Thursday, February 2, 2012

Cerpen 4: Ambil kembali hakmu!



Gerimis menitis renyai-renyai mengalunkan irama cuaca. Titis-titis jernih sudah seminggu galak menyirami bumi Indera Mahkota. Rasa itu menjanjikan suasana tenang mendinginkan walaupun sesekali dentuman guruh mengocak suasana damai yang membuaikan. Disebalik kabus yang berarak mengaburi mata, terlihat sekujur tubuh berdiri kaku di tengah jalanraya nan sunyi.

Lelaki tua itu berdiri tegak memandang kelibat Asyrafuddin di muka jendela. Tumpuan anak muda ini yang sejak tadi tekun menelaah sebagai persediaan menghadapi peperiksaan terganggu melihat tingkah ganjil lelaki itu.

“Ah, mungkin dia tengok benda lain.”

Asyrafuddin cuba untuk tidak mempedulikan lelaki itu. Hujan di luar masih galak turun membasahi bumi. Lelaki tua itu masih tidak berganjak. Sekilas anak muda itu dapat melihat senyuman sinis mencurigakan terukir di wajah lelaki itu.

Senyuman penuh misteri.

Penuh tanda tanya.

Rasa gusar Asyrafuddin tidak berhenti di situ sahaja. Jantungnya berdegup laju apabila terdengar satu suara menyeru namanya. Suara yang sayup-sayup membelah keriuhan hujan yang turun.

Dia berpaling ke luar jendela.

Suara itu tidak syak lagi datang dari arah lelaki tua itu.

Siapa dia?

Sambil mengusap ketayap di kepalanya, Asyrafuddin memerhatikan lagi lelaki tua itu penuh tanda tanya. Memang benar. Lelaki tua itulah yang menyeru namanya. Tetapi dia langsung tidak mengenali lelaki tua itu. Pelbagai persoalan menujah-nujah benaknya.

Hujan tiba-tiba berhenti.

Susuk tubuh lelaki tua itu semakin menjelas dalam pandangan. Asyrafuddin mamandangnya penuh pengamatan. Dia semakin terkejut apabila lelaki tua itu masih memanggilnya kali ini sambil melambai-lambai tangan penuh misteri.

“Asyrafuddin. Mari ke sini kau! Ambil kembali hakmu ini!”

Perasaan seram melingkari jiwanya. Dia berdiri merapati jendela. Memang benar, dia tidak mengenali lelaki itu. Lelaki tua itu bersuara sambi tertawa sambil memandang tajam ke arah Asyrafuddin. Wajahnya menyeringai tersenyum sambil matanya kemerah-merahan merenung Asyrafuddin.

Apakah “hak” miliknya yang dimaksudkan lelaki tua itu???

Dia tidak mengerti.

Sedang seribu persoalan menghantui fikirannya, Asyrafuddin begitu terkejut sekali melihat lelaki tua itu merapati jendela biliknya. Anehnya, lelaki itu tidak langsung mengatur langkah kaki. Tubuhnya yang kaku berdiri perlahan-lahan merapati jendela bilik Asyrafuddin.

Mana mungkin lelaki itu beralih tempat tanpa melangkah walau sehasta?

Ketika rasa seram semakin menyelubungi dirinya, lelaki tua itu sudah berdiri betul-betul di luar jendela. Hanya beberapa hasta menjauhi kedudukannya.

Lelaki tua itu mengangkat kepala sambil merenungnya. Penuh minat.

“Kau bernama Asyrafuddin?”

Dia mengajukan soalan tanpa mengalihkan pandangannya yang tepat memerhatikan anak muda itu. Peluh dingin membasahi pipinya apatah lagi memerhatikan lelaki tua itu mengenakan pakaian yang labuh sehingga tidak menampakkan susuk kakinya.

Lelaki tua itu menyeringai sambil tertawa menanti jawapan.

“Ya, saya.”

Jawabnya pendek.

Lelaki itu merapatinya sambil menghulurkan tangannya yang panjang tirus terketar-ketar merapati.

Asyrafuddin manjadi kaku. Seolah-olah dirinya dipasung tidak mahu bergerak.

Siapa lelaki tua dihadapannya ini? Manusia atau sebaliknya?

Lelaki tua itu menghulurkan sesuatu kepadanya.

Suasana semakin sunyi.

“Ini dompet kamu kan? Pakcik jumpa kat depan sana. Mungkin kamu tercicir. Pakcik tengah main kasut roda anak pakcik ni. Nasib baik dalam dompet kamu ada kad pengenalan kamu. Sebab tu pakcik cam wajah kamu ni. Betul la kamu orangnya.”

Lelaki tua itu tersenyum bersuara sambil menyelak kainnya sehingga menampakkan sepasang kasut roda yang yang dipakainya.

“Terima kasih pakcik!”

Dia bersyukur kerana mendapat kembali dompetnya dan dia lebih bersyukur apabila mengetahui lelaki itu manusia dan bukannya..........

Nauzubillah.

1 comment:

  1. Hahahahaha.. Kuang asam pakcik ni main kasut roda. Hahaha..

    ReplyDelete