Friday, April 30, 2010

Siri 1 : Ada apa pada nama?

Semalam aku ada bersembang dengan seorang rakan, memang senang bersembang dengannya kerana jarang aku rasakan kandungan perbualan kami itu hanyalah sekadar bualan kosong. Hmm, kalau bualan kosong sekalipun bukankah angka 0 itu lebih bernilai daripada -1?

Sedang kami bersembang dalam selaan nafas lontaran pendapat masing-masing mengenai beberapa perkara, rakan yang aku maksudkan aku ini tiba-tiba mengajukan satu persoalan.

“does a person's name effect their personality?”

Seperti biasa setiap soalan biasanya aku balas dengan jawapan mengikut versi perspektif pendapat fikiranku (kadang2 ada jugak fakta betul punye). Tapi apabila aku imbau kembali soalan yang diajukan itu, sejenak aku terfikir persoalan itu tidak kurang menariknya untuk dibicarakan. Sesetengah orang merasakan nama yang diberi oleh ibubapa mereka sebagai satu amanah. Sesetengah orang pula hanya menganggap perkataan yang tertera pada MyKad or MyKid mereka itu sekadar pengenalan diri. Tak lebih daripada itu? Berbalik kepada soalan yang diajukan rakan aku tadi :

Adakah nama seseorang itu sudah cukup untuk menggambarkan perwatakan bawaan seseorang itu?

Dan jika digandingkan dengan persoalan ini…

Adakah kita mampu menjadi watak seperti perwatakan yang tersirat di sebalik nama kita itu?

Pelbagai pendapat yang dapat kita kompilasikan mengikut kacamata masing-masing. Tapi pendapat yang aku fikir sangat relevan; biasanya nama pemberian ibubapa jarang berpadanan dengan perwatakan seseorang, (kadang-kadang ada jugak) tapi kebiasaannya nama gelaran/nickname seseorang itu daripada orang lain lebih menepati gambaran kriteria individu terbabit. Tapi apa yang pasti isu nama samaran ataupun nickname ini bukan lagi suatu perkara yang baru. Malah sudah berdekad.

Jika disingkap sejarah dizaman Rasulullah s.a.w, dalam kalangan Sahabat juga mempunyai nama gelaran yang menarik menggambarkan sikap masing-masing. Disini aku lampirkan beberapa gelaran menarik para sahabat beserta peristiwa disebalik gelaran itu. Antaranya :



Abdullah Bin Uthman
Mungkin tak ramai yang tahu nama ini, tapi sebut sahaja Abu Bakar al-Siddiq baru ramai yang cakap, “Ooo, Abu Bakar.” Menyingkap sejarah hidup Abdullah bin Uthman, dahulu ibu beliau sudah beberapa kali melahirkan anak lelaki yang akhirnya meninggal dunia, jadi si ibu ini bernazar jika sekali lagi dikurniakan anak lelaki yang sihat maka akan dia didik anak itu menjadi hamba kepada kaabah maka dari situlah beliau digelar “Abdul Kaabah” dan apabila meningkat dewasa digelar “Abdul Atiq” (hamba umah purba iaitu nama lain Kaabah). Tapi selepas pengislaman, beliau terkenal dengan nama “Abu Bakar” (bapa dini/Awal) memandangkan beliau merupakan pelopor utama dalam perjuangan Islam. Dan gelaran “al-Siddiq” semua orang sedia maklum la kan berkait sifat beliau yang sentiasa membenarkan setiap kata-kata Rasulullah.

Umar bin Al-Khattab
Satu nama yang sangat2 dihormati dan digeruni baik dalam kalangan orang2 Arab mahupun syaitan sekalipun. Sebelum memeluk Islam, orang2 Quraisy menggelarkannya “al-A’zim” (yang besar/agung) kerana kegagahan dan kehormatan yang dimiliknya. Merupakan pengganti Abu Bakar dalam barisan Khulafa’ Ar-Rasyidin. Salah seorang sahabat yang begitu versatile sekali. Sama ada sebagai sahabat, panglima perang mahupun pemimpin Negara. Saat2 pemerintahannya dikenali sebagai zaman keemasan umat Islam di mana beliau telah berjaya meluaskan empayar Islam dengan menakluki Mesir ,Palestin, Syria, Afrika Utara dan Armenia. Beliau juga memperkenalkan sistem perundangan yang tersusun dan tegas sehingga mendapat jolokan “al-Faruq” (pemisah antara hak dan batil) ekoran kesungguhannya menjalankan tugasan khalifah.

Jaafar Bin Abu Talib
Rata-rata orang pasti mengenali nama pendakwah ajaran Islam ini kan? Nama Jaafar bin Abu Talib adalah nama yang kita kenang dan juga merupakan nama asal beliau. Namun pada zaman Rasululullah, Jaafar lebih dikenali dengan nama “Abul Masakin” (bapa orang-morang miskin) berikutan sikapnya baiknya terhadap jiran tertangga dan orang-orang miskin dengan selalu mengajak mereka makan bersama-sama beliau. Allah swt juga memberikan gelaran khas kepada si Jaafar ini iaitu “At-Tayyar” (yang terbang melayang) berikutan kehebatannya memimpin umat Islam dalam Perang Mu’tah sehingga syahid. Kepahlawanan beliau amat mengagumkan dengan gagah memegang panji Islam di atas kuda tunggangannya sehingga menampakkan dirinya seolah sedang terbang membelah ribuan tentera Hercules.

Abdul Rahman bin Sakhr Al-Azdi
Salah seorang perawi hadis yang tersohor namanya hingga masa kini. Namanya sering dikaitkan dengan hikayat Hadis, Sirah dan Feqah. Namun nama yang tercatat dalam buku-buku itu biasanya dinukilkan dengan nama “Abu Hurairah” (bapa kucing). Pada mulanya Abdul Rahman bin SAkhr Al Adzi ini di saat kelahirannya dinamakan “Abdu Syamms” (hamba matahari) sebelum pengislamannya kerana ibunya adalah antara muslimah yang keras hati menolak Islam sehinggakan Abdul Rahman menangis memohon Rasululullah berdoa untuk ibunya menerima hidayah. Gelaran Abu Hurairah lahir kerana sikap Abdul Rahman yang sangat cintakan haiwan terutamanya kucing. Beliau juga memelihara seekor kucing dan sering diletakkan didaalam kain lenagn bajunya sehingga sering kali diusik Rasulullah.

Khalid bin Al Walid
Namanya harum meniti bibir sejarawan bukan sahaja umat Islam malah penganut agama-agama lain. Salah seorang komander Islam yang terhebat; melalui 100 pertarungan hebat tanpa dapat dikalahkan. Sebelum memeluk Islam, Khalid merupak panglima taktikal perang tentera kafir Quraisy. Sehinggakan kebijaksanaanya dalam perang menyukarkan umat Islam. Namanya pasti disebut2 dalam setiap peperangan sama ada kejayaan kafir di Uhud atau kemenangan luar jangkaan Islam di Mu’tah. Semuanya kerana ketajaman akal beliau. Sehingga Allah swt memberi gelaran “Saifullah al-Maslul” (pedang Allah yang terhunus) kepadanya. Berikutan kebijaksanaannya dalam menyusun strategi perang terutama dalam peperangan Mu’tah ketika 3000 tentera Islam berdepan 200 000 tentera Parsi pimpinan Hercules. Hmm..kalau nak diceritakan strategi peperangannya ketika itu memang sangat2 mengagumkan.

Begitulah cerita gelaran2 unik 5 orang Sahabat yang aku pilih; seorang sahabat karib, khalifah agung, pendakwah awal Islam, ilmuwan terkenal dan juga komander perang tersohor. Dan ramai lagi para Sahabat dalam sejarah Islam bersama dengan gelaran unik mereka.


-akan datang!! : Kisah 5 orang Sahabat daripada kaum wanita pula akan aku coretkan…

No comments:

Post a Comment