Tuesday, February 21, 2012

Pasang Surut Hati

Setelah melalui beberapa bulan yang penuh dilema, akhirnya keputusan nekad diambil. Ternyata, hati aku masih disini. Walaupun kadang-kadang hatiku ini mendesak merayu-rayu untuk aku meninggalkan bumi Kuantan.

Jika aku menerima tawaran itu, besar kemungkinannya aku akan kekal berpangkalan di bumi Darul Iman selama tiga tahun; sebelum memulakan siri pelayaran bertahun-tahun merentas lautan. Peluang hanya datang sekali, keputusan muktamad juga hanya sekali. Cuma bolak-balik hati itu pasti datang beribu kali.

Kerana kondisi hati itu, pasti ada pasang surutnya.

Tawaran itu datang ketika aku terlalu cinta dengan dunia kejururawatan. Kalaulah tawaran itu datang pada pertengahan tahun 2010, sudah pasti peluang itu akan ku sambar tanpa sempat aku mengenal bumi Kuantan. Itulah ketentuan Allah. pasti ada hikmahnya.


"Allah pasti memberikan sesuatu yang kita perlu, walaupun kadang-kadang itu bukanlah apa yang kita mahu"



Pemergian ke Felda Selancar untuk melawat keluarga angkatku di sana menjadi pateri jawapan selamat tinggalku kepada tawaran itu. Kalau tidak, pasti aku sudah membawa diri menghadiri sesi temuduga di Kuala Lumpur.
 
Mungkin ini yang terbaik untukku, mungkin jalan ini yang paling lurus buatku, mungkin 'dunia' ini tempat terbaik persinggahanku. Sebelum segala-galanya dihisab di sana. 
  
Katanya hati, teruskan sahaja apa yang dimulakan. Seperti mintaku dalam doa setiap hari.


"Ya muqalibal qulub, thabit qalbi 'ala diinik wa'ala to'atik"

Pasang surut hati kadangkala satu ujian.
Pasang surut hati kadangkala satu nikmat.
Pasang surut hati kadangkala satu permainan.
Pasang surut hati kadangkala satu amaran.


Istiqamahlah dengan istikharah. Biar Dia memandu hati kita ke jalan redhaNya.




Teringat pesan Ummi di kampung.


"dalam kita mencari rezeki, jangan lupa redha Ilahi."



No comments:

Post a Comment