Wednesday, April 27, 2011

Penangan Si Batik.


Pagi mula mencerah menerangi segenap penjuru kampung halamanku. Dedaun pepohon kelapa melambai dek tiupan bayu pantai yang mengarak beburung yang berterbangan. Berkicauan memainkan melodi tenang menemani penduduk desa nan permai. Cukup menenangkan diriku yang sedang menikmati cuti akhir semester tanpa sebarang tekanan. Bahang peperiksaan akhir semester telah berlalu. Empat belas hari yang memenatkan minda. Sekarang aku punya empat belas hari lagi untuk merehatkan minda.
Pagi itu seperti lain-lain harinya, pertama kali aku jejakkan langkah apabila cerah tanah sudah pasti destinasi pertamaku ke arah reban ayam yang terletak lebih kurang dua puluh meter dari rumah. Sambil menatang bekas tupperware yang sarat dipenuhi makanan mereka berupa jejagung beku.
Nyenyakkah tidur mereka malam tadi?
Enam ekor kesemuanya. Seekor ayam jantan yang beristerikan empat ekor ayam betina (hidup bermadu tidak sukar bagi mereka berkongsi kasih, tetapi dalam hati siapa yang tahu?). Pasangan ini dihiasi dengan kehadiran cahayamata seekor ayam betina yang masih kurus. Melihat si anak ayam itu hati aku sebak mengenangkan tiga ekor adik beradiknya yang sudah mati beberapa bulan lalu atas beberapa alasan, yang pasti ia bukan kerana keganasan rumahtangga.
Hidup mereka harmoni.
Biarpun kadang-kadang mereka berebut makanan. Dah nama pun haiwan kan?  Takkan nak berebut mp3 (entri ini dikarang ketika aku sedang mendengar mp3....bateri tinggal satu bar).
Tapi pagi itu...
Sesuatu yang kurang beres dapat aku rasakan. Biasanya kehadiran aku disambut dengan kokokan nyaring si jantan. Kokokan yang kekadang menyebabkan tanganku ini ringan sahaja rasanya nak capai pisau untuk melakukan upacara penyembelihan serta merta jika ia dilaungkan tidak kena pada masa dan tempatnya. Sabor je lah. Kalau aku lakukan hal itu sekarang, nanti raya nak makan ape? Gulai monyet? Haram.
Pagi itu, kokokan itu tiada kedengaran seperti kebiasaannya. Takkan si jantan sakit tekak kot? Kalau ya, hidangan jejagung pagi itu akan aku tukarkan kepada strepsils. Tapi tengok bajet abah aku jugalah kot nak bagi benda tu sebagai hidangan.
Hampir tiba di depan pintu reban. Aku mendengar bunyi bingit dari dalam reban. Mustahil mereka mengadakan pesta. Tiada apa untuk diraikan. Pun begitu, masakan aku tidak dijemput?
Aku memang tidak kisah kalau mereka mahu adakan parti liar asalkan tiada hidangan minuman keras dan hiburan yang melalaikan. Walaupun diorang (aku tau mereka binatang tapi biarlah aku gunakan kata ganti nama diorang) tidak solat lima waktu apa lagi berpuasa di bulan ramadhan, tapi aku tahu sikap diorang sudah cukup bermoral dalam kategori haiwan: ayam.
Sesekali diorang berak merata nak buat macam mana. Biasalah tu. Kalau diorang request tandas peribadi nanti tak ke effect bajet ekonomi tuan rumah? Hmm. Ini menarik.
Ya-Ha!!!
Perlahan-lahan aku selak pintu reban dengan berhati-hati. Memandangkan  adikku pula baru sahaja pulang daripada perkhemahan tempoh hari, maka sempatlah aku kebas lampu suluhnya yang agak menarik pada penilaianku. Hari masih kelam jadi lampu suluh itu berguna. Aku tersenyum memandang mereka yang masih tidak berhenti berkokok seolah-olah memprotes diriku yang cuba menggangu parti mereka. Yalah, aku tidak dijemput pun.
Satu.
Dua.
Tiga.
Empat.
Kemana yang kelima dan enam?
Bilangan mereka tidak cukup. Aku sudah kira dengan cermat. Masih terngiang-ngiang ajaran cikgu matematik darjah satuku dahulu tentang cara mengira dengan betul. Ya. Aku tidak silap kali ini. Memang aku pernah gagal ujian matematik. Tapi ketika darjah satu. Aku cemerlang.
Hanya empat.
Aku suluh satu persatu. Ke segenap penjuru reban yang berbentuk segi empat sama. Si anak dan si jantan tiada.  Tidak mungkin mereka lari dari rumah. Sesungguhnya kasih kami terhadap mereka tidak berbelah bagi. Mana mungkin mereka melarikan diri. Adakah si jantan bermain kayu tiga?
Tak mungkin. Isteri dah empat. Takkan tak cukup.
Si anak pula dimana? Dia tidak tinggal di asrama yang jauh daripada keluarga. Sekolah pun tidak, ini kan pula hendak berasrama bagai. Berasmara? Mungkin. Tapi apabila dia dewasa nanti (pembaca bawah 18 tahun perlu bimbingan orang dewasa).
Aku mula merasa sesuatu yang tak suka dirasakan. Perasaan kurang senang menyelubungi minda.
Dan segala misteri itu terjawab serta merta. Misteri kehilangan si jantan dan si anak.
Di sudut reban berhadapan denganku. Kira-kira setengah meter sahaja dari kakiku, berlingkar seekor ular sawa yang besar dan panjang. Sedang beristirehat kekenyangan. Jika aku selangkah ke hadapan pasti aku terpijak dirinya.
Aku undur ke belakang selangkah dan aku lalukan limpahan cahaya lampu suluh ke arahnya. Ya, benar. Si Batik sedang berlingkar kekenyangan.
Aku tahu si Batik yang kekenyangan seperti itu tidak akan berganjak dari tempatnya walaupun menyedari kehadiran manusia. Dasar pemalas (si Batik, maaf bahasaku agak keras terhadapmu). Dua daripada empat ayam yang lain sudah keluar dari reban penuh ketakutan. Aku yakin mereka takut. Tak perlu ditanya secara verbal lagi, memang jelas mereka ketakutan.
Aku simpan lampu suluh didalam poket dengan cermat. Keadaan yang kelam menyebabkan pandangan ayam-ayam itu masih rabun. Jika mereka mengenakan kacamata atau contact lense sekalipun aku pasti pandangan mereka tetap kabur. Aku capai kedua-dua ekor ayam itu dengan penuh kasih sayang (sebenarnya secara agresif) dan membawa mereka keluar dari reban. Setelah itu pintu reban itu ditutup rapat. Tinggalah si Batik seorang seekor diri di dalamnya. Sekelip mata sahaja, reban ayam bertukar menjadi reban ular. 
Abah dan umi masih di rumah sedang mempersiap diri untuk ke tempat kerja masing-masing. Bagaimana ingin kusampaikan berita ini? Abah mungkin rilek-rilek sahaja. Tapi umi sudah pasti akan kaget seperit terkena kejutan elektrik. Kalau jumpa telur ayam tak mengapa, ini jumpa ular sawa dan ianya berbahaya.
Berita itu tetap kusampaikan. Isu ini bukan bersifat peribadi untuk dirahsiakan.
Seperti kujangkakan, umi mulai kaget bertanyakan keadaan aku. Aku hanya tertunduk dan menjawab ringkas.
 “Along selamat tetapi ayam-ayam lain yang tinggal sudah berstatus janda.”
Biasanya umi ketawa dengan kata-kata aku. Tetapi pagi itu rasa gerun melampaui rasa geli hati.
Adik-adikku pula yang ketawa diiringi dengan amaran kerasku kerana mereka seolah-olah berlengah untuk kesekolah.
Abah dengan bergayanya mencapai telefon bimbit (baru topup agaknya) mendail 999 dan bercakap dengan slang KL untuk melaporkan hal itu kepada pihak berwajib. Adik-adikku ketawa mendengar abah bertutur seperti itu. Aku hanya diam sahaja. Nanti giliran aku bercakap dengan rakan-rakanku dari pantai barat, abah pula yang ketawakan aku.  
 Setelah beberapa ketika. Laporan itu dibawa terus ke pejabat JPA terdekat di Marang. Adik-adikku dengan berat hati dan berat beg pergi ke sekolah hampa kerana tidak dapat menyaksikan penangkapan si Batik secara life.
Dalam masa kurang setengah jam. Pihak JPA dengan bergaya menaiki van tertera RESQUE 999 tiba. Nombor 9 yang terakhir jelas nampak ditampal-tampal kerana sebelum ini mereka dikenali sebagai RESQUE 991.
Ah, persetankan hal nombor 9 itu. Ular sawa ini yang mahu kita tangkap!
Tiga orang brader keluar dari van itu. Aku pasti mereka semua sudah mandi kerana yang seorang itu wangi mengalahkan anak dara pingitan (bagi pembaca lelaki, jangan baca ayat ini dengan nada gay). Setelah beramah mesra dengan mereka sejenak (takkan nak terus diorang tangkap ular tu kan? Kurang adab namanya) mereka pun berjalan ke arah reban sambil di usher oleh aku dan abah. Umi di atas rumah mungkin sedang menggeletar kegelian.
Aku keluarkan henset N70 ku, bukan untuk menelefon sanak saudara bertanyakan khabar mahupun untuk mendengar lagu-lagu menarik tetapi untuk menangkap gambar situasi menarik ini. Hmm. Ini menarik. 
Ya-Ha!!!
Mereka benar-benar terlatih. Dibantu dengan keadaan ular sawa itu yang memang malas bergerak. Dia seolah merelakan dirinya ditangkap. Mungkin ular itu itu tahu yang menangkapnya adalah pihak JPA. Organisasi yang tidak akan menjual dirinya kepada si cina yang menggemari daging ular sawa yang dikatakan lazat. Bagiku rasa dodol jauh lebih  sedap.
Panjang ular tersebut kira-kira tiga meter dan beratnya sekitar sembilan atau sepuluh kilogram. Empat kilogram adalah milik ayam yang dia makan. I guess.
Ular sawa itu diikat kemas didalam guni dan akan dibawa pulang ke ibu pejabat. Menurut salah seorang brader JPA tersebut. Ular sawa itu akan di bawa dan di simpan dalam satu sangkar sehingga jumlah mereka tidak tertanggung banyak, barulah ia akan dilepaskan ke kawasan hutan. Biasanya di Kenyir, Hulu terengganu; kawasan yang tidak diterokai manusia (jangan pula korang takut nak pegi Tasik Kenyir lepas ni. Tasik Kenyir kekal indah selagi Allah mengizinkannya).
van ini bernama RESQUE 999.

slot ziarah: brader2 JPA mengadakan sesi suaikenal dgn si Batik.
mereka seolah2 b'main buaian bersama ular ini. sungguh mengharukan.
mereka  dengan susah payahnya memasukkan si Batik ke dlm guni.
sungguh istimewa. perlu tiga org utk mengikatnya.


ini bukan bungkusan berisi buah rambutan.
selamat tinggal si Batik. tenanglah hidupmu di hutan sana.
alatan yg digunakan utk menangkap si Batik. hmm. ini menarik. ya-ha!

Perut si Batik besar membulat. Ingin sahaja aku tarah perutnya untuk mengeluarkan jasad ayam-ayam aku agar dapat aku semadikan mereka sebaiknya. Bukan perlu dikapan atau dibacakan talkin pun.  Tapi kalau aku tarah perutnya pada masa itu, alamatnya kepala aku pulak yang kena tarah dengan abah kerana aku berkelakuan tak bermoral. Kita mesti ada rasa ihsan terhadap binatang. Itu ajaran agama. Tidak kira ia omnivor, karnivor atau herbivor (tiga kumpulan ni je kan? Survivor tak termasuk kan?).
Daripada Abu Ya'la Syaddad bin Aus r.a beliau mendengar Rasulullah S.A.W bersabda :
"Sesungguhnya Allah mewajibkan berlaku ihsan atas semua perkara. Jika kamu membunuh, berlaku ihsanlah ketika membunuh dan jika kamu menyembelih, berlaku ihsanlah ketika menyembelih. Kamu hendaklah menajamkan pisau dan menyenangkan haiwan sembelihan." 
(riwayat Muslim)
Saat itu aku terkenang si jantan dan si anak. Lantas aku bertanya.
“Ular ni simpan dalam sangkar nanti bagi makan ape?”
“Tengoklah. Biasanya kami bagi ayam. Kadang-kadang daging.”
Aku berfikir.
 “Hai si Batik, kalau kau tahan lapar kejap. Brader-brader ni datang tangkap kau tak de lah kau susah-susah nak cari makan. Dan tak perlulah kau tamatkan riwayat ayam-ayam aku.”
Tapi aku tak boleh salahkan ular sawa itu. Memang itu makanan dia. Sebagaimana firman Allah swt:
“Begitu banyak haiwan yang tidak mampu menghasilkan rezeki mereka sendiri tetapi Allah yang mengurniakan mereka rezeki begitu juga bagaimana Allah mengurniakan kepada kamu”
(al-‘Ankabut: 60)
Dia pun ad diet die juga nak kena makan apa dan pukul berapa. Takkan kita nak paksa dia makan lobak merah kan? Kalaulah ular sawa sekadar makan lobak merah atau sayur kangkung, pasti ramai yang menjadikan ular sawa sebagai haiwan peliharaan. Sudah pasti ini akan mengakibatkan ekonomi penjual ikan hiasan merosot. Kasihan mereka.
Tapi jauh dalam hatiku yang aku tak pasti berapa kilometer jauhnya, aku berharap kejadian ini tidak berulang lagi.
Segalanya selesai. Umi menarik nafas lega. Abah melihat jam kerana sudah lewat ke tempat kerja. Aku merasa lapar tapi bukan kerana cemburu melihat si Batik kekenyangan. Normal lah pagi-pagi lapar kan?
Kepada ayam-ayamku,
Maafkan aku. Aku sudah cuba melakukan apa yang terdaya. Pintu reban itu sudah aku tutup sebaik-baiknya semalam. Bagaimana si Batik masih dapat menyusup masuk aku kurang pasti. Aku berjanji reban itu akan aku selia kembali agar ia menjadi habitat yang lebih baik untuk waris-waris peninggalanmu.
Semoga kita berjumpa lagi di syurga. 
Seperti yang terlakar di dalam al-Quran al-Karim:
“Allah yang menciptakan bagi kamu haiwan ternakan, sebahagian daripada mereka untuk ditunggangi dan sebahagiannya untuk dimakan”
(al-Ghafir: 79)
Sebagai manusia yang memelihara haiwan ternakan atau apa sahaja kategori haiwan yang dipelihara atau tidak kita pelihara sekalipun (in case kucing rumah sebelah atau haiwan liar yang lain), kita haruslah bertanggungjawab sepenuhnya akan kebajikan mereka. Makanan dan kesihatan mereka perlu diselia sebaik mungkin. Tak perlulah over sangat sampai belikan mereka baju Kiki Lala seekor sepasang, membazir namanya. Mereka juga makhluk Allah. Amanah dariNya. Hanya akal yang membezakan diri mereka dan diri kita. Haiwan juga punya perasaan dan sudah pasti mereka kepingin kasih sayang (kalau tak takkan la ayam aku kahwin sampai empat) dan jagaan selayaknya daripada tuan mereka: manusia. Haiwan ternakan itu mampu membawa rahmat dan peringatan kepada kita tentang keagunganNya.
Allah befirman:
“Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami memberi minum kepada kamu daripada apa yang terbit daripada perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah (iaitu susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya) bagi orang-orang yang meminumnya”
(al-Nahl: 66)
Peristiwa ini perlu dijadikan pedoman kepada kami sekeluarga. Aku berdoa agar perkara ini tidak berulang lagi. Kehadiran ular sawa ini adalah sebagai amaran dan kematian ayam-ayam itu adalah satu tazkirah. kita berkongsi bumi yang sama mengharap kasih suci al-Khaliq.
 

3 comments:

  1. paan awat besaq sangat ulaq tu . haihh . macam kat zoo . mai kot mana ulaq tu tiba2 ada dalam reban ? umah dekat dengan zoo kah ? kot2 terlepas . heh

    ReplyDelete
  2. paan.
    haha. best gler. tergelak2 aku bace.
    mak aku yg kt sbelah pon teruja nk tahu apsal la aku gelak2 sorg. haha

    apepon. hmm. ini menarik. satu pengalaman yg menarik yg ko ade dan dikongsi bersama.(thums up)
    tumpang sdeyh la yea atas si ayah dan si anak (ayam)..-wawa-

    selamat bercuti.hargai cuti anda. dan jage lah diri..haha

    ReplyDelete
  3. nasib baik ular sawa,bkn ular tedung/kapak @ ular yg brbisa lain...

    ReplyDelete