Monday, May 7, 2012

I'm Loser

I'm a loser
I'm a loser
And I'm not what I appear to be

Of all the love I have won or have lost

there is one love I should never have crossed
She was a girl in a million, my friend
I should have known she would win in the end

I'm a loser

And I lost someone who's near to me
I'm a loser
And I'm not what I appear to be

Although I laugh and I act like a clown

Beneath this mask I am wearing a frown
My tears are falling like rain from the sky
Is it for her or myself that I cry

I'm a loser

And I lost someone who's near to me
I'm a loser
And I'm not what I appear to be

What have I done to deserve such a fate

I realize I have left it too late
And so it's true, pride comes before a fall
I'm telling you so that you won't lose all

I'm a loser

And I lost someone who's near to me
I'm a loser
And I'm not what I appear to be

Saturday, March 17, 2012

Mata Meneman Minda

dan ketika malam diulit usia
ketika itu mata terus terjaga
berkelip-kelip mengerling suasana
melirik sekeliling mencari punca.

tiada mentari yang memancar terang
hanya bulan menyinar tenang
mata memandang ke dinding sini
ketika minda ke awan sana.

apa yang berputar di minda
sukar dihentikan begitu saja
apa yang bermain diminda
sukar ditentukan pemenangnya.

aku sedang  mencuba
biarpun tidak sehabis upaya
aku tidak berputus asa
biarpun zahir tiada usaha.

ketika mata terus terjaga
dan hati terus berdoa padaNya
ketika jiwa sedih meronta
dan hati senang melihatnya bahagia.


 -farhan martnong-
-16th march 2012-



Tuesday, February 21, 2012

Pasang Surut Hati

Setelah melalui beberapa bulan yang penuh dilema, akhirnya keputusan nekad diambil. Ternyata, hati aku masih disini. Walaupun kadang-kadang hatiku ini mendesak merayu-rayu untuk aku meninggalkan bumi Kuantan.

Jika aku menerima tawaran itu, besar kemungkinannya aku akan kekal berpangkalan di bumi Darul Iman selama tiga tahun; sebelum memulakan siri pelayaran bertahun-tahun merentas lautan. Peluang hanya datang sekali, keputusan muktamad juga hanya sekali. Cuma bolak-balik hati itu pasti datang beribu kali.

Kerana kondisi hati itu, pasti ada pasang surutnya.

Tawaran itu datang ketika aku terlalu cinta dengan dunia kejururawatan. Kalaulah tawaran itu datang pada pertengahan tahun 2010, sudah pasti peluang itu akan ku sambar tanpa sempat aku mengenal bumi Kuantan. Itulah ketentuan Allah. pasti ada hikmahnya.


"Allah pasti memberikan sesuatu yang kita perlu, walaupun kadang-kadang itu bukanlah apa yang kita mahu"



Pemergian ke Felda Selancar untuk melawat keluarga angkatku di sana menjadi pateri jawapan selamat tinggalku kepada tawaran itu. Kalau tidak, pasti aku sudah membawa diri menghadiri sesi temuduga di Kuala Lumpur.
 
Mungkin ini yang terbaik untukku, mungkin jalan ini yang paling lurus buatku, mungkin 'dunia' ini tempat terbaik persinggahanku. Sebelum segala-galanya dihisab di sana. 
  
Katanya hati, teruskan sahaja apa yang dimulakan. Seperti mintaku dalam doa setiap hari.


"Ya muqalibal qulub, thabit qalbi 'ala diinik wa'ala to'atik"

Pasang surut hati kadangkala satu ujian.
Pasang surut hati kadangkala satu nikmat.
Pasang surut hati kadangkala satu permainan.
Pasang surut hati kadangkala satu amaran.


Istiqamahlah dengan istikharah. Biar Dia memandu hati kita ke jalan redhaNya.




Teringat pesan Ummi di kampung.


"dalam kita mencari rezeki, jangan lupa redha Ilahi."



Thursday, February 16, 2012

Wirawati yang Tak Didendang

Assalamualaikum wbt.

Hati ini sungguh tertarik dengan isi kuliah yang disampaikan Madam Haliza Hasan pagi tadi. Ternyata benar, subjek Community Health Nursing 1 terlalu luas untuk dikupas dan dirungkai satu persatu. Biarpun wajah aku kekal layu di dalam dewan kuliah dengan wajah tanpa senyuman, jauh beribu batu aku begitu tertarik dengan isi yang disampaikan beliau.

Begitu banyak yang disampaikannya melalui beberapa siri topik perbincangan yang didewasakan.

Aku tertarik dengan satu perkara.

Jururawat pertama di dunia.

Satu dunia kejururawatan kenal siapa itu Florent Nightingale. Dia wirawati dunia barat. Jururawat tersohor. Ya, harus kita contohi dan teladani.

Tapi pesan Madam Haliza tadi, jangan lupa
Rufaydah al-Aslamiyah. Dia jururawat terawal tetapi kisahnya tidak direkodkan dengan baik.

Dia adalah...

Wirawati yang tak didendang.


Mendengar kata-kata Madam Haliza sebentar tadi, aku mula terkenang betapa jalan yang aku lalui sekarang begitu mendekatkan diriku dengan sirah Rasulullah s.a.w.

Rufaydah al-Islamiyah wanita berani menjadi jururawat Muslimin, yang mendirikan khemah dimedan perang.

Dan khemah itulah 'hospital' pertama umat Islam.

Siapa yang dirawatnya?

Tidak lain tidak bukan para Mujahidin yang berjuang di sisi Rasulullah s.a.w dan baginda sendiri.

Ya, benar. Ilmu aku begitu cetek untuk berbicara tentang bidang kejururawatan. Apatah lagi untuk menentukan siapa jururawat pertama? Siapa jururawat terulung? 

Tapi bagiku itu tidak penting. Kerana hati aku kemas mengatakan Rufaydah al-Islamiyah adalah  jururawat yang terawal.

Ketika seisi dewan kuliah sedang mendengar kata-kata Madam Haliza, dan beberapa sahabat ku turut sama berbicara melontarkan pendapat. Ketika itu, beberapa lagi nama wirawati Islam singgah di benakku.

Ummu Aiman dan Ummu Amarah.

Ummu Amarah begitu hebat menghunus pedang bersama angkatan mujahidin di medan perang. Ya, dia seorang wanita. Wanita yang berani.

Ummu Aiman?

Dia ibu angkat kesayangan baginda Rasulullah. Dia tidak berdaya untuk berperang, tetapi turut sama dalam peperangan Uhud dan Khaibar.

Untuk apa?

Untuk tampil sebagai jururawat, yang memberi rawatan kepada tentera Islam yang tercedera. Yang juga menjadi jururawat luka anak yang dikasihinya; Muhammad s.a.w.

Aku tersenyum seorang diri di dalam dewan kuliah. Dan aku berpusing ke belakang. Memerhati ke serata kelas. Ya, aku lelaki dalam jurusan kejururawatan. Dikelilingku begitu ramai wanita. Sejenak aku terfikir, ya Allah mungkinkah antara mereka ini bakal menjadi wirawati seperti Rufaydah al-Islamiyah dan Ummu Aiman?
 
Jika benar, aku cukup berbesar hati turut sama dalam bidang ini. Sesungguhnya bidang ini bidang yang mulia. Bukan Madam Haliza sahaja yang mengatakannya, tetapi semua pensyarah-pensayarah ku disini mengatakan perkara yang sama.

Dan itulah juga kata-kata ibuku.

Thursday, February 9, 2012

My Philosophy


Any minute now
My ship is coming in
I'll keep checking the horizon
I'll stand and bow
Feel the waves come crashing

Come crashing down
Down, down on me
And you still be my love

Open up your heart
let the light shine in
Don't you understand?
I already have a plan
I'm waiting for my real life to begin
My real life to begin

Oh, don't you understand?
I already have a plan
I'm waiting for my real life to begin

On a clear way
I can see
See a very long way


Scrubs : Season 2, Episode 13.




Saturday, February 4, 2012

Salam Maulidur Rasul 1433H



Ali ibn Abi Thalib duduk terdiam menahan kesedihan,
Uthman al-Affan pucat wajahnya begitu terkesan,  

Umar al-Khattab menggeletar hiba cuba menafikan,

Abu Bakar as-Siddiq melangkah lesu cuba bertahan,

Rasulullah sudah pergi dijemput Tuhan,
Setelah dakwah lembaran Islam disempurnakan,

"Barang siapa yang menyembah Muhammad, ketahuilah bahawa dia telah pergi,

tetapi barang siapa yang menyembah Allah, sungguh Dia itu kekal dan abadi."

Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan,
Manusia termulia disanjung sepanjang zaman,

Buktikan cinta kita kepadanya,
Amalkan ajaran dan sunnah baginda,


-phyxsius-



“Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa Rasul.  Apakah jika ia wafat atau dibunuh, kamu akan berbalik ke belakang (murtad) ? Barang siapa berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur. ”
 
Ali ‘Imran : 44.


Salam Maulidurrasul 1433H




Thursday, February 2, 2012

Cerpen 4: Ambil kembali hakmu!



Gerimis menitis renyai-renyai mengalunkan irama cuaca. Titis-titis jernih sudah seminggu galak menyirami bumi Indera Mahkota. Rasa itu menjanjikan suasana tenang mendinginkan walaupun sesekali dentuman guruh mengocak suasana damai yang membuaikan. Disebalik kabus yang berarak mengaburi mata, terlihat sekujur tubuh berdiri kaku di tengah jalanraya nan sunyi.

Lelaki tua itu berdiri tegak memandang kelibat Asyrafuddin di muka jendela. Tumpuan anak muda ini yang sejak tadi tekun menelaah sebagai persediaan menghadapi peperiksaan terganggu melihat tingkah ganjil lelaki itu.

“Ah, mungkin dia tengok benda lain.”

Asyrafuddin cuba untuk tidak mempedulikan lelaki itu. Hujan di luar masih galak turun membasahi bumi. Lelaki tua itu masih tidak berganjak. Sekilas anak muda itu dapat melihat senyuman sinis mencurigakan terukir di wajah lelaki itu.

Senyuman penuh misteri.

Penuh tanda tanya.

Rasa gusar Asyrafuddin tidak berhenti di situ sahaja. Jantungnya berdegup laju apabila terdengar satu suara menyeru namanya. Suara yang sayup-sayup membelah keriuhan hujan yang turun.

Dia berpaling ke luar jendela.

Suara itu tidak syak lagi datang dari arah lelaki tua itu.

Siapa dia?

Sambil mengusap ketayap di kepalanya, Asyrafuddin memerhatikan lagi lelaki tua itu penuh tanda tanya. Memang benar. Lelaki tua itulah yang menyeru namanya. Tetapi dia langsung tidak mengenali lelaki tua itu. Pelbagai persoalan menujah-nujah benaknya.

Hujan tiba-tiba berhenti.

Susuk tubuh lelaki tua itu semakin menjelas dalam pandangan. Asyrafuddin mamandangnya penuh pengamatan. Dia semakin terkejut apabila lelaki tua itu masih memanggilnya kali ini sambil melambai-lambai tangan penuh misteri.

“Asyrafuddin. Mari ke sini kau! Ambil kembali hakmu ini!”

Perasaan seram melingkari jiwanya. Dia berdiri merapati jendela. Memang benar, dia tidak mengenali lelaki itu. Lelaki tua itu bersuara sambi tertawa sambil memandang tajam ke arah Asyrafuddin. Wajahnya menyeringai tersenyum sambil matanya kemerah-merahan merenung Asyrafuddin.

Apakah “hak” miliknya yang dimaksudkan lelaki tua itu???

Dia tidak mengerti.

Sedang seribu persoalan menghantui fikirannya, Asyrafuddin begitu terkejut sekali melihat lelaki tua itu merapati jendela biliknya. Anehnya, lelaki itu tidak langsung mengatur langkah kaki. Tubuhnya yang kaku berdiri perlahan-lahan merapati jendela bilik Asyrafuddin.

Mana mungkin lelaki itu beralih tempat tanpa melangkah walau sehasta?

Ketika rasa seram semakin menyelubungi dirinya, lelaki tua itu sudah berdiri betul-betul di luar jendela. Hanya beberapa hasta menjauhi kedudukannya.

Lelaki tua itu mengangkat kepala sambil merenungnya. Penuh minat.

“Kau bernama Asyrafuddin?”

Dia mengajukan soalan tanpa mengalihkan pandangannya yang tepat memerhatikan anak muda itu. Peluh dingin membasahi pipinya apatah lagi memerhatikan lelaki tua itu mengenakan pakaian yang labuh sehingga tidak menampakkan susuk kakinya.

Lelaki tua itu menyeringai sambil tertawa menanti jawapan.

“Ya, saya.”

Jawabnya pendek.

Lelaki itu merapatinya sambil menghulurkan tangannya yang panjang tirus terketar-ketar merapati.

Asyrafuddin manjadi kaku. Seolah-olah dirinya dipasung tidak mahu bergerak.

Siapa lelaki tua dihadapannya ini? Manusia atau sebaliknya?

Lelaki tua itu menghulurkan sesuatu kepadanya.

Suasana semakin sunyi.

“Ini dompet kamu kan? Pakcik jumpa kat depan sana. Mungkin kamu tercicir. Pakcik tengah main kasut roda anak pakcik ni. Nasib baik dalam dompet kamu ada kad pengenalan kamu. Sebab tu pakcik cam wajah kamu ni. Betul la kamu orangnya.”

Lelaki tua itu tersenyum bersuara sambil menyelak kainnya sehingga menampakkan sepasang kasut roda yang yang dipakainya.

“Terima kasih pakcik!”

Dia bersyukur kerana mendapat kembali dompetnya dan dia lebih bersyukur apabila mengetahui lelaki itu manusia dan bukannya..........

Nauzubillah.

Wednesday, July 20, 2011

Memori Tautan Mahabbah 2011

credit to Murthada Rafaai @ PM TABAH '11

di desa nan permai Felda Selancar
riang mentari terang memancar
dalam kenangan kemas terlakar
bunga muhibbah berkuntum mekar

niat murni memintal ukhuwwah
dalam simfoni Tautan Mahabbah
bersama kami mengukir sejarah
arca memori mengharap barakah

kepada mereka ayah dan ibu
begitu berharga nilai kasihmu
selagi jasad dan nyawa bersatu
budi dan jasa dikenang selalu

semanis durian menjadi santapan
seperti berpesta dalam keramaian
tidak tertanding manisnya iman
nikmat tertinggi kurniaan tuhan
 
kasih ilahi tiada noktahnya
kasih ibubapa bahtera ke syurga
hubungan denganNya paling utama
hubungan manusia jangan dilupa

ingatlah kawan ingatlah teman
pesanan nabi zaman berzaman
silaturrahim terjalin mesra
jangan sesekali dibiarkan binasa


-farhan martnong-

Kami Sayang Felda Selancar dan rakyatnya. ya-Ha!!!

TAUTAN MAHABBAH MRC 2011

"Sharing Knowledge, Fostering Ukhuwwah"



Wednesday, July 6, 2011

10 Detik Dramatik Bolasepak.

1.    

1) Manchester United lwn Bayern Munich
    Final Liga Juara-Juara Eropah 1999

   “Kebangkitan Dua Minit”

Manchester United ketinggalan dengan jaringan awal Mario Besler menerusi sepakan percuma. Empat minit masa tambahan diberikan pembantu pengadil. Teddy Sheringham menyalakan kembali cabaran Red Devils melalui jaringan berpunca daripada sepakan sudut minit ke 91. Ketika perlawanan diramalkan akan diheret ke masa tambahan 30 minit, keajaiban berlaku. Sekali lagi menerusi sepakan sudut David Beckham, bola melencong ditanduk sipi Sheringham sebelum singgah ke kaki Ole Gunnar Solksjaer menghadiahkan gol kemenangan Manchester United pada minit ke 93. Kedua-dua gol minit-minit akhir tersebut begitu mengecewakan seluruh pasukan Bayern Munich. Sehinggakan mereka tidak mampu bangun untuk memulakan kembali permainan setelah Solksjaer mengubah kedudukan menjadi 2-1. Setelah 90 minit Bayern di depan, Manchester United meraikan kejayaan empat minit terakhir untuk bergelar Juara Eropah buat kali pertama.

Jaringan kemenangan United oleh Ole Gunnar Solksjaer.

2.      2) Liverpool lwn West Ham United
  Final Piala FA Inggeris 2006

  “Perlawanan Akhir Gerrard”

Diibaratkan sebagai perlawanan akhir Piala FA Inggeris terbaik dalam sejarah. Liverpool ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Dean Ashton dan gol sendiri Jamie Carragher. Namun jaringan Djibril Cisse dan Steven Gerrard berjaya mengikat kembali kedudukan menjadi 2-2. Paul Konchesky menerusi rembatan half-volley menarik menewaskan Jose Reina meletakkan West Ham di ambang kejuaraan. Perlawanan memasuki masa kecederaan di mana barisan Liverpool sudah tidak mempunyai masa yang cukup untuk melancarkan serangan. Dengan perlawanan berbaki beberapa saat, Steven Gerrard  terpaksa melakukan rembatan kencang dari jarak 37 ela ke pintu gol West Ham untuk mencari gol sekaligus berjaya mengikat kembali kedudukan pada minit ke91. Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 3-3 namun gol saat-saat akhir Gerrard membunuh semangat melawan West Ham sehingga mereka tewas pada penentuan penalti 2-3. 

Rembatan deras Steven Gerrard di minit akhir perlawanan.
     
           3) England lwn Greece
    Kelayakan Piala Dunia 2002
 
        “Sepakan Percuma Penyelamat”

Sebelum perlawanan terakahir kumpulan bermula, di atas kertas; England perlu sekurang-kurangnya seri menentang Greece pada perlawanan terakhir. Kekalahan hanya akan membuka laluan kepada Jerman, Ukraine atau Greece mencuri tempat ke Piala Dunia sementara harapan mereka bakal terkubur. Perlawanan memasuki masa tambahan dengan kedudukan England ketinggalan 1-2. England dihadiahkan sepakan percuma lewat permainan minit 93 dan dianggap peluang terakhir mereka. David Beckham ditugaskan mengambil sepakan dalam keadaan beberapa pemain England sudah pun terduduk untuk menerima kekalahan. Kejayaan penjaga gol Greece; Antonis Nikopolidis menyelamatkan kesemua set-piece yang dimiliki England sebelum itu menjadikan hasrat  mereka untuk mengikat kedudukan semakin pudar. Beckham mengambil sedikit masa biarpun perlawanan memasuki minit akhir masa kecederaan sebelum melepaskan sepakan melencong yang dinamakan “Magnus Response kick” menewaskan Nikopolidis. Perlawanan berakhir 2-2 sudah cukup menempah tiket England ke Piala Dunia dengan Beckham dijulang sebagai wira.

Sepakan lencong David Beckham melepasi benteng Greece.

4.     4) Chelsea lwn Barcelona
   Semi-Final Liga Juara-Juara Eropah 2009

   “Gol Lewat Tempat Lawan”

Pada perlawanan pertama di Nou Camp, mereka menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 0-0. Chelsea mengharapkan kemenangan ke atas Barca di laman sendiri pada perlawanan timbal balik kedua dengan harapan yang tinggi. Harapan melayakkan diri ke final untuk memburu kejuaraan pertama semakin menjadi nyata untuk Chelsea apabila jaringan tunggal Micheal Essien kekal meletakkan Chelsea di depan hingga ke masa kecederaan. Ketika perlawanan berbaki beberapa saat dengan Barca yang bermain 10 orang setelah Eric Abidal dilayangkan kad merah kontroversi, Andres Iniesta menyepikan Stamford Bridge dengan rembatan kencang ke penjuru kanan gol Chelsea untuk mengikat kedudukan. Kedudukan 1-1 meranapkan harapan Chelsea dengan Barcelona berkelebihan menerusi peraturan jaringan di tempat lawan untuk layak ke perlawanan akhir.
5.    
Rembatan Andres Iniesta ke penjuru kanan gol Chelsea.

     5) Terengganu lwn Kelantan
     Final Piala FA 2011

    “Mati Hidup Semula”

Pertemuan Terengganu dan Kelantan di temasya perlawanan akhir julung-julung kalinya berlaku sejak 90 tahun kejohanan bolasepak diperkenalkan di Tanah Melayu pada 1920. Kedudukan 0-0 kekal hingga minit ke 78 sebelum hantaran pantas Shakir Ali bijak disempurnakan Nurul Azwan Roya menerusi bola lambungan melepasi Sharbinee Allawee. Masa kecederaan 7 minit diberikan pengadil ekoran perlawanan yang terhenti seketika di awal babak kedua. Ketika Kelantan diambang kejuaraan, serangan terakhir Terengganu lima saat sebelum perlawanan berakhir mengubah cerita perlawanan itu. Hantaran Ashari Syamsuddin disebelah kanan padang disambut Manaf Mamat yang melakukan larian solo sebelum melepaskan rembatan deras. Sepakan itu berjaya diselamatkan Khairul Fahmi, namun bola melantun menuju tepat ke kepala Daudsu Jamaluddin yang tidak mampu berbuat apa-apa meletakkan bola ke gawang sendiri. Seperti mati hidup semula, gol sendiri itu begitu bermakna buat Terengganu yang akhirnya mendominasi keseluruhan 30 minit masa tambahan. Terengganu muncul juara 2-1 menerusi jaringan masa tambahan minit 108 Nordin Alias berpunca daripada sepakan penjuru.

Nordin Alias meraikan kejayaan menjaringkan gol.

6.   6) England lwn Perancis
    Peringkat Kumpulan EURO 2004


    "Hadiah Masa Kecedaran Zidane"
 
Menemukan dua jaguh dunia dengan barisan pemain ternama, perlawanan dilihat seimbang. England dan Perancis dipisahkan dengan jaringan tunggal Frank Lampard pada awal aksi babak pertama. England berpeluang menggandakan pendahuluan apabila dikurniakan sepakan penalti setelah Wqayne Rooney dikasari. Namun Fabien Barthez menjadi satu-satunya manusia di planet ini berjaya menyelamatkan sepakan penalti David Beckham. Perlawanan bakal berakhir dengan keputusan 1-0 sebelum ia sama sekali berubah. Menerusi dua hadiah bola mati; penalti dan sepakan percuma lewat permainan, Zinedine Zidane membuktikan ketajaman sepakannya dengan menyempurnakan kedua-dua peluang tersebut. Jaringan minit 90 dan 92 itu memberikan tiga mata berharga buat skuad Les Blues.

Zidane menyempurnakan sepakan percuma.

7) Itali lwn Perancis
    Final EURO 2000


    "Kejayaan Gol Emas"

Perancis yang masih segar dengan kejuaraan dunia 1998 bertemu Itali pada perlawanan akhir. Final tunggal yang ditentukan menerusi sistem Golden-Goal (sistem ini telah dimansuhkan) dalam sejarah EURO. Marco Delvechio meletakkan Itali di depan pada minit ke 55 sehingga ke masa kecederaan. Sylvain Wiltord yang masuk sebagai pemain gantian mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol lewat pada minit 94 untuk memberi peluang kedua bagi Les Blues. Perlawanan diheret ke masa tambahan sudden-death. Seorang lagi pemain gantian, David Trezeguet menamatkan perlawanan serta merta apabila menyambut hantaran Robert Pires sebelum merembat deras melepasi Francesco Toldo. Perancis akhirnya muncul juara dengan jaringan emas Trezeguet.

Trezeguet dengan half-volley bergaya.

8.    8) Tottenham United lwn Manchester City
    Pusingan ke-4 Piala FA Inggeris 2004

   “Keajaiban Empat Gol”

Manchester City ketinggalan 0-3 seawal babak pertama berdepan Spurs. Prestasi buruk Nicolas Anelka dan insiden kad merah Joey Barton sebelum tamat babak pertama memburukkan lagi keadaan. Sylvain Distin membangkitkan semangat melawan City dengan jaringan minit 48 diikuti jaringan sendiri Anthony Gardner minit 61 merapatkan jurang menjadi 2-3. Ketika permainan berbaki 10 minit, Wright-Phillips mengikat kembali kedudukan 3-3 dengan menewaskan Kessey Keller di pintu gol. Ketika perlawanan bakal berlanjutan ke masa tambahan, Kessey Keller dan seluruh kem Spurs dikejutkan dengan jaringan minit ke 90 City menerusi rembatan John Macken. Perlawanan tamat dengan keputusan 4-3 dengan skrip menakjubkan dilakar pemain-pemain Manchester City yang terlebih dahulu ketinggalan tiga gol. Separuh masa kedua nyata menjadi milik mereka. 

Serangan minit akhir dilancarkan Manchester City.
            
     9) Liverpool lwn AC Milan
     Final Liga Juara-Juara Eropah 2005

    “Kegilaan Enam Minit”

Skrip yang agak sama. AC Milan turun sebagai pasukan pilihan dan membuktikan mengapa mereka dilabel seperti itu. Seawal minit ketiga mereka di depan menerusi volley menarik kapten Paolo Maldini. Keseluruhan babak pertama didominasi sepenuhnya AC Milan yang ditamatkan dengan kedudukan 3-0 menerusi dua lagi jaringan Hernan Crespo. Babak kedua menghadirkan skrip yang berbeza. Kemasukan ‘The Kazier’ Didi Hamann buat Liverpool mengubah tempo permainan. Kapten pasukan Steven Gerrard membakar semangat melawan The Reds menerusi tandukan cantik untuk gol pertama mereka pada minit ke 60. Hanya enam minit kemudian, kedudukan terikat menjadi 3-3. Rembatan melencong Vladimir Smicer minit ke 64 dan sepakan penalti Xabi Alonso minit ke 66 menyempurnakan Misi Mustahil mereka berdepan jaguh Eropah itu. perlawanan kekal terikat 3-3 dan diheret ke penentuan penalti yang dimenangi Liverpool dengan keputusan 3-2.
Gol pertama tandukan Gerarrd untuk kebangkitan The Kop.

      10) Portugal lwn Korea Utara
     Quarter-Final Piala Dunia 1966
          
     "Amukan Eusebio"

Sememangnya Korea Utara mengejutkan dunia pada kejohanan itu. Hadir sebagai pasukan kerdil Asia, mereka mengejutkan pasukan Itali pada peringkat kumpulan untuk mara ke suku akhir. Ini sekaligus menjadikan Korea Utara sebagai pasukan pertama dari Asia yang berjaya mara ke suku akhir Piala Dunia. Pada suku akhir, Korea Utara bertemu dengan Portugal. Mereka berjaya mendahului Portugal dengan 3-0 menerusi jaringan Seung-Zin Pak, Dong-Woon Lee dan Seung-Kook Yang.  Permata hitam Portugal, Eusebio mengubah senario perlawanan.  Eusebio menyumbangkan empat gol berturut-turut dengan dua daripadanya menerusi sepakan penalti menewaskan Chang-Myung Lee. Tidak cukup dengan empat gol Eusebio untuk kedudukan 4-3, Jose Augusto menamatkan perlawanan dengan kedudukan 5-3 menerusi jaringan lewat permainan.

Jaringan keempat Eusebio melenyapkan penguasaan Korea.


p/s: inilah drama dalam bolasepak

Wednesday, May 18, 2011

Tahniah!

Tahniah diucapkan!
Khabar ini menggembirakan.
Semoga masa hadapanmu kian bersinaran.

Dia umpama kain putih.
Menanti ukiran percikan kasih.

Bimbinglah dia dijalan agama.
Semoga dia menjadi insan berguna.
Kepada agama, bangsa dan negara.

Semoga kau sekeluarga berbahagia sentiasa. 
Dan kelahirannya mengetatkan pateri cintamu pada yang Esa..

:-)




Sunday, May 8, 2011

Selamat Hari Ibu

Khas buat ibuku; Che Zeimah bt Ali.

Zahir ungkapan bibirku tak bisa merumus simpulan kasih
Limpah budimu kau curahkan ikhlas tak pernah merintih
Luhur pekertimu umpama pepasir di pantai memutih
Semoga dirimu di dalam rahmat Yang Maha Pengasih.

Engkaulah ibuku dan kau jugalah guruku
Bait nasihatmu setia menemani hari-hariku
Memimpin diriku menyusur jalan penuh berliku
Menagih rahmat mengharap redha Yang Maha Satu.

Indahnya saujana pagi dibelai percikan mentari
Indah senyumanmu bersinar menggembirakan hati
Seperti mentari yang tak pernah jemu menyinari bumi
Begitulah kasihmu menyinari hidupku tak pernah mati.

Maaf kupohon segala khilaf cela diriku
Andai perilaku diriku menggores hatimu
Redha kutagih daripadaNya dan juga dirimu
Agar diriku tidak terbabas dibuai nafsu.

Angin bayu bertiup nyaman tenang dan mendinginkan
Meniup udara rangkuman cinta tak berkesudahan
Begitulah nyamannya kasih suci engkau hembuskan
Membelai dirkui dari helah dunia yang mempesonakan.

Hari-hari kulalui terlalu bermakna berkat bimbinganmu
Semoga dirimu dirahmati Allah sebgaimana kau mengasihiku

Ya Allah limpahkan rahmatmu ke atas kedua ibubapaku
Sebagaimana kasih mereka yang sentiasa menyelimutiku.

                              
                          Z.E.I.M.A.H



Ummi, Selamat hari Ibu. :-)

Farhan Martnong,
Mei 8, 2011.

Wednesday, April 27, 2011

Penangan Si Batik.


Pagi mula mencerah menerangi segenap penjuru kampung halamanku. Dedaun pepohon kelapa melambai dek tiupan bayu pantai yang mengarak beburung yang berterbangan. Berkicauan memainkan melodi tenang menemani penduduk desa nan permai. Cukup menenangkan diriku yang sedang menikmati cuti akhir semester tanpa sebarang tekanan. Bahang peperiksaan akhir semester telah berlalu. Empat belas hari yang memenatkan minda. Sekarang aku punya empat belas hari lagi untuk merehatkan minda.
Pagi itu seperti lain-lain harinya, pertama kali aku jejakkan langkah apabila cerah tanah sudah pasti destinasi pertamaku ke arah reban ayam yang terletak lebih kurang dua puluh meter dari rumah. Sambil menatang bekas tupperware yang sarat dipenuhi makanan mereka berupa jejagung beku.
Nyenyakkah tidur mereka malam tadi?
Enam ekor kesemuanya. Seekor ayam jantan yang beristerikan empat ekor ayam betina (hidup bermadu tidak sukar bagi mereka berkongsi kasih, tetapi dalam hati siapa yang tahu?). Pasangan ini dihiasi dengan kehadiran cahayamata seekor ayam betina yang masih kurus. Melihat si anak ayam itu hati aku sebak mengenangkan tiga ekor adik beradiknya yang sudah mati beberapa bulan lalu atas beberapa alasan, yang pasti ia bukan kerana keganasan rumahtangga.
Hidup mereka harmoni.
Biarpun kadang-kadang mereka berebut makanan. Dah nama pun haiwan kan?  Takkan nak berebut mp3 (entri ini dikarang ketika aku sedang mendengar mp3....bateri tinggal satu bar).
Tapi pagi itu...
Sesuatu yang kurang beres dapat aku rasakan. Biasanya kehadiran aku disambut dengan kokokan nyaring si jantan. Kokokan yang kekadang menyebabkan tanganku ini ringan sahaja rasanya nak capai pisau untuk melakukan upacara penyembelihan serta merta jika ia dilaungkan tidak kena pada masa dan tempatnya. Sabor je lah. Kalau aku lakukan hal itu sekarang, nanti raya nak makan ape? Gulai monyet? Haram.
Pagi itu, kokokan itu tiada kedengaran seperti kebiasaannya. Takkan si jantan sakit tekak kot? Kalau ya, hidangan jejagung pagi itu akan aku tukarkan kepada strepsils. Tapi tengok bajet abah aku jugalah kot nak bagi benda tu sebagai hidangan.
Hampir tiba di depan pintu reban. Aku mendengar bunyi bingit dari dalam reban. Mustahil mereka mengadakan pesta. Tiada apa untuk diraikan. Pun begitu, masakan aku tidak dijemput?
Aku memang tidak kisah kalau mereka mahu adakan parti liar asalkan tiada hidangan minuman keras dan hiburan yang melalaikan. Walaupun diorang (aku tau mereka binatang tapi biarlah aku gunakan kata ganti nama diorang) tidak solat lima waktu apa lagi berpuasa di bulan ramadhan, tapi aku tahu sikap diorang sudah cukup bermoral dalam kategori haiwan: ayam.
Sesekali diorang berak merata nak buat macam mana. Biasalah tu. Kalau diorang request tandas peribadi nanti tak ke effect bajet ekonomi tuan rumah? Hmm. Ini menarik.
Ya-Ha!!!
Perlahan-lahan aku selak pintu reban dengan berhati-hati. Memandangkan  adikku pula baru sahaja pulang daripada perkhemahan tempoh hari, maka sempatlah aku kebas lampu suluhnya yang agak menarik pada penilaianku. Hari masih kelam jadi lampu suluh itu berguna. Aku tersenyum memandang mereka yang masih tidak berhenti berkokok seolah-olah memprotes diriku yang cuba menggangu parti mereka. Yalah, aku tidak dijemput pun.
Satu.
Dua.
Tiga.
Empat.
Kemana yang kelima dan enam?
Bilangan mereka tidak cukup. Aku sudah kira dengan cermat. Masih terngiang-ngiang ajaran cikgu matematik darjah satuku dahulu tentang cara mengira dengan betul. Ya. Aku tidak silap kali ini. Memang aku pernah gagal ujian matematik. Tapi ketika darjah satu. Aku cemerlang.
Hanya empat.
Aku suluh satu persatu. Ke segenap penjuru reban yang berbentuk segi empat sama. Si anak dan si jantan tiada.  Tidak mungkin mereka lari dari rumah. Sesungguhnya kasih kami terhadap mereka tidak berbelah bagi. Mana mungkin mereka melarikan diri. Adakah si jantan bermain kayu tiga?
Tak mungkin. Isteri dah empat. Takkan tak cukup.
Si anak pula dimana? Dia tidak tinggal di asrama yang jauh daripada keluarga. Sekolah pun tidak, ini kan pula hendak berasrama bagai. Berasmara? Mungkin. Tapi apabila dia dewasa nanti (pembaca bawah 18 tahun perlu bimbingan orang dewasa).
Aku mula merasa sesuatu yang tak suka dirasakan. Perasaan kurang senang menyelubungi minda.
Dan segala misteri itu terjawab serta merta. Misteri kehilangan si jantan dan si anak.
Di sudut reban berhadapan denganku. Kira-kira setengah meter sahaja dari kakiku, berlingkar seekor ular sawa yang besar dan panjang. Sedang beristirehat kekenyangan. Jika aku selangkah ke hadapan pasti aku terpijak dirinya.
Aku undur ke belakang selangkah dan aku lalukan limpahan cahaya lampu suluh ke arahnya. Ya, benar. Si Batik sedang berlingkar kekenyangan.
Aku tahu si Batik yang kekenyangan seperti itu tidak akan berganjak dari tempatnya walaupun menyedari kehadiran manusia. Dasar pemalas (si Batik, maaf bahasaku agak keras terhadapmu). Dua daripada empat ayam yang lain sudah keluar dari reban penuh ketakutan. Aku yakin mereka takut. Tak perlu ditanya secara verbal lagi, memang jelas mereka ketakutan.
Aku simpan lampu suluh didalam poket dengan cermat. Keadaan yang kelam menyebabkan pandangan ayam-ayam itu masih rabun. Jika mereka mengenakan kacamata atau contact lense sekalipun aku pasti pandangan mereka tetap kabur. Aku capai kedua-dua ekor ayam itu dengan penuh kasih sayang (sebenarnya secara agresif) dan membawa mereka keluar dari reban. Setelah itu pintu reban itu ditutup rapat. Tinggalah si Batik seorang seekor diri di dalamnya. Sekelip mata sahaja, reban ayam bertukar menjadi reban ular. 
Abah dan umi masih di rumah sedang mempersiap diri untuk ke tempat kerja masing-masing. Bagaimana ingin kusampaikan berita ini? Abah mungkin rilek-rilek sahaja. Tapi umi sudah pasti akan kaget seperit terkena kejutan elektrik. Kalau jumpa telur ayam tak mengapa, ini jumpa ular sawa dan ianya berbahaya.
Berita itu tetap kusampaikan. Isu ini bukan bersifat peribadi untuk dirahsiakan.
Seperti kujangkakan, umi mulai kaget bertanyakan keadaan aku. Aku hanya tertunduk dan menjawab ringkas.
 “Along selamat tetapi ayam-ayam lain yang tinggal sudah berstatus janda.”
Biasanya umi ketawa dengan kata-kata aku. Tetapi pagi itu rasa gerun melampaui rasa geli hati.
Adik-adikku pula yang ketawa diiringi dengan amaran kerasku kerana mereka seolah-olah berlengah untuk kesekolah.
Abah dengan bergayanya mencapai telefon bimbit (baru topup agaknya) mendail 999 dan bercakap dengan slang KL untuk melaporkan hal itu kepada pihak berwajib. Adik-adikku ketawa mendengar abah bertutur seperti itu. Aku hanya diam sahaja. Nanti giliran aku bercakap dengan rakan-rakanku dari pantai barat, abah pula yang ketawakan aku.  
 Setelah beberapa ketika. Laporan itu dibawa terus ke pejabat JPA terdekat di Marang. Adik-adikku dengan berat hati dan berat beg pergi ke sekolah hampa kerana tidak dapat menyaksikan penangkapan si Batik secara life.
Dalam masa kurang setengah jam. Pihak JPA dengan bergaya menaiki van tertera RESQUE 999 tiba. Nombor 9 yang terakhir jelas nampak ditampal-tampal kerana sebelum ini mereka dikenali sebagai RESQUE 991.
Ah, persetankan hal nombor 9 itu. Ular sawa ini yang mahu kita tangkap!
Tiga orang brader keluar dari van itu. Aku pasti mereka semua sudah mandi kerana yang seorang itu wangi mengalahkan anak dara pingitan (bagi pembaca lelaki, jangan baca ayat ini dengan nada gay). Setelah beramah mesra dengan mereka sejenak (takkan nak terus diorang tangkap ular tu kan? Kurang adab namanya) mereka pun berjalan ke arah reban sambil di usher oleh aku dan abah. Umi di atas rumah mungkin sedang menggeletar kegelian.
Aku keluarkan henset N70 ku, bukan untuk menelefon sanak saudara bertanyakan khabar mahupun untuk mendengar lagu-lagu menarik tetapi untuk menangkap gambar situasi menarik ini. Hmm. Ini menarik. 
Ya-Ha!!!
Mereka benar-benar terlatih. Dibantu dengan keadaan ular sawa itu yang memang malas bergerak. Dia seolah merelakan dirinya ditangkap. Mungkin ular itu itu tahu yang menangkapnya adalah pihak JPA. Organisasi yang tidak akan menjual dirinya kepada si cina yang menggemari daging ular sawa yang dikatakan lazat. Bagiku rasa dodol jauh lebih  sedap.
Panjang ular tersebut kira-kira tiga meter dan beratnya sekitar sembilan atau sepuluh kilogram. Empat kilogram adalah milik ayam yang dia makan. I guess.
Ular sawa itu diikat kemas didalam guni dan akan dibawa pulang ke ibu pejabat. Menurut salah seorang brader JPA tersebut. Ular sawa itu akan di bawa dan di simpan dalam satu sangkar sehingga jumlah mereka tidak tertanggung banyak, barulah ia akan dilepaskan ke kawasan hutan. Biasanya di Kenyir, Hulu terengganu; kawasan yang tidak diterokai manusia (jangan pula korang takut nak pegi Tasik Kenyir lepas ni. Tasik Kenyir kekal indah selagi Allah mengizinkannya).
van ini bernama RESQUE 999.

slot ziarah: brader2 JPA mengadakan sesi suaikenal dgn si Batik.
mereka seolah2 b'main buaian bersama ular ini. sungguh mengharukan.
mereka  dengan susah payahnya memasukkan si Batik ke dlm guni.
sungguh istimewa. perlu tiga org utk mengikatnya.


ini bukan bungkusan berisi buah rambutan.
selamat tinggal si Batik. tenanglah hidupmu di hutan sana.
alatan yg digunakan utk menangkap si Batik. hmm. ini menarik. ya-ha!

Perut si Batik besar membulat. Ingin sahaja aku tarah perutnya untuk mengeluarkan jasad ayam-ayam aku agar dapat aku semadikan mereka sebaiknya. Bukan perlu dikapan atau dibacakan talkin pun.  Tapi kalau aku tarah perutnya pada masa itu, alamatnya kepala aku pulak yang kena tarah dengan abah kerana aku berkelakuan tak bermoral. Kita mesti ada rasa ihsan terhadap binatang. Itu ajaran agama. Tidak kira ia omnivor, karnivor atau herbivor (tiga kumpulan ni je kan? Survivor tak termasuk kan?).
Daripada Abu Ya'la Syaddad bin Aus r.a beliau mendengar Rasulullah S.A.W bersabda :
"Sesungguhnya Allah mewajibkan berlaku ihsan atas semua perkara. Jika kamu membunuh, berlaku ihsanlah ketika membunuh dan jika kamu menyembelih, berlaku ihsanlah ketika menyembelih. Kamu hendaklah menajamkan pisau dan menyenangkan haiwan sembelihan." 
(riwayat Muslim)
Saat itu aku terkenang si jantan dan si anak. Lantas aku bertanya.
“Ular ni simpan dalam sangkar nanti bagi makan ape?”
“Tengoklah. Biasanya kami bagi ayam. Kadang-kadang daging.”
Aku berfikir.
 “Hai si Batik, kalau kau tahan lapar kejap. Brader-brader ni datang tangkap kau tak de lah kau susah-susah nak cari makan. Dan tak perlulah kau tamatkan riwayat ayam-ayam aku.”
Tapi aku tak boleh salahkan ular sawa itu. Memang itu makanan dia. Sebagaimana firman Allah swt:
“Begitu banyak haiwan yang tidak mampu menghasilkan rezeki mereka sendiri tetapi Allah yang mengurniakan mereka rezeki begitu juga bagaimana Allah mengurniakan kepada kamu”
(al-‘Ankabut: 60)
Dia pun ad diet die juga nak kena makan apa dan pukul berapa. Takkan kita nak paksa dia makan lobak merah kan? Kalaulah ular sawa sekadar makan lobak merah atau sayur kangkung, pasti ramai yang menjadikan ular sawa sebagai haiwan peliharaan. Sudah pasti ini akan mengakibatkan ekonomi penjual ikan hiasan merosot. Kasihan mereka.
Tapi jauh dalam hatiku yang aku tak pasti berapa kilometer jauhnya, aku berharap kejadian ini tidak berulang lagi.
Segalanya selesai. Umi menarik nafas lega. Abah melihat jam kerana sudah lewat ke tempat kerja. Aku merasa lapar tapi bukan kerana cemburu melihat si Batik kekenyangan. Normal lah pagi-pagi lapar kan?
Kepada ayam-ayamku,
Maafkan aku. Aku sudah cuba melakukan apa yang terdaya. Pintu reban itu sudah aku tutup sebaik-baiknya semalam. Bagaimana si Batik masih dapat menyusup masuk aku kurang pasti. Aku berjanji reban itu akan aku selia kembali agar ia menjadi habitat yang lebih baik untuk waris-waris peninggalanmu.
Semoga kita berjumpa lagi di syurga. 
Seperti yang terlakar di dalam al-Quran al-Karim:
“Allah yang menciptakan bagi kamu haiwan ternakan, sebahagian daripada mereka untuk ditunggangi dan sebahagiannya untuk dimakan”
(al-Ghafir: 79)
Sebagai manusia yang memelihara haiwan ternakan atau apa sahaja kategori haiwan yang dipelihara atau tidak kita pelihara sekalipun (in case kucing rumah sebelah atau haiwan liar yang lain), kita haruslah bertanggungjawab sepenuhnya akan kebajikan mereka. Makanan dan kesihatan mereka perlu diselia sebaik mungkin. Tak perlulah over sangat sampai belikan mereka baju Kiki Lala seekor sepasang, membazir namanya. Mereka juga makhluk Allah. Amanah dariNya. Hanya akal yang membezakan diri mereka dan diri kita. Haiwan juga punya perasaan dan sudah pasti mereka kepingin kasih sayang (kalau tak takkan la ayam aku kahwin sampai empat) dan jagaan selayaknya daripada tuan mereka: manusia. Haiwan ternakan itu mampu membawa rahmat dan peringatan kepada kita tentang keagunganNya.
Allah befirman:
“Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami memberi minum kepada kamu daripada apa yang terbit daripada perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah (iaitu susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya) bagi orang-orang yang meminumnya”
(al-Nahl: 66)
Peristiwa ini perlu dijadikan pedoman kepada kami sekeluarga. Aku berdoa agar perkara ini tidak berulang lagi. Kehadiran ular sawa ini adalah sebagai amaran dan kematian ayam-ayam itu adalah satu tazkirah. kita berkongsi bumi yang sama mengharap kasih suci al-Khaliq.