Wednesday, April 28, 2010

Salam Perkenalan : Permulaan satu kembara.

Assalamualaikum wbt…

Lapangan puji-pujian langitan syukur dipanjatkan kepada Robbul 'Alamin; Allah swt atas segala lautan rahmatNya yang tidak mampu dihitung, secangkir kasih iringan selawat tanda ingatan diabadikan ke hadrat Rasulullah tercinta; Muhammad s.a.w pembawa cahaya umat akhir zaman, secangkir sisipan salam dihamparkan kepada para Sahabat, barisan tabiin, tabi'u tabi'in, sofful mujahiddin seantero sewarjagat.

Sesungguhnya setiap sesuatu itu pasti berdepan hakikat permulaan. ‘Permulaan’ itu merupakan suatu pengalaman yang aneh, di mana pelbagai rasa tiba-tiba bertandang satu persatu tanpa dijemput membentuk satu acuan menghiasi hidangan setiap sesuatu perkara. Jika ingin dirungkap satu persatu perasaan yang terbentuk di samping hakikat berdepan satu permulaan itu, mungkin baris-baris huraiannya jika dilampirkan mampu menyaingi ketinggian gunung yang melangit.

Sesiapa sahaja yang menghambur ujaran bahawa dirinya tidak merasa apa-apa ketika memulakan sesuatu kembara (permulaan) sesungguhnya dia telah membohongi dirinya sendiri.

                                                                 gambar hiasan
 
Mungkin ini yang aku rasakan ketika ini. Sekilas jika direnungkan pada hari-hari semalam aku tidak langsung menyangka aku akan turut terjun ke ‘lautan’ blogging ini. Apatah lagi aku ini tidak pandai ‘berenang’. Juga aku ini tidak punya ‘kapal’ yang megah untuk dijadikan kenderaan mengajak rakan menikmati ‘perlayaran’ yang indah.

Namun melihat rakan-rakan seangkatan seronok memulakan ‘pelayaran’ dan ada di antara mereka yang aku sifatkan sudah mencapai gelaran 'nakhoda' di lautan ini, hatiku berbisik mengajak untuk turut sama turun ‘berlayar’. Bukan aku menghajatkan pangkat ‘nakhoda’ itu. Apatah lagi memasang cita menakluki ‘lautan’ itu. Tapi aku ingin rasanya mencuba merasai dan mengenali apakah balik-balik sisipan yang tersirat di sebalik segala suratan yang bakal aku kemudi.

Dulu aku sifatkan dunia blogging dan Farhan Mahmud seperti gabungan pertemuan di antara minyak dan air. Bisa bertemu tapi tidak bisa bersatu. Tetapi mungkin benar kata pepatah;

“Kilat mampu menyambar”


Seribu kemungkinan itu boleh berlaku dalam hidup ini.

Akhirnya aku turut sama menempatkan diri di lautan kembara ini. Buat masa ini tidak ada apa yang aku cari, tidak ada apa yang aku impi,tidak ada apa yang aku janji di arena ini. Cuma alasan yang paling relevan menjengah di lubuk hati sejenak aku berfikir, apabila saat aku pergi meninggalkkan dunia ini, mungkin halaman-halaman ini dapat aku jadikan tinggalan kepada rakan-rakan yang aku cintai.

p/s : Kalo Google or blogspot tak buat hal la pegi banned blog aku nih…

Kerana sudah banyak pengalaman PERMULAAN yang aku akhiri dengan PENGAKHIRAN, namun aku tidak pasti apa yang aku tinggalkan sebagai kenangan. Mungkin di saat 26 September 1990 ketika aku bertemu permulaan sebagai seorang insan bernyawa; di saat perpisahan aku dengan dunia ini nanti, blog ini dapat aku abadikan sebagai salah satu kenangan kepada semua.

Akhir kalam penutup bicara pembuka cerita, aku mengucapkan selamat bertemu kepada semua di laman ini. Juga aku tadahkan pohon kemaafan andai kehadiran aku di laman ini diiringi khilaf yang tidak aku sedari. Segala yang baik itu datang dariNya.

Wasalam...
 

2 comments:

  1. salam...
    bagus akhirnya dpt melihat Paan meng'aksi'kan jari-jemarinya yg kreatif di layar Internet..
    kalo x rse malu or segan,usha ar blog ni nor-azhar.blogspot.com..(cehhh promte plak!)

    ReplyDelete
  2. haha.. usha? aq dh lama tgk blog ko tuh..ad lam bookmark kt laptop ni ha..

    ReplyDelete