Friday, April 30, 2010

Siri 1 : Ada apa pada nama?

Semalam aku ada bersembang dengan seorang rakan, memang senang bersembang dengannya kerana jarang aku rasakan kandungan perbualan kami itu hanyalah sekadar bualan kosong. Hmm, kalau bualan kosong sekalipun bukankah angka 0 itu lebih bernilai daripada -1?

Sedang kami bersembang dalam selaan nafas lontaran pendapat masing-masing mengenai beberapa perkara, rakan yang aku maksudkan aku ini tiba-tiba mengajukan satu persoalan.

“does a person's name effect their personality?”

Seperti biasa setiap soalan biasanya aku balas dengan jawapan mengikut versi perspektif pendapat fikiranku (kadang2 ada jugak fakta betul punye). Tapi apabila aku imbau kembali soalan yang diajukan itu, sejenak aku terfikir persoalan itu tidak kurang menariknya untuk dibicarakan. Sesetengah orang merasakan nama yang diberi oleh ibubapa mereka sebagai satu amanah. Sesetengah orang pula hanya menganggap perkataan yang tertera pada MyKad or MyKid mereka itu sekadar pengenalan diri. Tak lebih daripada itu? Berbalik kepada soalan yang diajukan rakan aku tadi :

Adakah nama seseorang itu sudah cukup untuk menggambarkan perwatakan bawaan seseorang itu?

Dan jika digandingkan dengan persoalan ini…

Adakah kita mampu menjadi watak seperti perwatakan yang tersirat di sebalik nama kita itu?

Pelbagai pendapat yang dapat kita kompilasikan mengikut kacamata masing-masing. Tapi pendapat yang aku fikir sangat relevan; biasanya nama pemberian ibubapa jarang berpadanan dengan perwatakan seseorang, (kadang-kadang ada jugak) tapi kebiasaannya nama gelaran/nickname seseorang itu daripada orang lain lebih menepati gambaran kriteria individu terbabit. Tapi apa yang pasti isu nama samaran ataupun nickname ini bukan lagi suatu perkara yang baru. Malah sudah berdekad.

Jika disingkap sejarah dizaman Rasulullah s.a.w, dalam kalangan Sahabat juga mempunyai nama gelaran yang menarik menggambarkan sikap masing-masing. Disini aku lampirkan beberapa gelaran menarik para sahabat beserta peristiwa disebalik gelaran itu. Antaranya :



Abdullah Bin Uthman
Mungkin tak ramai yang tahu nama ini, tapi sebut sahaja Abu Bakar al-Siddiq baru ramai yang cakap, “Ooo, Abu Bakar.” Menyingkap sejarah hidup Abdullah bin Uthman, dahulu ibu beliau sudah beberapa kali melahirkan anak lelaki yang akhirnya meninggal dunia, jadi si ibu ini bernazar jika sekali lagi dikurniakan anak lelaki yang sihat maka akan dia didik anak itu menjadi hamba kepada kaabah maka dari situlah beliau digelar “Abdul Kaabah” dan apabila meningkat dewasa digelar “Abdul Atiq” (hamba umah purba iaitu nama lain Kaabah). Tapi selepas pengislaman, beliau terkenal dengan nama “Abu Bakar” (bapa dini/Awal) memandangkan beliau merupakan pelopor utama dalam perjuangan Islam. Dan gelaran “al-Siddiq” semua orang sedia maklum la kan berkait sifat beliau yang sentiasa membenarkan setiap kata-kata Rasulullah.

Umar bin Al-Khattab
Satu nama yang sangat2 dihormati dan digeruni baik dalam kalangan orang2 Arab mahupun syaitan sekalipun. Sebelum memeluk Islam, orang2 Quraisy menggelarkannya “al-A’zim” (yang besar/agung) kerana kegagahan dan kehormatan yang dimiliknya. Merupakan pengganti Abu Bakar dalam barisan Khulafa’ Ar-Rasyidin. Salah seorang sahabat yang begitu versatile sekali. Sama ada sebagai sahabat, panglima perang mahupun pemimpin Negara. Saat2 pemerintahannya dikenali sebagai zaman keemasan umat Islam di mana beliau telah berjaya meluaskan empayar Islam dengan menakluki Mesir ,Palestin, Syria, Afrika Utara dan Armenia. Beliau juga memperkenalkan sistem perundangan yang tersusun dan tegas sehingga mendapat jolokan “al-Faruq” (pemisah antara hak dan batil) ekoran kesungguhannya menjalankan tugasan khalifah.

Jaafar Bin Abu Talib
Rata-rata orang pasti mengenali nama pendakwah ajaran Islam ini kan? Nama Jaafar bin Abu Talib adalah nama yang kita kenang dan juga merupakan nama asal beliau. Namun pada zaman Rasululullah, Jaafar lebih dikenali dengan nama “Abul Masakin” (bapa orang-morang miskin) berikutan sikapnya baiknya terhadap jiran tertangga dan orang-orang miskin dengan selalu mengajak mereka makan bersama-sama beliau. Allah swt juga memberikan gelaran khas kepada si Jaafar ini iaitu “At-Tayyar” (yang terbang melayang) berikutan kehebatannya memimpin umat Islam dalam Perang Mu’tah sehingga syahid. Kepahlawanan beliau amat mengagumkan dengan gagah memegang panji Islam di atas kuda tunggangannya sehingga menampakkan dirinya seolah sedang terbang membelah ribuan tentera Hercules.

Abdul Rahman bin Sakhr Al-Azdi
Salah seorang perawi hadis yang tersohor namanya hingga masa kini. Namanya sering dikaitkan dengan hikayat Hadis, Sirah dan Feqah. Namun nama yang tercatat dalam buku-buku itu biasanya dinukilkan dengan nama “Abu Hurairah” (bapa kucing). Pada mulanya Abdul Rahman bin SAkhr Al Adzi ini di saat kelahirannya dinamakan “Abdu Syamms” (hamba matahari) sebelum pengislamannya kerana ibunya adalah antara muslimah yang keras hati menolak Islam sehinggakan Abdul Rahman menangis memohon Rasululullah berdoa untuk ibunya menerima hidayah. Gelaran Abu Hurairah lahir kerana sikap Abdul Rahman yang sangat cintakan haiwan terutamanya kucing. Beliau juga memelihara seekor kucing dan sering diletakkan didaalam kain lenagn bajunya sehingga sering kali diusik Rasulullah.

Khalid bin Al Walid
Namanya harum meniti bibir sejarawan bukan sahaja umat Islam malah penganut agama-agama lain. Salah seorang komander Islam yang terhebat; melalui 100 pertarungan hebat tanpa dapat dikalahkan. Sebelum memeluk Islam, Khalid merupak panglima taktikal perang tentera kafir Quraisy. Sehinggakan kebijaksanaanya dalam perang menyukarkan umat Islam. Namanya pasti disebut2 dalam setiap peperangan sama ada kejayaan kafir di Uhud atau kemenangan luar jangkaan Islam di Mu’tah. Semuanya kerana ketajaman akal beliau. Sehingga Allah swt memberi gelaran “Saifullah al-Maslul” (pedang Allah yang terhunus) kepadanya. Berikutan kebijaksanaannya dalam menyusun strategi perang terutama dalam peperangan Mu’tah ketika 3000 tentera Islam berdepan 200 000 tentera Parsi pimpinan Hercules. Hmm..kalau nak diceritakan strategi peperangannya ketika itu memang sangat2 mengagumkan.

Begitulah cerita gelaran2 unik 5 orang Sahabat yang aku pilih; seorang sahabat karib, khalifah agung, pendakwah awal Islam, ilmuwan terkenal dan juga komander perang tersohor. Dan ramai lagi para Sahabat dalam sejarah Islam bersama dengan gelaran unik mereka.


-akan datang!! : Kisah 5 orang Sahabat daripada kaum wanita pula akan aku coretkan…

Wednesday, April 28, 2010

Cerpen 1 : Lelaki Misteri Berlumuran Darah !!



“Muaz, bangun! Dah lewat ni. Dah dekat pukul 3 pagi, tadi kau cakap nak siapkan tutorial tu malam ni jugak.”

Rahman bersuara keras sambil bersungguh-sungguh menggoncang tubuh rakan sebiliknya yang terkulai kaku diulit mimpi. Jika diikutkan hati nakalnya, mahu sahaja tubuh kurus rakannya itu ditolak terus dari katil jatuh menyembah bumi sambil menantikan reaksi menarik yang bakal dipersembahkan pemuda Melaka itu. Tapi dia sedar, bergurau pun ada batas-batasnya.

“Eh,betul ke Man? Kan aku dah cakap kejutkan aku sebelum pukul 11? Macam mana ni? Dah pukul 3 eh?”

“Kau ni pakai je jam mahal-mahal, time mandi pun tak bukak, tapi malu nak tengok jam kau tu dah pukul berapa sekarang. Baru pukul 10.30 la”

Rahman membalas bersahaja sambil berlalu ke compartment bersebelahan menyambung kerjanya yang tertangguh.

“Hai,bape kali aku nak cakap? Jam yang aku pakai ni rosak, sebelum beli lagi dah rosak. Tapi sebab aku dah terbeli so aku pakai je la, tu pasal time mandi pun aku tak bukak. Sebelum ni pun kalo orang tanya aku bedal je pukul berapa pun sambil buat-buat tengok jam kat tangan ni.”

“Ada aku kesah ke ko bagitahu sume ni?”

Rahman membalas pendek sambil melontar riak wajah straight face lookingnya kearah Muaz. Sukar untuk meneka perasaan sebenar budak kacamata ini kerana jika dia gembira, letih, terkejut walhal mengantuk sekalipun; riak wajahnya tetap sama. Rileks dan penuh ketenangan. Respon bersahaja Rahman itu menyebabkan Muaz tiba-tiba diundang rasa ingin ketawa dengan gelagat rakannya itu. Dia tahu walaupun kadang-kadang Rahman agak sukar melakar senyuman diwajahnya, tapi rakannya ini lah yang selalu membantunya dan sentiasa ada di saat-saat dia memerlukan tanpa sebarang keluhan.

Selepas ke tandas sebentar untuk berwuduk dan menyegarkan diri, Muaz terus ke meja tulisnya lantas mencapai sebatang pen sambil mencari-cari helaian kertas tutorial yang ingin disempurnakannya malam itu juga. Namun lembaran kertas yang dicari-carinya gagal di kesan. Sudah berkali-kali buku-buku yang tersusun di meja dibelek satu persatu penuh teliti. Namun hampa.

“Man, ko ada nampak tak kertas tutorial aku kat atas meja ni? Rasanya aku letak kat sini petang tadi”

“Jangan tanya aku, aku tak sedar pun kewujudan ko petang tadi kat bilik ni, atau pun lebih tepat, aku tak nak sedar pun kewujudan ko kat bilik ni petang tadi. Hahahahaha”

Rahman membalas bersahaja dengan niat mengusik rakannya itu. Tapi seperti biasa, riak wajahnya masih tidak berubah walaupun perkataan ‘hahaha’ terpacul dari mulutnya penuh bertenaga. namun setelah mendengar pertanyaan Muaz itu, Rahman bingkas sahaja bangun dari tempat duduknya untuk membantu menemukan helaian-helain kertas itu.

“Aih, aku rasa aku tertinggal kat SMAWP la kertas tu, masa kelas petang tadi. Adoi!! Jauh la pulak nak pegi amik”

Muaz mengeluh sambil menumbuk genggaman tangan kanannya bertemu tapak tangan kirinya penuh kegeraman.

“Cakap la ko takut, kan senang. Nak aku temankan ke pegi sana? Jom.”

“Hahahaha. Mana ada aku takut, buat malu je join silat kalo aku ni masih penakut.”

“So, ko nak cakap orang yang join silat ni asal dia penakut la? Dan mereka cuba untuk tak nampak penakut sebab tu  join silat?”

“Dah la Man, layan ko maka kosong la markah tutorial aku”

Muaz mendengus seperti mengalami kekalahan berderetan.

“Rilek la, marah ke? Jom la aku temankan.”

Rahman membalas memujuk penuh keikhlasan. Tapi ekspresi wajahnya tetap sama.

“Haha. Tak ade lah. Aku pergi sendiri. Ko pegi la sambung keje ko tuh. Lagipun aku ingat nak singgah bilik kawan jap nanti”

“Ok la kalo macam tu. Baik-baik jalan. Hati-hati. Jangan duduk lama-lama sangat kat sana. Ada apa-apa call aku.”

“Aku nak pegi SMAWP je, bukan nak pegi Makkah buat umrah. Ish, ko nih. Ada nak pesan ape-ape lagi? Nak buat kenduri selamat ke dulu? Haha”

“Pape la Muaz, emm.. Tak kesah…”

                                       **********************************************


Suasana sunyi SMAWP 3; bangunan paling usang di bumi kampus UIA ini diganggu derapan tapak kaki seseorang sayup-sayup kedengaran semakin menjelas. Dalam kemalapan malam berbalam-balam, tercacak susuk tubuh Muaz menghampiri pintu bilik berlabel S3013 yang terletak agak jauh di hujung blok usang itu. Sudah pasti keadaan bilik itu juga lebih gelap berbanding bilik-bilik yang lain.

“Adoi, TNB buat lawak pulak malam-malam macam ni tak de elektrik kat blok nih. Masa aku tak nak datang sini malam-malam, elok pulak lampu terbukak.”

Muaz mengomel seorang diri menyesali keadaan lampu pendaflour bilik itu yang gagal berfungsi dek ketiadaan bekalan elektrik yang disalurkan ke blok itu seperti biasa. Dalam kegelapan malam itu, Muaz meraba-raba mencari kertas tutorialnya di kerusi yang dia duduki sewaktu kelas pada petang tadi.

“Cari apa tu ha!?”

Jantung Muaz ketika itu seakan-akan diragut kerana terlalu terkejut mendengar suara garau lelaki yang datang entah dari mana. Tak disedari dirinya jatuh terduduk pada salah satu kerusi yang tersusun rapi di dalam bilik itu. Sekilas pada waktu itu, ayat-ayat suci Al-Quran mula mewarnai benak fikirannya. Dalam beberapa ketika, ketika matanya yang sengaja dipejamkan tadi dibuka perlahan-lahan, suara itu kembali berbunyi.

“Kamu cari kertas ini ke?”

Kali ini Muaz sedikit lega apabila mendapati suara itu milik seorang lelaki pertengahan umur yang berdiri gah di depannya.

“Er,iya pak cik. Maaf, saya terkejut tadi. Er, macam mana pak cik tahu saya cari kertas ini?”

Muaz menyusun perbualan sambil tangannya menahan geletar dek kejutan sebantar tadi yang belum reda seraya menyambut helaian kertas yang dihulurkan lelaki itu.

Tiba-tiba lelaki itu menyeringai sambil menampakkan giginya yang agak tajam berwarna putih kemerah-merahan. Seraya lelaki itu ketawa dan saat itu Muaz mula enggan mempercayai apa yang dilihatnya.

Setelah diyakini dengan teliti, dia pasti dengan penglihatannya. Baju lelaki itu berlumuran cecair merah pekat yang masih segar seakan-akan ada sesuatu yang ngeri baru sahaja berlaku sambil dia mengharapkan perkara itu tidak sama dengan apa yang bermain dalam fikirannya. Ketika itu juga baru dia sedari, kertas yang baru sahaja diterimanya memang tidak syak lagi kertas yang dicari-carinya tapi helaian-helain itu juga disaluti dengan warna kemerahan.

“Maaf pakcik,boleh saya tanya, kenapa dengan baju pakcik tu?”

Muaz memberanikan diri bertanya sambil seolah-olah cuba menyorokkan kertas di tangannya kebelakang apabila dia menyedari lelaki itu masih tegak berdiri asyik mengawasi gerak-gerinya.

“Hehehehehehehehehe….. Anak muda hai anak muda. Kenapa kau seolah-olah takut melihat pakcik? Hahahaha… Tak pernah pula pakcik jumpa budak yang ramah tiba-tiba kaku seperti kamu. Hahahaha”

Lelaki itu membalas pertanyaan Muaz berselang-seli dengan tawanya yang cukup menyeramkan. Sambil itu dia cuba merapati selangkah demi langkah menghampiri Muaz yang masih kaku tidak berganjak. Ketika itu teringat pesanan Rahman kepadanya.

“Ok la kalo macam tu. Baik-baik jalan. Hati-hati. Jangan duduk lama-lama sangat kat sana. Ada apa-apa call aku.”

Hatinya berbisik. “ Ini ke yang kau maksudkan Man?”

Semakin lelaki itu mendekati, Muaz mula mula tersedar seperti ada satu tamparan kesedaran hinggap di pipinya. Dia mula menyusun langkah menjauhi lelaki itu dengan penuh hati-hati. Penuh waspada.

“Ah! Jangan takut. Allah saja yang layak ditakuti. Sesungguhnya Dia bersama aku!!”

Fikiran Muaz meniup sedikit kekuatan hatinya untuk berdepan situasi itu sambil mulutnya mula berbisik mengalunkan ayat-ayat suci yang terlintas di benak akal kesedarannya. Lelaki itu masih melangkah lemah seolah menjingkit-jingkit mendekati.

Ketika lelaki itu mendekati, sekilas cahaya lampu jalanan di luar bilik menyimbah tubuh lelaki itu.

Muaz benar-benar tidak percaya dengan apa yang dilihatnya kali ini.

Sebentar tadi dia benar-benar yakin pakaian lelaki itu berlumuran dengan darah. Tapi apabila pandangan kali kedua ini singgah kearah lelaki itu, darah itu seolah-olah tidak pernah ada. Hilang sama sekali.

Dia yakin akalnya masih waras. Derianya masih tajam. Hatinya masih kukuh padaNya. Sekali lagi Muaz memberanikan diri bertanya kepada lelaki tadi.

“Maaf pakcik saya nak tanya. Kalau tak silap saya, saya macam nampak baju pakcik tadi penuh dengan cecair macam darah. Err..tapi nampak macam dah bersih pula sekarang.”

Lelaki itu membalas dengan senyuman penuh misteri.

Dan lelaki itu mula mengangakan mulutnya.

“ Hahahahahahahaha… Itulah kau budak, kau tak pernah gunakannya bukan? Kau tak pernah gunakannya”

Segunung persoalan memenuhi fikirannya.

“Guna? Guna apa? Apa kaitan benda pakcik ni maksudkan dengan baju yang berlumuran darah tadi?”

Muaz berbisik penuh tanda tanya. Lelaki tadi menyambung kembali kata-katanya sambil tersenyum.

“Hahahaha..Ini lah keajaiban serbuk pencuci DAIA!! Hanya dengan sesudu sukatan , pakaian anda akan kembali bersih seperti sedia kala."

"Darah? Lumpur? Kotoran degil?"

"Bukan masalah lagi. DAIA!! Lupakan yang lain”

“Cis!”

Muaz mengeluh sambil menggenggam buku limanya erat-erat.


-tamat-


                                   ********************************************
                                                              tempat kejadian
                                    ********************************************

Salam Perkenalan : Permulaan satu kembara.

Assalamualaikum wbt…

Lapangan puji-pujian langitan syukur dipanjatkan kepada Robbul 'Alamin; Allah swt atas segala lautan rahmatNya yang tidak mampu dihitung, secangkir kasih iringan selawat tanda ingatan diabadikan ke hadrat Rasulullah tercinta; Muhammad s.a.w pembawa cahaya umat akhir zaman, secangkir sisipan salam dihamparkan kepada para Sahabat, barisan tabiin, tabi'u tabi'in, sofful mujahiddin seantero sewarjagat.

Sesungguhnya setiap sesuatu itu pasti berdepan hakikat permulaan. ‘Permulaan’ itu merupakan suatu pengalaman yang aneh, di mana pelbagai rasa tiba-tiba bertandang satu persatu tanpa dijemput membentuk satu acuan menghiasi hidangan setiap sesuatu perkara. Jika ingin dirungkap satu persatu perasaan yang terbentuk di samping hakikat berdepan satu permulaan itu, mungkin baris-baris huraiannya jika dilampirkan mampu menyaingi ketinggian gunung yang melangit.

Sesiapa sahaja yang menghambur ujaran bahawa dirinya tidak merasa apa-apa ketika memulakan sesuatu kembara (permulaan) sesungguhnya dia telah membohongi dirinya sendiri.

                                                                 gambar hiasan
 
Mungkin ini yang aku rasakan ketika ini. Sekilas jika direnungkan pada hari-hari semalam aku tidak langsung menyangka aku akan turut terjun ke ‘lautan’ blogging ini. Apatah lagi aku ini tidak pandai ‘berenang’. Juga aku ini tidak punya ‘kapal’ yang megah untuk dijadikan kenderaan mengajak rakan menikmati ‘perlayaran’ yang indah.

Namun melihat rakan-rakan seangkatan seronok memulakan ‘pelayaran’ dan ada di antara mereka yang aku sifatkan sudah mencapai gelaran 'nakhoda' di lautan ini, hatiku berbisik mengajak untuk turut sama turun ‘berlayar’. Bukan aku menghajatkan pangkat ‘nakhoda’ itu. Apatah lagi memasang cita menakluki ‘lautan’ itu. Tapi aku ingin rasanya mencuba merasai dan mengenali apakah balik-balik sisipan yang tersirat di sebalik segala suratan yang bakal aku kemudi.

Dulu aku sifatkan dunia blogging dan Farhan Mahmud seperti gabungan pertemuan di antara minyak dan air. Bisa bertemu tapi tidak bisa bersatu. Tetapi mungkin benar kata pepatah;

“Kilat mampu menyambar”


Seribu kemungkinan itu boleh berlaku dalam hidup ini.

Akhirnya aku turut sama menempatkan diri di lautan kembara ini. Buat masa ini tidak ada apa yang aku cari, tidak ada apa yang aku impi,tidak ada apa yang aku janji di arena ini. Cuma alasan yang paling relevan menjengah di lubuk hati sejenak aku berfikir, apabila saat aku pergi meninggalkkan dunia ini, mungkin halaman-halaman ini dapat aku jadikan tinggalan kepada rakan-rakan yang aku cintai.

p/s : Kalo Google or blogspot tak buat hal la pegi banned blog aku nih…

Kerana sudah banyak pengalaman PERMULAAN yang aku akhiri dengan PENGAKHIRAN, namun aku tidak pasti apa yang aku tinggalkan sebagai kenangan. Mungkin di saat 26 September 1990 ketika aku bertemu permulaan sebagai seorang insan bernyawa; di saat perpisahan aku dengan dunia ini nanti, blog ini dapat aku abadikan sebagai salah satu kenangan kepada semua.

Akhir kalam penutup bicara pembuka cerita, aku mengucapkan selamat bertemu kepada semua di laman ini. Juga aku tadahkan pohon kemaafan andai kehadiran aku di laman ini diiringi khilaf yang tidak aku sedari. Segala yang baik itu datang dariNya.

Wasalam...