w  daripada seorang ulama’ yang digelar ustaz.
Pengajian tentang tata tertib Al-Quran daripada segi hukum tajwid dan tarannum serta qiraatnya, selok belok fekah bicara agama, sehinggalah huraian rentetan sirah rasul yang mulia menjadi hidangan rohani anak-anak desa ini dalam menempuh hidup seharian di bumi waqafan milik tuhan. Seperti biasa, tuan guru itu senantiasa menyambut pelita-pelita agama itu di muka pintu pondok usangnya bersama-sama secangkir senyuman menghiasi wajah lemahnya yang dipanjat usia. Penuh ikhlas, penuh bersyukur.
“Assalamualaikum ustaz.”
“Waalaikummusalam anak-anak. Jemputlah semuanya naik.”
Sahut si ustaz itu penuh rasa sayang. Mereka semua, laki-laki dan wanita sama-sama mendirikan solat fardhu berjemaah di bawah sinaran lampu minyak tanah yang dijaga rapi menerangi gelita malam di pondok itu. Selesai berjemaah beserta wirid dan doa yang diaminkan, halaqah dibentuk menandakan medan majlis ilmu bakal dimulakan. Malam itu, mereka memperdengarkan alunan qiraat Al-Quran bawaan imam A’asim al-Khufi penuh penghayatan diikuti perbincangan fekah tentang soal ibadah haji.
********************
Kebiasaannya setiap murid dalam tempoh sebulan, mereka akan memilih satu malam untuk membawa buah tangan kepada ustaz mereka sebagai tanda penghargaan kecil-kecilan terhadap susah payahnya ustaz itu menabur bakti kepada mereka tanpa meminta sebarang bayaran. Malam itu selepas tirai pengajian dilabuhkan, tradisi itu sekali lagi dijalankan. Berbagai bentuk buah tangan dihulurkan kepada tuan guru mengikut kemampuan dan latar belakang keluarga masing-masing dipersembahkan.
Pelbagai bentuk penghargaan yang dihulurkan malam itu. Ada yang menghadiahkan keperluan dapur seperti beras, garam dan gula; ada juga yang mempersembahkan hasil tanaman ladang keluaraga. Salah seorang daripada mereka; Faqih yang hidup miskin hanya mampu memberikan sebiji kelapa muda yang dipetiknya petang tadi.
Faqih memang berbeza berbanding rakan-rakan yang lain. Sudahlah anak muda ini miskin dan hidup sebatang kara, dia juga merupakan pelajar yang paling lemah akalnya dalam kalangan anak-anak muda itu. Bukan kerana dia malas malahan tidak keterlaluan jika disimpulkan dialah yang yang paling tekun menuntut ilmu serta sangat-sangat menghormati guru dan rakan sepengajian. Faqih memang sangat mahir dalam melakukan kerja-kerja kampung tetapi ketajamannya di medan ilmu sedikit tumpul. Namun dia tidak pernah kesal. Apatah lagi merungut dengan kekurangannya itu.
*********************
Malam semakin kelam merangkak dihiasi gemilau cahaya bulan yang bergemerlapan. Langkah-langkah kaki anak-anak itu semakin maju menuju pulang ke teratak kediaman masing-masing. Ketika itu Faqih cuba mempercepat langkah ingin menyaingi Safuan; pelajar yang paling pintar di antara mereka.
Ketika dirinya sejajar dengan Safuan sambil mengangkat jamung tinggi-tinggi di tangan, Faqih dengan penuh hemah menyapa rakan pengajiannya itu.
“Menarik betul pelajaran malam ini ya Safuan?”
“Ya, memanglah.”
“Tapi aku kurang fahamlah beberapa perkara. Soal berkait dengan….”
“Kalau kau tak faham, tanya lah ustaz. Buat apa bincang di sini!”
 “Oh, ya. Maaf.”
Lagak  Safuan begitu sombong setiap kali Faqih cuba mendekatinya. Bukan sahaja setiap pertanyaan atau sapaan Faqih sentiasa dilyan dingin malah sering kali juga Safuan memperkecil kemampuan rakan sepengajiannya itu.
“Tapi boleh aku tanya kau sesuatu?”
“Apa?! Kalau aku jawab pun, macamlah kau tu pandai sangat untuk faham penerangan aku!”
“Maaf. Tapi aku cuma nak tanya macam mana agaknya kita nak pergi ke Mekah? Itu saja.”
“Bodohlah kau nih! Kau kan hari-hari panjat pokok kelapa, takkan tak tahu?”
“Eh? Kenapa? Apa kaitannya?”
“Senang saja nak ke Mekah. Kau panjat pokok kelapa, kemudian kau terjun. Haa! Sampailah kat sana. Faham!?”
“Oh. Macam tu kah? Baiklah, terima kasih.”
Setelah melihat gelagat Faqih yang terangguk-angguk mempercayai setiap kata-katanya, Safuan berlalu penuh angkuh ambil tertawa kecil melihat gelagat Faqih yang percaya bulat-bulat apa yang diujarnya tadi.
“Dasar budak bodoh!” dengus Safuan dalam hati sambil berlalu pergi.
*********************
Selepas malam itu, kelibat Faqih sudah tidak kelihatan lagi pada malam-malam kemudiannya. Semua rakan-rakan termasuk ustaznya sendiri merasa aneh dengan ketidakhadirannya itu. Dia tidak pernah ponteng, waima ketika sedang sakit sekalipun dia berusaha menghadirkan diri. Safuan sedikit merasa gelisah dengan keadaan itu. Dia gusar  jika Faqih benar-benar melakukan perkara yang diberitahunya semata-mata ingin melihat tanah suci.
Dia tidak sedikitpun bimbangkan akan keselamatan rakannya itu, tetapi dia bimbangkan pandangan rakan-rakan yang lain kepadanya jika apa-apa berlaku pada Faqih ekoran kata-katanya hari itu. Kegusarannya bertambah apabila si ustaz menanyakan Safuan perihal Faqih kerana rakan-rakan yang lain mengatakan Safuanlah orang yang terakhir berbual-bual dengan Faqih tempoh hari.
Hari berganti hari, sudah hampir sepurnama lamanya Faqih menghilangkan diri. Bukan sahaja daripada majlis ilmu itu malahan seisi warga kampungnya sudah lama tidak terserempak dengannya. Ada sesetengah daripada mereka mendakwa ternampak Faqih membawa bungkusan pakaian sambil menuju ke arah sebatang pohon kelapa tidak jauh dari rumahnya. Mendengar pengakuan orang kampung itu, Safuan semakin gelisah.
“Budak tu betul-betul buat apa yang aku cakap ke?” fikir Safuan teragak-agak.
Tetapi jika Faqih benar-benar berbuat seperti apa yang disebut Safuan, sudah tentu orang-orang kampung menemukan tubuhnya, hidup atau pun meninggal dunia.
 *********************
Malam itu, sekali lagi mereka semua menyediakan cenderamata untuk guru mereka itu. Si ustaz masih lagi gelisah bercampur rindu dengan kehilangan salah seorang anak didiknya itu.
Tanpa berita, tanpa cerita.
Ketika para pelajarnya menghulurkan berbagai buah tangan kepada guru mereka itu, kelihatan susuk tubuh kecil perlahan-lahan menghampiri teratak usang milik guru tua itu.
Setelah beberapa ketika, semua pelajar sudah mula beransur pulang. Hanya tinggal Safuan yang sedang mengemas peralatan belajarnya. Ketika mereka berdua bersendirian di pondok itu tiba-tiba terdengar suara salam diberi.   
“Faqih!” si ustaz menyahut penuh gembira.
“Kemana kau pergi selama ini nak?”
Safuan yang belum sempat pulang terperanjat dengan kehadiran Faqih yang sudah sekian waktu menghilangkan diri tanpa berita. Faqih hanya tersenyum memandang mereka berdua sambil menggalas sebuah bungkusan kuning dibahunya.
“Saya ke Mekah ustaz.” jawabnya bersahaja.
Mendengar pengakuan bersahaja Faqih itu, Safuan mula terpinga-pinga. Jika tidak kerana menghormati si ustaz yang duduk di hadapannya, sudah pasti dia menghamburkan hilai tawa geli hatinya mendengarkan kata-kata Faqih itu.
Si ustaz hanya duduk tersenyum. Namun senyumannya tidak sama dengan senyuman Safuan. Senyumannya bukan senyuman sinis mendengar pengakuan daripada Faqih, tetapi senyuman ingin tahu yang disulami kepercayaan telus kepada anak didiknya itu.
“Macam ni ustaz,” Faqih mula membuka cerita sambil meletakkan bungkusan ditangannya.
“Baru-baru ini saya ada bertanya Safuan macam mana untuk pergi ke Mekah, terima kasih kepadanya kerana memberitahu saya bagaimana cara yang sepatutnya. Katanya kalau nak ke Mekah, saya perlu memanjat mana-mana pokok kelapa dan terjun dari atas. Maka sampailah ke Mekah. Saya lakukan apa yang diajar Safuan dan alhamdulillah, saya benar-benar sampai ke Mekah.” jelas Faqih panjang lebar sambil tersenyum memandang Safuan yang melihatnya dengan pandangan tidak percaya.
Safuan tidak dapat menahan tawa mendengar karutan yang diceritakan Faqih. Suasana di pondok itu tiba-tiba bingit setelah beberapa ketika ia sunyi bagai tak berpenghuni. Si ustaz meleraikan hilai tawa Safuan dan meminta Faqih meneruskan ceritanya.
Faqih menyambung cerita sebenar. Kehilangannya daripada kampung selama hampir sebulan sekali lagi dikaitkannya dengan pemergiannya ke kota suci Mekah. Ujarnya ketika terjun daripada salah satu pokok kelapa di kampungnya itu, dia betul-betul jatuh bersama bungkusan pakaian yang dibawanya di sebuah jalanan di sana. Biarpun menghadapi masalah komunikasi dengan penduduk setempat, dia mampu untuk membawa haluan dirinya di bumi asing itu dan menunaikan ibadah umrah sebagaimana yang dipelajari daripada gurunya itu.
Penduduk Mekah katanya menyambut kehadirannya dengan baik dan ramah. Dia begitu seronok menceritakan pengalamannya berdepan dengan kaabah ketika tawaf, meminum air jernih perigi zam-zam,  melihat makam Ibrahim, mencium batu suci hajarul aswad dan sempat juga dia menziarahi pusara Rasulullah bersama beberapa rangkaian para sahabat di sana.    
Safuan terlopong mendengar cerita Faqih. Dia tidak mampu menilai kebenarannya kerana dia juga tidak pernah sampai ke bumi kelahiran Rasulullah itu. Namun si ustaz yang pernah bertandang ke sana mengangguk-anggguk mempercayai setiap kata-katanya.
“Heh, jangan kau berani berbohong pada ustaz. Kalau kau yang hendak ponteng tu, mengaku sajalah!” suara Safuan.
“Demi Allah, aku tidak berbohong.” akui Faqih bersungguh-sungguh.
“Kalau begitu mana buktinya kau sampai ke sana?” soal Safuan.
Serentak itu Faqih tersenyum sambil membuka bungkusan ditangannya.
“Ketika saya ingin pulang ke sini, saya bingung memikirkan bagaimana caranya. Penduduk di sana mengatakan kepada saya untuk pulang adalah melalui cara seperti saya mula-mula datang. Tapi saya bingung kerana di sana tak ada pokok kelapa. Tapi Alhamdulillah Allah telah memberi jalan kepada saya.” jelas Faqih setelah selesai meleraikan ikatan bungkusannya.
“Saya lihat di sana ada sejenis pokok yang lebih kurang serupa dengan pokok kelapa, cuma buahnya sedikit aneh. Saya panjat pokok itu dan terjun dan saya berjaya pulang ke sini.” tambahnya sambil menghulurkan bungkusan yang terlerai itu kepada gurunya.
“Ustaz, selama ini saya hanya mampu memberikan ustaz kelapa muda yang saya petik sebagai hadiah. Kali ini saya berikan buah ini untuk ustaz, saya petik pada pokok itu di sana sebelum saya pulang. Rasanya manis dan menyegarkan. Tapi saya tidak tahu apa namanya.”
Safuan turut menjulurkan kepala ingin melihat sendiri buah yang dimaksudkan Faqih. Berbiji-biji kemerah-merahan. Aneh sekali baginya.
“Kurma…”
Si ustaz menjawab pendek sambil berlinangan air mata menerima hadiah daripada anak didiknya itu. Dia sedar segala cerita Faqih memang tidak masuk akal tetapi dia sendiri tahu tentang peribadinya yang tidak pernah bercakap bohong. Mendengar pengakuan daripada ustaz itu, Safuan akhirnya akur turut percaya.
Tiba-tiba timbul perasaan dengkinya pula kepada Faqih.
Si ustaz mengusap-usap kepala Faqih penuh kasih sayang. Bayangan pemandangan di tanah suci itu kembali mewarnai mindanya sama seperti setiap keterangan Faqih. Biji kurma yang disuapnya juga menjadi bukti kukuh pemergian anak didiknya itu ke sana.
Melihat keadaan itu, Safuan bangun dari tempat duduknya dan meminta diri untuk pulang dengan  perasaan yang penuh cemburu. Dia tidak dapat menerima kenyataan Faqih yang jauh ketinggalan daripadanya dalam pelajaran lebih dahulu menjejakkan kaki ke bumi Mekah. Malah dia langsung tidak menyangkakan omongan kosongnya tempoh hari benar-benar membawa Faqih tiba ke sana.
Safuan akhirnya nekad dengan penuh amarah cemburu.
Malam itu juga dia mencari mana-mana pokok kelapa yang ada sepanjang perjalanan pulang. Walaupun dia tahu kaedah itu sangat tidak logik namun kedengkian dan keangkuhannya melampaui pemikiran waras manusia.
“Budak bodoh tu ingat dia hebat sangat? Aku akan ke sana juga dan bawa pulang kurma yang lebih banyak daripadanya!”
Dia memilih pokok kelapa yang paling tinggi kerana fikirnya dengan cara itu dia bakal tiba di kawasan yang lebih mulia di Mekah berbanding kawasan di mana Faqih tiba. Setelah sampai di puncak pokok kelapa itu, dengan penuh ketekadan akhirnya Safuan melompat terjun daripada pokok tersebut. Dan dia akhirnya tiba.
Tiba menemui ajal bertemu tuhannya.
 -tamat-

-cerita asal secara lisan oleh Ustaz Hatta, kelas PAFA Tahun 4, SK Kelulut, Mei 2000.
-diceritakan semula secara lisan oleh Farhan Martnong, kelas Fizik 2 Sem II 09/10, CFS IIUM, Feb 2010.
-dikarang semula secara bebas oleh Farhan Martnong, Mei 2010.
Pengajaran :
1.Janganlah bongkak @ sombong ngan kawan2 kite.
2.Ikhlaslah dalam menuntut ilmu.
3.Sayangilah dan hormatilah rakan-rakan sepengajian kite.
4.Jangan panjat pokok kelapa dan terjun kalo nak pergi ke Mekah.

  


Friday, May 28, 2010

Farewell...


I wonder how much dignity there is
On this world I’m living this moment
I guess it’s all just meaningless
Or maybe it’s coz I’m  little worn out

What kind of dream should I portray?
What sort of desire should I embracing?
When He is calling for me to that day
Well, I must answer it even my leg shaking

I’m a friend of sadness of troubles
Hoping for an astonishing tomorrow
A world colored by full of conflicts
I wonder how sturdy I paint that sorrow

Whether I’m smiling or weeping
Time always passed by
Whether I’m hoping or praying
Farewell would finally on my way

I thank You with full of my heart
For all those times given by You
I hope my name is on Your right chart
On the day I come to see You

 
F.  Keeper
17th May 2010
0823 AM
In front of Cotton Island





Sunday, May 9, 2010

Cerpen 1: Nilai Mentari

                         
"sahabat sejati ibarat permata di celah serpihan kaca"


Terik mentari semakin membahang. Debu-debu di jalanan sesekali berhamburan dek tiupan angin yang berhembus menghangatkan. Seorang anak muda terus melangkah diiringi keringat bercucuran. Memikirkan destinasi yang semakin hampir, langkah itu digagahkan menapak. Hatinya begitu senang kerana kali ini tugasan hariannya berjaya disudahkan sejam lebih awal daripada kebiasaan. Memangnya satu nikmat, kerana panahan sang suria semakin galak menggigit lapisan kulit sesiapa yang berdiri dibawah sinarannya.

Setibanya di rumah, Hadi terus sahaja membaringkan tubuhnya pada hamparan tikar mengkuang di beranda. Selain sekerat tanah di hujung kampung, rumah usang itu sahajalah peninggalan arwah kedua orang tuanya. Itulah yang dijadikannya kenangan dan itu jugalah tinggalan yang harus dia pertahankan. Di sebalik helaan nafas keletihan, Hadi tiba-tiba tersenyum. Memikirkan kiriman yang diterima daripada sahabat baiknya yang jauh merantau di bumi Jerman. Alhamdulillah, sahabatnya itu sudah berjaya menggenggam segulung ijazah. Sudah bergelar seorang engineer.

Sahabatnya Ikhwan itu akan kembali ke kampung halaman. Tempat mereka berempat sama-sama membesar. Sama-sama memahat arca persahabatan dan merentas badai ombak kehidupan. Selain Ikhwan, seorang lagi sahabatnya Rahimi kini sudah bergelar doktor muda di sebuah hospital di bandar Kuala Terengganu. Manakala seorang lagi rakannya yang paling petah di antara mereka; Sufian sibuk menguruskan perniagaan warisan keluarga bersama-sama bapanya, juga di Kuala Terengganu.

Hanya dirinya yang terus menapak di kampung halaman meneruskan kehidupan di ladang. Bukan dia ketinggalan dalam pelajaran, tetapi tahap ekonomi dirinya tidak mengizinkan dan dia nekad enggan membebankan sesiapa pun walaupun bapa saudaranya Pak Azam serta sahabat-sahabatnya berkali-kali menawarkan bantuan. Dia tetap menolak. Biarlah dia membanting tulang mengusahakan tanah di hujung kampung itu dengan bertani demi meraih sesuap nasi.

“Assalamualaikum!”

Sayup kedengaran seseorang mengalunkan ucapan salam menyapu segala bayangan wajah tiga orang sahabatnya di minda. Hadi bingkas bangun untuk menemukan pemilik ucapan salam itu.

“Waalaikummusalam. Oh,kau Sufian. Masuklah, dari mana ni? Tak bagitahu nak datang. Kalau aku tak ada kat rumah macam mana?”

Sambil menanggalkan sepatu, Sufian meluru masuk dan bersalaman dengan sahabatnya itu.

“Aku dari pekan, bincang tentang stok baru dengan client tadi. Memang aku sengaja datang nak jenguk kau. Kalau kau tak ada kat rumah, apa susah aku terus saja ke ladang kau.”

“Yalah, duduklah dahulu. Aku pun baru saja balik dari ladang ni. Alhamdulillah hari ni cepat sikit kerja aku selesai. Kau nak minum?”

“Tak payah susah-susah la Di. Kalau aku betul-betul nak minum aku pergi sendiri saja ke dapur tu nanti. Duduklah. Huh,macam aku pulak tuan rumah. Eh,kau ada dapat surat daripada Ikhwan?”

Sufian bertanya sambil mengibas-ngibas sehelai helain kertas dari poket bajunya kearah Hadi.

“Ada, ini dia. Kalau ikutkan tarikh yang ditulisnya dalam surat ni, esok dia akan sampai ke kampung. Haha, tak sabar aku nak jumpa dia.”

Hadi membalas pertanyaan itu sambil mengeluarkan surat kiriman Ikhwan miliknya yang masih rapi dijaga biarpun sudah berkali-kali ia dibaca.

“Hah, aku dah agak aku punya mesti yang photocopy. Rasa-rasanya Rahimi pun dapat yang salinan jugak ni. Kau saja yang dapat versi asli. Yang kau punya dakwat pen pun biru. Aku punya hitam mesin fotostat. Si Ikhwan tu pemalas betul.”

Sufian merungut sambil membandingkan dua surat di hadapannya. Hadi cuma tergelak kecil mendengar rungutan kawannya itu. Memang benar, surat milik Sufian hanyalah salinan yang difotokopi. Tetapi dia tahu, Sufian tidak mengambil hati dengan tindakan Ikhwan itu. Mereka berdua memang selalu sahaja begitu.

“Aku dah hubungi Rahimi, insyaAllah esok dia akan datang ke sini. Kita sama-sama pergi makan kat tempat biasa, gerai roti canai Pak Jol esok. Set?!”

Hadi menyambut cadangan Sufian dengan begitu gembira sekali. Tidak sabar rasanya menantikan detik mereka berempat kembali duduk semeja. Berborak panjang. Ah, begitu banyak yang ingin dikongsi, yang ingin ditanya, dikupas satu persatu. Setelah selesai solat Zohor berjemaah bersama-sama, Sufian akhirnya meminta izin mengundur diri untuk kembali ke kilang milik bapanya di bandar. Sementara Hadi bersiap-siap ke bangsal di belakang untuk menyambung jahitan pukat milik Pak Hassan yang tertangguh semalam.

************************

Sementara menunggu kedatangan Sufian yang berjanji ingin menjemputnya, Hadi mengurut-urut pelipat kakinya. Sendinya kebas dan sedikit sakit. Malam tadi dia sukar melelapkan mata. Antara menahan rasa kesakitan itu atau terlalu girang menantikan kepulangan sahabatnya dari perantauan. Mana satu musababnya, Hadi sendiri buntu.

Setibanya di gerai yang dijanjikan, Rahimi dan Ikhwan sudah menanti bersama sekuntum senyuman. Mereka berpelukan seolah meraikan sebuah kejayaan. Apa tidaknya, sudah tiga tahun lamanya mereka tidak bersua rupa. Ikhwan masih tidak berubah. Nyata hembusan suasana kota Leipzig sedikitpun tidak menggoyahkan iman pemudanya. Dia tetap Ikhwan yang dahulu. 

Mereka berborak panjang bagaikan tiada noktah. Ada saja topik yang direncana dan didewasakan umur bicaranya. Sedang Ikhwan meneguk teh tariknya yang sudah tinggal separuh, Sufian mengeluarkan satu bungkusan.

“Ambiklah Wan, ini hadiah dari aku sempena graduasi kau. Nak hadir ke sana tengok majlis kau memang tak mungkin. Ini pun tak seberapa. Terimalah.”

Melihat tingkah Sufian, Rahimi bingkas bangun dari tempat duduknya dan mencapai satu bungkusan di meja berhampiran. Tindakan Sufian itu mengingatkannya. Dia juga ada sesuatu untuk Ikhwan. Bungkusan kecil yang dipersembahkan dengan balutan rapi dihulurkan. Ikhwan sempat berseloroh menduga isi bungkusan itu adalah rangka tengkorak manusia daripada seorang doktor, mengajak mereka semua ketawa. 

Namun Hadi diam membisu. Dia tidak pernah kesal dengan taraf kemiskinannya, tetapi dia begitu terkilan kerana saat itu dia gagal menyediakan apa-apa kepada sahabatnya itu. Memang dia tidak punya wang akhir-akhir ini. Hasil ladangnya sekarang semakin meruncing dek kemarau yang menjengah.

“Kenapa ni Hadi?”

Ikhwan mula menegur kerana sikap canggung sahabatnya itu mula disedarinya. Sufian dan Rahimi turut berpaling kearah Hadi. Menantikan jawapan.

“Maaf Wan. Aku tak sempat sediakan apa-apa untuk kau. Tak ada apa yang dapat aku jadikan sebagai hadiah kepulangan dan kejayaan kau.”

Sufian dan Rahimi mula merasa kurang enak dengan jawapan Hadi itu. Mereka berdua tidak berpakat menyediakan hadiah itu. Hanyalah kandungan naluri masing-masing yang dilahirkan serentak. Ikhwan mengeluh panjang sambil menyandarkan tubuhnya kebelakang.

“Apa yang kau merepek ni? Ada ke aku cakap aku nak hadiah? Kita berkumpul sama-sama ni pun bagi aku satu hadiah yang tak ternilai. Janganlah kau fikir sangat soal itu.”

Ikhwan menyambut sesalan Hadi itu penuh hemah. Dia tidak mahu sahabatnya itu dihimpit rasa terkilan yang bakal mencalarkan jiwanya. Sufian dan Rahimi juga menyokong kenyataan Ikhwan. Berkumpulnya mereka hari itu adalah hadiah yang amat berharga. Suatu bungkusan perasaan yang dibaluti helaian persahabatan yang tebal. Ikhwan menepuk bahu Hadi diiringi senyuman.

Dalam masa terdekat ini Ikhwan akan menghabiskan cutinya di rumah Sufian di Kuala Terengganu. Ada beberapa urusan perlu dia bereskan di bandar sebelum menempuh alam pekerjaan di sebuah syarikat swasta. Ibubapanya, Puan Hanum dan Encik Irsyad yang sudah berpindah jauh di Kemaman menyetujui kehendak anak mereka itu. Rahimi tidak dapat menumpangkan Ikhwan dirumahnya kerana jadual duty on callnya terlalu ketat waktu ini sebagai seorang doktor pelatih.

Hari beransur petang, Sufian terlebih dahulu berlalu kerana komitmennya di sebelah petang sudah dijadualkan. Rahimi juga menyusul berlalu kembali ke hospital yang sudah menjadi rumah keduanya akhir-akhir ini. Hadi mengajak Ikhwan singgah kerumahnya sebelum pulang ke kediaman Sufian. Ikhwan dengan senang hati menerima ajakan Hadi sambil mempelawanya menaiki Proton Waja yang baru dibeli bapanya beberapa hari sebelum dia tiba di Malaysia. Dalam perjalanan, mereka meneruskan bicara yang tertangguh tadi.

“Kau tak nak sambung pelajaran kau? Belum terlambat lagi ni Hadi.”

Tiba-tiba sisipan soalan itu menerjah keluar di celah-celah perbualan mereka. Hadi hanya tertunduk merenung ke bawah. Ikhwan yang meneruskan pemanduan sesekali menoleh ke sebelah menanti jawapan sahabatnya.

“Tak mengapalah Wan, aku tak pernah berfikir untuk sambung belajar balik. Mungkin rezeki aku di ladang itu saja. Sekarang memang agak susah, tapi insyaAllah nanti hasilnya akan dapat aku tagih. Berbakti pada tanah kan banyak maslahatnya.”

Hadi menjawab pertanyaan itu setelah beberapa ketika dia hanya tunduk membisu. Sejujurnya jawapannya itu memang diluahkan tanpa hakikat kejujuran. Jauh disudut hatinya dia ingin menjejakkan kaki semula ke alam universiti. Menyambung pengajiannya yang tertangguh empat tahun lalu sejurus selepas kemalangan maut yang meragut nyawa seluruh keluarganya. Ketika itu dia sedang menduduki peperiksaan akhir semester. Khabar itu hadir sejurus sebelum dia menduduki kertas akhir peperiksaan.

Masih terbayang senario pada ketika itu. Ketika Sufian berlari mendapatkannya membawa khabar tragedi itu. Sejak tarikh itu, Hadi pulang ke kampung bersama impiannya di menara gading yang seolah terkubur begitu sahaja. Dia sudah tidak punya tempat berlindung. Ongkos pengajiannya tidak mampu dibiaya. Segala-galanya diusahakan sendiri sejak itu demi meneruskan hidup di bumi Allah ini. Dia sedar dugaan yang menyapa perjalanan hidupnya bukan tiket mudah baginya menyandarkan nasib pada pihak lain. Dia tidak mahu hidup menagih. Dia yakin, ibubapanya juga mengharapkan begitu.

“Habis macam mana dengan impian kau? Kau punya masa depan cerah Di. Kau paling pintar antara kita berempat. Sayang Di, sambunglah belajar balik. Aku boleh tolong kau.”

Ikhwan menambah separuh merayu kepada Hadi. Ingin dia lihat rakannya itu berjaya seperti dirinya hari ini. Dia sedar itu bukan kali pertama dia menawarkan bantuan, sering sahaja ditolak dengan hemah oleh Hadi. Tetapi sekali lagi dia mengutarakan hal itu, kalau-kalau rakannya itu sudah berubah hati kembali ingin bergelar seorang mahasiswa menerusi bantuannya.

“Impian aku hanya satu sekarang Wan. Aku ingin kerjakan ibadah haji. Kemudian aku mahu kerjakan bagi pihak ibubapa aku. Itu impian mereka. Sekarang aku hidup untuk tujuan itu. Aku mahu jejakkan kaki di bumi Rasulullah itu. Aku mahu merasakan hembusan udara yang pernah dinikmati Rasulullah dahulu. Aku mahu mataku ini menyaksikan sendiri suasana di sana di samping beribadah padaNya. Aku impikan saat-saat itu akan muncul dalam hidupku.”

Memang perkara itu yang selalu difikirkan dalam menempuh hari-harinya. Impian untuk sampai ke bumi Makkah, sujud kepadaNya. Sering sahaja suasana indah di sana menghiasi mimpinya di malam hari. Akhir-akhir ini dia rasakan hatinya cukup terpaut untuk menyahut panggilan Allah itu. Seolah-olah setiap penjuru Kaabah memanggil-manggil namanya menyembah diri.

Ikhwan mengangguk mendengar jawapan Hadi sambil berdoa semoga impian Hadi itu terlaksana. Hadi turut mengaminkan doa itu sambil menghamburkan ucapan syukur memuji Allah. Ikhwan sudah masak dengan sikap Hadi, jika dia bilang dia mahu kerjakan haji untuk diri dan ibubapanya. Sudah pasti dia akan menolak mentah-mentah jika ada sesiapa sahaja menawarkan sumbangan kewangan. Ikhwan sedar di ketika itu, untuk perkara itu, faktor maruah itu lebih utama.

Mereka akhirnya sampai di perkarangan rumah Hadi. Tanpa dijemput, Ikhwan segera menanggalkan kasutnya dan masuk setelah salam diberi dan daun pintu dikuak. Suasana rumah itu tidak kurang nostalgianya bagi Ikhwan. Tempat dimana mereka berempat belajar mengenal kalimah agung Al-Quran berserta ajaran tarannum dan qiraat daripada bapa Hadi, Ustaz Fauzan. Masih segar dalam ingatan mereka semua ketika mereka dikerah sehingga lewat pagi di temani linangan air mata kerana gagal mengalunkan irama Al-Quran seperti yang diminta dan diajar. Memang allahyarham bapa Hadi tegas orangnya. Dia melayan Sufian, Rahimi dan Ikhwan seperti anak-anaknya sendiri. Menyebabkan mereka tidak kekok memanggil bapa Hadi itu dengan panggilan ‘abah’ sama seperti Hadi.

Ketika Ikhwan asyik membelek album lama di atas meja, Hadi berjalan keluar daripada dapur sambil menatang air kelapa muda yang dipetiknya pagi tadi. Mereka duduk di ruang tamu sambil menikmati hidangan air kelapa yang enak itu. Selepas menunaikan solat Asar dan hari semakin merangkak menanti kunjungan malam, Ikhwan meminta diri untuk pulang. Sejurus, Hadi bersiap-siap untuk ke masjid tidak jauh dari situ.

Ketika itu, kesakitan di kakinya kembali menyengat. Entah mengapa.

************************

“Pak cik dengar kawan kamu yang ke Jerman tu dah balik ke sini. Betul ke?”

Bapa saudaranya Pak Azam entah dari mana datang ketika Hadi menyarung selipar di tangga masjid untuk pulang ke rumah selepas solat Isya’. Sambil bersalaman dengan beberapa jemaah yang hadir.

“Ya pak cik. Tadi dia ada singgah di rumah sekejap. Tapi dia dah balik ke bandar petang tadi juga kerana ada urusan.”

Hadi menjawab penuh sopan sambil memapah bapa saudaranya itu menuruni tangga. Mereka berjalan seiringan. Kedudukan rumah mereka tidaklah begitu jauh. Pak Azam sudah beberapa kali mengajak Hadi tinggal bersama dia dan isterinya Mak Zakiah, tetapi sentiasa sahaja Hadi menolak kerana enggan kehadirannya menyusahkan mereka berdua. Sedang mereka perlahan-lahan mengatur langkah, terdengar sayup namanya dipanggil. Berkali-kali dilaungkan di iringi deruman bunyi enjin motosikal. Hadi kenal benar suara itu.

“Hadi! Haadi! Akhirnya aku jumpa kau. Tadi aku ke rumah kau. Tapi kau tak ada.”

Sufian menyapa separuh berteriak dengan nafasnya yang tercungap-cungap. Setelah enjin motosikal dimatikan. Lantas dia turun dan menuju ke arah Hadi dan bapa saudaranya.

“Kau kenapa ni Pian? Kena kejar hantu kah?”

Pak Azam menegur Sufian dengan wajah berkerut penuh tanda tanya. Begitu juga Hadi. Dia cuba menenangkan sahabatnya itu yang tampak keletihan.

“Ikhwan, Di.. Ikhwan!! Dia kemalangan!! Petang tadi”

Tersentak Hadi mendengar kata-kata Sufian. Lampu suluh yang setia di tangannya terlepas daripada pegangan. Tiba-tiba dia rasakan malam itu terlalu gelap. Lebih kelam daripada biasa. Peluh dingin mula menitis dari ubun-ubunnya.

“Kau biar betul Pian. Jangan main-main!”

Sufian masih termengah-mengah menyebabkan dirinya sukar untuk berkata-kata. Dia juga masih terlalu terkejut mendengarkan berita itu. Ikhwan terlibat dalam satu kemalangan jalanraya di laluan utama yang memisahkan daerah Marang dan Kuala Terengganu di kampung Rusila. Rahimi adalah orang pertama yang mengetahui berita itu kerana semua mangsa kemalangan termasuk Ikhwan sendiri dikejarkan ke hospital di mana dia bertugas.

Pak Azam menyarankan Hadi segera bergegas ke hospital dengan membonceng tunggangan Sufian kerana dia mahu pulang ke rumah terlebih dahulu untuk memaklumkan isterinya. Tanpa membuang masa mereka berdua terus menuju ke hospital yang terletak kira-kira 22 kilometer dari kampung itu. Sepanjang perjalanan Hadi tidak putus-putus mendoakan agar rakannya itu selamat daripada segala kemungkinan musibah.

Setibanya di hospital mereka disambut dengan tangisan Puan Hanum yang cuba ditenangkan oleh suaminya Encik Irsyad. Mereka mendengar perkhabaran dari Rahimi bahawa Ikhwan dalam keadaan stabil namun tubuhnya masih lemah akibat daripada beberapa kecederaan.

“Jangan bimbang mak cik, Ikhwan tak apa-apa. Dia tak mengalami sebarang kecederaan yang serius, cuma dia masih tidak sedarkan diri kerana hentakan di kepalanya.”

Rahimi cuba menenangkan Puan Hanum yang daripada tadi lagi tak henti-henti mengalirkan air mata memikirkan nasib anak tunggalnya itu. Dalam pada masa yang sama, Rahimi menarik bahu Sufian dan Hadi ke suatu sudut.

“Pian, Hadi. Berat nak aku katakan. Tapi berkemungkinan besar…”

Rahimi berhenti berkata-kata seolah-olah ada sesuatu yang mengganggu anak tekaknya. Berat rasa hatinya untuk menghabiskan kenyataan itu.

“Apa dia Im? Kau jangan macam ni, kemungkinan besar apa?”

Hadi hilang sabar mendesak Rahimi menerangkan keadaan sebenarnya sambil menggoncang kuat bahu Rahimi agak agresif sehinggakan Sufian bertindak menarik rakannya itu kebelakang minta bertenang. Tapi Rahimi tidak sedikitpun melawan. Matanya mula berkaca-kaca sambil menundukkan mukanya. Seketika itu dia kembali mengangkat kepalanya membalas renungan seribu persoalan yang terlakar di wajah Sufian dan Hadi, dia menamatkan ayatnya.

“….mungkin Ikhwan akan buta selama-lamanya.”

Sufian tersentak mendengar kata-kata Rahimi, dia sedar itu bukan gurauan. Mulutnya melopong tidak percaya. Hadi jatuh terduduk di kerusi berhampiran sambil mengusap kepalanya dengan kedua-dua belah tangan. Rahimi masih tegak berdiri kaku memerhatikan gelagat hampir sama yang ditonjolkan dua rakannya.

“Aku tak tahu macam mana nak jelaskan pada Pak cik Irsyad dan Mak cik Hanum. Matanya rosak teruk dan tak dapat diubati lagi walaupun melalui pembedahan. Cuma kaedah transplantasi kornea daripada penderma sahaja yang mampu membantu Ikhwan melihat semula”

“Ambil mata aku saja Im. Ikhwan tak boleh hadapi ini semua, dia baru nak mulakan kerjaya hidupnya. Tolonglah Im, gantikan matanya dengan mataku saja!!”

Hadi mendesak penuh harap sambil kembali menggoncang bahu Rahimi. Kali ini Sufian tidak masuk campur. Bukan kerana dia menyokong ujaran Hadi itu, tetapi dirinya sendiri masih lagi kaget dan kalau bukan Hadi, mugkin saja dia yang berteriak memaksa Rahimi mengambil matanya untuk Ikhwan. Rahimi menepis tangan Hadi agak kasar, dia memalingkan mukanya kearah bertentangan. Tidak sanggup dia memandang wajah kesedihan Hadi yang mula mengalirkan air mata.

“Kau jangan jadi gila. Tak mugkin aku lakukan semua itu. Kalau kami dapat penderma pun, orang itu bukan orang yang masih bernyawa. Aku dah selidiki rekod hospital kalau-kalau ada sukarelawan berdaftar yang sudi mendermakan kornea tapi setakat ini masih tiada. Kita semua hanya mampu berharap. Yang penting, kita semua mesti kuatkan semangat Ikhwan.”

Kata-kata Rahimi memang jelas kebenarannya. Dia tahu kenyataan Hadi sebentar tadi hanyalah biasan kesedihan ekoran berita duka itu, tetapi jika benar sekalipun tidak mugkin Rahimi sanggup menjalankannya. Suasana sibuk hospital itu sudah tidak dirasakan oleh mereka. Hadi melangkah lemah menghampiri tempat duduk ibubapa Ikhwan. Dia menawarkan diri kepada Sufian dan Rahimi, biar dia sahaja yang menyampaikan berita itu. 

Setelah beberapa ketika Hadi menghampiri ibubapa Ikhwan, Sufian dan Rahimi dapat melihat dari jauh esakan Puan Hanum semakin kuat. Teresak-esak ibu penyayang itu meratapi nasib anaknya. Encik Irsyad turut sama terduduk di sebelah isterinya sambil Hadi memegang bahunya penuh simpati.

Sejurus selepas itu, Pak Azam dan Mak Zakiah muncul menghampiri Sufian dan Rahimi. Setelah segala-galanya diceritakan, Pak Azam beristighfar panjang sambil mengiringi isterinya mendekati ibubapa Ikhwan yang masih hanyut dalam kesedihan.

************************

Bekalan makanan yang dia bawa pagi tadi perlahan-lahan dibuka. Sudah beberapa hari selera makannya seolah-olah disentap. Sudah hampir dua minggu Ikhwan terlantar di hospital akibat kemalangan jalanraya itu. Kecederaannya kian pulih kecuali dunia sekelilingnya kekal gelita kerana hilangnya salah satu pancaindera pinjaman Allah s.w.t kepadanya.

Sambil mengais-ngais bekalan nasi yang dibawanya, Hadi tiba-tiba teringat nasib malang yang menimpa Ikhwan. Masih terngiang-ngiang kata-kata pasrah Ikhwan beberapa hari selepas kemalangan itu memanjatkan syukur dan redhanya dengan nasib dan dugaan tuhan itu.

Hari itu dirasakan seolah-olah baru semalam dilabuhkan. Saat-saat semua orang di ruangan bilik Ikhwan ditempatkan mengalami perasaan yang bercampur baur. Syukur kerana kemalangan itu tidak meragut nyawanya di sulami rasa sedih kerana Ikhwan sudah tidak dapat melihat lagi. Memang peluang untuk Ikhwan kembali pulih itu masih ada, tapi semuanya bergantung kepada ketentuan masa dan ketetapanNya. Mereka berharap dalam masa terdekat, Ikhwan akan menemukan insan yang sudi mendermakan kornea kepadanya.

Bekalan makanan itu akhirnya ditutup kembali tanpa dijamah sedikitpun. Hadi langsung tidak punya selera, amukan lapar perutnya tidak dilayan malah dia bingkas bangkit menghala ke arah batas-batas sawi yang baru sahaja digemburkan. Ketika berjalan menghampiri penyangkul, pandangannya mula kabur, langkahnya tiba-tiba tidak teratur. Selangkah dua selepas itu, Hadi sudah tidak mampu menahan dirinya jatuh menyembah bumi.

Dalam keadaan separuh sedar, Hadi dapat memerhatikan wajah Pak Azam yang memapahnya bangun menghampiri bangsal tadi. Ketika tubuhnya disandarkan ke dinding papan bangsal itu, tiba-tiba Hadi mengaduh kesakitan di celahan sendi lututnya. Kesakitan yang semakin menggigit sehingga hampir sahaja dia berteriak. Melihat reaksi Hadi itu, Pak Azam cepat-cepat memapahnya untuk dibawa pulang ke rumah.

************************

Saat kelopak matanya dibuka, Hadi tersedar dirinya berbaring di satu sudut tamu rumah ibubapa saudaranya. Pak Azam yang dari tadi sedang membelek keratan akhbar bangkit dari tempat duduknya menghampiri Hadi yang baru terjaga.

“Kamu ni terlalu letih Hadi, janganlah paksa diri sangat kerja tu, sampai bekalan yang kamu bawak sendiri pun kamu tak makan. Bahaya macam ni.”

Pak Azam menegur tingkah anak saudaranya itu penuh hikmah dalam nada nasihat seorang bapa. Hadi diselubungi rasa bersalah kerana sikap keras kepalanya menyebabkan dirinya menyusahkan bapa saudaranya itu. Ketika memohon maaf atas tindakannya, Mak Zakiah keluar dari dapur sambil membawa dulang berisi semangkuk sup segar dan sepinggan nasi berlauk untuk Hadi. Sungguh enak rasanya sehingga Hadi tidak mampu menolak lagi, lagipun dia sendiri memang sedang kelaparan.

“Sakit kaki kamu tu macam teruk je, Hadi ada jatuh kat mana-mana ke masa buat kerja di ladang tu?”

Mak Zakiah menegur sambil duduk di hadapan Hadi memerhatikan anak saudaranya itu menyudu sup yang direnehnya penuh nikmat.

“Tak ada lah makcik, mungkin sebab letih sangat kot.”

“Pakcik ingat nak bawa kamu ke hospital tadi, tapi singgah di rumah ni dulu. Lepas ni kita ke hospital ye?”

Pak Azam pula meningkah dari sofa yang didudukinya sambil menghirup perlahan-lahan teh panas yang baru sahaja dihidangkan isterinya.

“Tak apalah pakcik, biar saya pergi sendiri sahaja petang nanti. Pakcik jangan bimbang, saya janji saya pergi nanti.”

“Baiklah kalau begitu, tapi jangan tidak-tidak Hadi, apa-apa jadi nanti kamu juga yang susah. Pakcik ingatkan saja. Kalau tak pakcik akan panggil si Rahimi tu kesini nanti”

Pak Azam akhirnya beralah namun tetap berkeras mahu memastikan anak saudaranya itu betul-betul menunaikan permintaannya berjumpa doktor. Hadi hanya membalas ujaran itu dengan senyuman lemah penuh terima kasih. Bahang mentari di luar semakin terik memancar, sedikit mengecewakan Hadi yang masih ingin menyambung baki tugasannya di ladang. Ketika sisa sup di mangkuk ingin dihabiskan, rasa sakit itu kembali hinggap. Menyucuk-nyucuk, sama seperti yang dirasanya di ladang tadi dan ketika dia ingin tidur semalam.

Tapi rasa itu ditahan disebalik senyuman.


************************
Hadi menuruni anak tangga rumahnya dengan lemah satu persatu. Tubuhnya direhatkan pada sebuah kerusi malas di beranda rumahnya. Kerusi yang selalu diduduki arwah bapanya dahulu. Sambil meletakkan secawan kopi di sebelah, Hadi cuba memejamkan mata menagih ketenangan di samping hembusan dingin yang membelai malam itu. Cuba mengingatkan kembali peristiwa di hospital beberapa hari lepas.

Masih terngiang-ngiang di telinganya akan khabar buruk yang bertamu dalam hidupnnya beberapa hari lepas. Perlahan-lahan air matanya gugur berlinangan. Hatinya runtun apabila kembali mengenangkan pengakuan doktor yang ditemuinya. Hanya sedikit rasa lega bercambah ketika dia menerima berita itu, Rahimi tidak ada bersamanya kerana sedang sibuk dengan beberapa pesakit lain.

“Berat hati ingin saya katakan, kamu mengidap penyakit Osteoid Osteoma, kanser tulang yang serius pada femur dan tibia kamu. Pada mulanya ia masih di tahap benign yang kurang bahaya. Tapi sekarang penyakit itu sudah melarat ke tahap malignan yang serius.”

“Terukkah keadaan saya ni tuan? Ada apa-apa yang perlu dilakukan?”

Hadi bersuara lesu menyambut berita itu. Dia tidak tahu apa lagi yang ingin ditanya. Rasa terkejut dan sedih mula menghimpit-himpit jiwanya. Memang benar rasa sakit di bahagian pahanya itu sudah lama ditahan-tahan. Tapi tidak pula dia sangka sampai begitu tahap bahayanya.

“Saya sudah lakukan “surgical staging" untuk tentukan rawatan terbaik untuk kamu, hasilnya kamu mesti menjalani pembedahan segera membuang bahagian ‘nidus’ yang membengkak itu untuk mengurangkan kesakitan itu. Tapi….”

“Tapi apa tuan? Saya mungkin tak hidup lama?”

Hadi memintas dengan suara yang tertahan-tahan. Matanya semakin sayu menagih kebenaran. Jauh di lubuk sanubarinya dia bersedia menghadapi apa saja ketentuan Allah kepadanya. Doktor Saiful menolak meja dan bangun dari kerusinya sambil mengusap-usap dagunya lalu menambah.

“Kemungkinan kejayaan pembedahan ini cuma 50%. Jika berjaya sekalipun, kemungkinan nidus itu akan kembali tumbuh adalah sebanyak 75% malah mungkin lebih teruk dari yang sebelumnya tetapi rawatan susulan akan membantu menangani masalah itu. Tapi jika kamu tolak pembedahan ini, peluang kamu untuk hidup saya tak jamin kamu dapat bertahan lebih darpada tiga bulan.”

Hadi memahami setiap kata-kata itu, dirasakan seolah-olah dunia ini sudah berakhir baginya. Jika dia menolak pembedahan itu, peluang untuk dia menjalani kehidupan dunia hanya sependek tiga bulan dan jika dia menerima pembedahan itu mungkin kembara hidupnya lebih panjang atau akan lebih singkat daripada tempoh itu. Hadi keliru. Dia meminta tempoh untuk memikirkan dalam-dalam tindakan yang bakal diambilnya. Walaupun Doktor Saiful beriya-iya mahu dia menjalankan pembedahan kerana jika ianya berjaya, peluang untuk Hadi sembuh sepenuhnya masih terbuka.

Bunyi kelapa yang luruh ke bumi dari pohon tidak jauh di depan rumahnya memberhentikan lamunan Hadi. Sekarang dia sudah punya keputusan. Sudah tiga malam istikharah kepadaNya dia kerjakan. Suara jiwanya sudah muktamad. Petunjuk dari Allah mengisi kapasiti hatinya dengan ketenangan dan redha.

Tiba-tiba lakaran senyuman mewarnai wajahnya memikirkan tindakan yang bakal diambilnya. Hatinya tiba-tiba terasa begitu senang. Sedikit rasa syukur itu bertandang kerana Allah menganugerahkan ketabahan kepadanya menghadapi penyakit maut itu. Hadi nekad tidak mahu mempersia-sia peluang daripada impak pembedahan itu untuk satu tujuan yang bermain dibenaknya ketika itu. Segera nombor Rahimi dan Sufian didail untuk meminta kedua sahabatnya datang bertemu dengannya.

************************

“Kau biar betul Di, kenapa kau rahsiakan semua ni dari kami semua!?”

Rahimi sungguh terkejut mendengar penerangan daripada Hadi sebentar tadi. Sufian pula diam membisu menahan air matanya yang mula menakung.

“Rahsia apa? Bukankah aku baru saja bagitau kamu berdua?”

“Mula-mula Ikhwan, sekarang kau pula. Malah kau lebih teruk, kenapa begini!?

Sufian masih sukar menerima kenyataan itu. Dia menumbuk-numbuk lantai tidak percaya. Dia tidak berniat mempersoalkan ketentuan qada’ dan qadar tuhan, tetapi dia tidak dapat menahan rasa hiba dan kecewanya menerima berita itu. Hadi tenang menggengam kedua-dua tangan sahabatnya. Sambil memeluk serentak dua sahabatnya itu, Hadi berbisik perlahan menyampaikan hasrat hatinya.

Sufian dan Rahimi terdiam mendengarkan permintaan Hadi. Serentak mereka berdua tidak dapat menahan takungan air mata yang akhirnya deras mengalir. Permintaan Hadi itu sangat menghibakan mereka. Setelah menagih janji daripada mereka, Sufian dan Rahimi akhirnya akur tak mampu menolak lagi.

“Aku sudah sampaikan hasrat hatiku ini pada kedua-dua ibubapa saudaraku. Mereka tidak membantah ataupun menerima. Tetapi mereka serahkan pada aku membuat keputusan. Dan ini keputusan aku Im. Aku harap kau dapat tolong aku nanti. Itu saja yang buat aku sedikit gembira sekarang.”

Rahimi mengangguk lemah, begitu juga Sufian. Jika itu keinginan Hadi, mereka terpaksa turutkan. Perasaan hiba menyelubungi perbualan mereka ketika itu. Masing-masing kembali diam membisu. Atmosfera ini sangat-sangat aneh dirasakan. Biarpun Hadi kelihatan tenang, namun mereka berdua dapat membaca keperitan yang disembunyikan Hadi.

************************

Telefon berdering di kediaman Encik Irsyad dan keluarganya. Ikhwan yang semakin mahir menggunakan tongkat selaku si buta, perlahan-lahan menghampiri teriakan telefon itu yang semakin bingit minta dijawab. Suara disebalik panggilan itu mengajak hatinya gembira. Panggilan itu datangnya dari Doktor Hakim, specialist yang mengikuti perkembangan masalah penglihatan Ihkwan.

Doktor Hakim mengkhabarkan ada seorang sukarelawan yang sudi mendermakan sepasang kornea untuk Ikhwan. Hatinya melonjak gembira memaut syukur ke hadrat Ilahi. Dia menyambut baik berita itu dengan titisan air mata gembira. Tidak sabar rasanya untuk menyampaikan berita itu kepada ibubapa dan sahabat-sahabat tercintanya. Setelah mengucapkan terima kasih kepada Doktor Hakim, Ikhwan lantas mendail nombor Hadi.

“Di, aku ada berita baik. Tadi Doktor Hakim beritahu aku, ada penderma yang ingin dermakan matanya padaku !!”

“Wah, baguslah macam tu. Tak lama lagi kau akan dapat melihat semula. Syukurlah. Aku tumpang gembira dengan berita ini. Bila pembedahan kau akan dijalankan?”

“Belum tahu lagi Di, tapi dalam masa terdekat ini agaknya. Tak sabar aku nak beritahu ibubapaku, Rahimi dan Sufian.”

Mereka berbual beberapa ketika. Setelah ganggang diletakkan tanda akhir perbualan, Ikhwan lantas menyampaikan berita itu kepada insan-insan kesayangannya yang lain.

Ikhwan sedikitpun tidak perasan, suara sambutan Sufian dan Rahimi yang sedikit mendatar menyambut berita itu. Dalam hati, mereka tidak mahu membantutkan kegembiraan yang bertandang dalam hidup Ikhwan mengenai hal tentang Hadi. Setelah melihat hari-hari yang ditempuhi Ikhwan begitu sukar sekali.

************************

Alhamdulillah, pembedahan transplantasi kornea itu berjalan dengan jaya. Mereka semua menunggu lilitan di kepala Ikhwan dibuka. Pak Azam, Mak Cik Zakiah, Encik Irsyad, Puan Hanum, Sufian dan Rahimi semuanya ada disitu. Lebih-lebih lagi rahimi yang sentiasa berada disisi Ikhwan kerana dia salah seorang doktor yang terlibat dalam pembedahan itu.

Selepas beberapa hari, Rahimi menghuraikan ilitan di kepala Ikhwan itu perlahan-lahan, penuh teliti sambil diperhatikan Doktor Hakim. Yang lainnya menanti penuh debar. Setelah ikatan itu sempurna dirungkai, Rahimi bersuara perlahan.

“Cuba kau buka mata kau perlahan-lahan Wan. Mungkin sakit sedikit, tapi kau cuba buka perlahan-lahan.”

Ikhwan menuruti arahan Rahimi dengan muka yang berkerut menahan panah silau cahaya di ruang bilik itu. Sudah hampir tiga bulan dunianya yang gelita ini akan kembali disirami cahaya. Dia tidak sabar untuk kembali melihat dunia, menatap wajah-wajah kesayangannya.

Setelah beberapa ketika, Ikhwan kembali dapat melihat dengan jelas. Alhamdulillah. Bilik itu bergema dengan ucapan syukur ke hadrat Ilahi. Yang paling gembira sudah tentu Puan Hanum dan Encik Irsyad. Ikhwan sendiri sudah pasti merasakan perasaan itu. Dia menatap wajah-wajah di bilik itu satu-satu. Wajah mereka yang berdiri memandangnya. Puan Hanum terus sahaja membelai kepala anaknya itu. Setelah pipi ibunya dicium berkali-kali. Ikhwan mula merasa aneh.

“Mana Hadi?

Pertanyaan Ikhwan itu menyebabkan bilik itu kembali sunyi. Puan Hanum dan Mak Zakiah tidak mampu lagi menahan tangis. Air mata kedua-dua ibu itu kembali deras bercucuran. Mak Zakiah terutamanya tidak mampu lagi menahan esakan hatinya. Pak Azam dan Encik Irsyad hanya diam membisu. Tidak sanggup melahirkan kata-kata. Sufian berjalan mundar-mandir tidak keruan. Rahimi akhirnya bersuara membuatkan Sufian berhenti melangkah dan menolah ke luar jendela.

“Hadi ada bersama kau Ikhwan.”

Ikhwan merasa aneh dengan ujaran sahabatnya itu. Apatah lagi memerhatikan tingkah Rahimi yang menanggalkan kacamatanya tunduk seolah-olah menahan sebak. Sufian masih lagi tidak keruan memandang luar jendela. Anak matanya bergenang memandang ke jalanan di luar jendela tanpa arah. Melihat sikap Sufian yang biasanya petah berbicara menjadi diam seribu bahasa, Ikhwan semakin hairan.

Selepas menyapu wajahnya dan berdehem beberapa ketika. Sufian akhirnya berpusing menghadap Ikhwan. Bagaikan bersedia merungkai satu misteri, perlahan-lahan Sufian mengeluarkan nota kecil dari poketnya. Tanpa berkata apa-apa, Ikhwan menyambutnya dengan penuh tanda tanya. Setelah itu, Sufian berlalu memalingkan diri mendekati Rahimi yang terduduk memandang syiling di suatu sudut.

Setiap perkataan di kertas itu ditatapnya satu persatu.

“Assalamualaikum…

Aku tak tahu bagaimana mengolah kata menyuratkan segala yang tersirat dihatiku ketika ini. Sudah berkali-kali aku cuba mencari cantuman perkataan yang sesuai. Surat ini juga sudah kulupa sudah berapa sekian kalinya aku coretkan. Apa yang aku pasti, jika kau sedang membaca coretan ini, maka di saat itu aku sudah tiada, berangkat jauh menempuh alam yang baru. Aku memohon maaf kerana merahsiakan semua ini daripada kau. Aku tak sanggup menambah kedukaanmu yang tersedia ada. Jujur aku katakan aku langsung tidak menyangka kesakitan yang kutahan selama ini adalah berpunca dari penyakit kanser tulang yang kronik. Aku terpaksa menerima pilihan pembedahan yang aku juga tidak pasti ianya berjaya atau tidak. Tapi aku nekad, jika umurku tamat di saat itu, aku tak mahu pemergianku itu sia-sia. Kepada Sufian dan Rahimi aku sampaikan hajat terakhirku. Jika ditakdirkan aku tewas di kamar pembedahan, aku mahu kau ambil anak mataku Ikhwan. Anggaplah ini hadiah dariku. Aku terfikir ketika ini, aku sahaja yang masih belum memberikan apa-apa hadiah atas kejayaan kau menempa ijazah di bumi Jerman. Anggaplah mata pinjaman tuhan milikku dahulu ini hadiah kenang-kenangan dariku. Aku mahu menamatkan usiaku dengan senyuman gembira kerana walaupun hidupku berakhir dengan impian yang gagal dicapai, aku juga mampu memberi sesuatu kepada kau insan yang kusayang. Janganlah kau salahkan Sufian dan Rahimi tentang semua plot kejadian ini, kerana ini semua kehendak aku. Kenanglah namaku dalam doa-doamu. Kau jadikanlah perkataan HADI pada namaku itu satu tema bimbingan masa depan gemilangmu. Janganlah kau gunakan mata itu menangisi pemergianku. Bimbinglah mataku itu melihat dunia, melakar cerita. Masa depan yang gemilang menanti hari-hari mukamu Ikhwan. Pandanglah alam yang terbentang, maka aku turut memandangnya. Pandanglah gemilau cahaya mentari maka aku juga turut menikmatinya. Tinggalkan hari-hari gelita dukamu. Tempuhilah hari-hari bercahaya gembiramu. Teruskanlah agendamu berjuang di jalan Allah. Moga Allah sentiasa dihatimu. Aku juga akan sentiasa bersamamu.

Selamat tinggal sahabat…

Hadi Fakhrulddin Fauzan”

Helaian itu terlepas daripada pegangannya. Ikhwan tidak dapat menahan hiba. Rasa sedih kehilangan seorang sahabat yang disayanginya membasmi segala kegembiraannya sebentar tadi. Tangannya meraba-raba kelopak matanya diiringi cecair jernih bercucuran. Semakin galak berlinangan. 

Melihat reaksi Ikhwan, Sufian tidak mampu lagi menahan sebaknya. Dia tahu, tangisan darinya hanya akan membuat Ikhwan bertambah sayu. Tapi dia juga manusia biasa. Dan insan yang pergi itu juga sahabat baiknya.

Lautan emosi kehibaan menyelubungi situasi tegar dalam bilik itu. Perlahan-lahan tangan Ikhwan kembali mengais-ngais helaian kertas yang terlepas daripada pegangannya tadi. Memerhatikan sekali lagi benarkah pengirim itu Hadi Fakhrulddin Fauzan; sahabat baiknya dari zaman kanak-kanak lagi.

Setelah beberapa ketika, Ikhwan teringat kata-kata Hadi tidak lama dulu.

“Impian aku hanya satu sekarang Wan. Aku ingin kerjakan ibadah haji. Kemudian aku mahu kerjakan bagi pihak ibubapa aku. Itu impian mereka. Sekarang aku hidup untuk tujuan itu. Aku mahu jejakkan kaki di bumi Rasulullah itu. Aku mahu merasakan hembusan udara yang pernah dinikmati Rasulullah dahulu. Aku mahu mataku ini menyaksikan sendiri suasana di sana di samping beribadah padaNya. Aku impikan saat-saat itu akan muncul dalam hidupku.”

Ikhwan sedar impian Hadi itu tinggal impian. Tetapi baginya ia masih ada cara. Ikhwan memasang niat, apabila bersedia nanti, impian Hadi untuk ke tanah suci akan dilaksanakannya.

“Aku akan laksanakannya Hadi….. Aku akan 'bawa' kau melihat Baitullah….”

Getaran kata-kata sayu yang lemah terpacul daripada bibirnya. Sufian dan Rahimi menghampiri dirinya. Mereka bertiga menahan sebak mengenangkan pemergian teman sejati yang menyahut panggilan Ilahi. Sahabat yang sukar dicari ganti. 

Diluar jendela, Ikhwan kembali dapat melihat sinaran indah mentari. Nikmat tuhan yang beberapa ketika diragut olehNya. Kini disebalik cereka menyayat hati itu, Ikhwan kembali menikmati sinaran mentari yang indah mewarnai bumi yang terbentang.

Tetapi kali ini, nilai sinaran mentari itu terlalu tinggi baginya. Lebih bernilai daripada sinaran semalam.


martnong
14th July 2007
modified on 6-8th May 2010

-tamat-


Watak2 dalam cerpen ini adalah rekaan semata-mata kerana aku tak ingin ada dalam kalangan sahabatku di luar sana menempuh jalan kehidupan seperti ini. Cerita asalnya yang aku tulis sekitar 36 halaman, tetapi kali ini aku edit kembali sehingga tinggal 10 halaman untuk dikongsi.

Hargailah sahabat2 anda...

~~Sekian...