1) Manchester United lwn Bayern Munich
Final Liga Juara-Juara Eropah 1999
“Kebangkitan Dua Minit”
Manchester United ketinggalan dengan jaringan awal Mario Besler menerusi sepakan percuma. Empat minit masa tambahan diberikan pembantu pengadil. Teddy Sheringham menyalakan kembali cabaran Red Devils melalui jaringan berpunca daripada sepakan sudut minit ke 91. Ketika perlawanan diramalkan akan diheret ke masa tambahan 30 minit, keajaiban berlaku. Sekali lagi menerusi sepakan sudut David Beckham, bola melencong ditanduk sipi Sheringham sebelum singgah ke kaki Ole Gunnar Solksjaer menghadiahkan gol kemenangan Manchester United pada minit ke 93. Kedua-dua gol minit-minit akhir tersebut begitu mengecewakan seluruh pasukan Bayern Munich. Sehinggakan mereka tidak mampu bangun untuk memulakan kembali permainan setelah Solksjaer mengubah kedudukan menjadi 2-1. Setelah 90 minit Bayern di depan, Manchester United meraikan kejayaan empat minit terakhir untuk bergelar Juara Eropah buat kali pertama.
Jaringan kemenangan United oleh Ole Gunnar Solksjaer.
2.2) Liverpool lwn West Ham United
Final Piala FA Inggeris 2006
“Perlawanan Akhir Gerrard”
Diibaratkan sebagai perlawanan akhir Piala FA Inggeris terbaik dalam sejarah. Liverpool ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Dean Ashton dan gol sendiri Jamie Carragher. Namun jaringan Djibril Cisse dan Steven Gerrard berjaya mengikat kembali kedudukan menjadi 2-2. Paul Konchesky menerusi rembatan half-volley menarik menewaskan Jose Reina meletakkan West Ham di ambang kejuaraan. Perlawanan memasuki masa kecederaan di mana barisan Liverpool sudah tidak mempunyai masa yang cukup untuk melancarkan serangan. Dengan perlawanan berbaki beberapa saat, Steven Gerrard terpaksa melakukan rembatan kencang dari jarak 37 ela ke pintu gol West Ham untuk mencari gol sekaligus berjaya mengikat kembali kedudukan pada minit ke91. Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 3-3 namun gol saat-saat akhir Gerrard membunuh semangat melawan West Ham sehingga mereka tewas pada penentuan penalti 2-3.
Rembatan deras Steven Gerrard di minit akhir perlawanan.
3) England lwn Greece
Kelayakan Piala Dunia 2002
“Sepakan Percuma Penyelamat”
Sebelum perlawanan terakahir kumpulan bermula, di atas kertas; England perlu sekurang-kurangnya seri menentang Greece pada perlawanan terakhir. Kekalahan hanya akan membuka laluan kepada Jerman, Ukraine atau Greece mencuri tempat ke Piala Dunia sementara harapan mereka bakal terkubur. Perlawanan memasuki masa tambahan dengan kedudukan England ketinggalan 1-2. England dihadiahkan sepakan percuma lewat permainan minit 93 dan dianggap peluang terakhir mereka. David Beckham ditugaskan mengambil sepakan dalam keadaan beberapa pemain England sudah pun terduduk untuk menerima kekalahan. Kejayaan penjaga gol Greece; Antonis Nikopolidis menyelamatkan kesemua set-piece yang dimiliki England sebelum itu menjadikan hasrat mereka untuk mengikat kedudukan semakin pudar. Beckham mengambil sedikit masa biarpun perlawanan memasuki minit akhir masa kecederaan sebelum melepaskan sepakan melencong yang dinamakan “Magnus Response kick” menewaskan Nikopolidis. Perlawanan berakhir 2-2 sudah cukup menempah tiket England ke Piala Dunia dengan Beckham dijulang sebagai wira.
Sepakan lencong David Beckham melepasi benteng Greece.
4.4) Chelsea lwn Barcelona Semi-Final Liga Juara-Juara Eropah 2009
“Gol Lewat Tempat Lawan”
Pada perlawanan pertama di Nou Camp, mereka menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 0-0. Chelsea mengharapkan kemenangan ke atas Barca di laman sendiri pada perlawanan timbal balik kedua dengan harapan yang tinggi. Harapan melayakkan diri ke final untuk memburu kejuaraan pertama semakin menjadi nyata untuk Chelsea apabila jaringan tunggal Micheal Essien kekal meletakkan Chelsea di depan hingga ke masa kecederaan. Ketika perlawanan berbaki beberapa saat dengan Barca yang bermain 10 orang setelah Eric Abidal dilayangkan kad merah kontroversi, Andres Iniesta menyepikan Stamford Bridge dengan rembatan kencang ke penjuru kanan gol Chelsea untuk mengikat kedudukan. Kedudukan 1-1 meranapkan harapan Chelsea dengan Barcelona berkelebihan menerusi peraturan jaringan di tempat lawan untuk layak ke perlawanan akhir.
5.
Rembatan Andres Iniesta ke penjuru kanan gol Chelsea.
5) Terengganu lwn Kelantan Final Piala FA 2011 “Mati Hidup Semula”
Pertemuan Terengganu dan Kelantan di temasya perlawanan akhir julung-julung kalinya berlaku sejak 90 tahun kejohanan bolasepak diperkenalkan di Tanah Melayu pada 1920. Kedudukan 0-0 kekal hingga minit ke 78 sebelum hantaran pantas Shakir Ali bijak disempurnakan Nurul Azwan Roya menerusi bola lambungan melepasi Sharbinee Allawee. Masa kecederaan 7 minit diberikan pengadil ekoran perlawanan yang terhenti seketika di awal babak kedua. Ketika Kelantan diambang kejuaraan, serangan terakhir Terengganu lima saat sebelum perlawanan berakhir mengubah cerita perlawanan itu. Hantaran Ashari Syamsuddin disebelah kanan padang disambut Manaf Mamat yang melakukan larian solo sebelum melepaskan rembatan deras. Sepakan itu berjaya diselamatkan Khairul Fahmi, namun bola melantun menuju tepat ke kepala Daudsu Jamaluddin yang tidak mampu berbuat apa-apa meletakkan bola ke gawang sendiri. Seperti mati hidup semula, gol sendiri itu begitu bermakna buat Terengganu yang akhirnya mendominasi keseluruhan 30 minit masa tambahan. Terengganu muncul juara 2-1 menerusi jaringan masa tambahan minit 108 Nordin Alias berpunca daripada sepakan penjuru.
Nordin Alias meraikan kejayaan menjaringkan gol.
6.6) England lwn Perancis
Peringkat Kumpulan EURO 2004
"Hadiah Masa Kecedaran Zidane"
Menemukan dua jaguh dunia dengan barisan pemain ternama, perlawanan dilihat seimbang. England dan Perancis dipisahkan dengan jaringan tunggal Frank Lampard pada awal aksi babak pertama. England berpeluang menggandakan pendahuluan apabila dikurniakan sepakan penalti setelah Wqayne Rooney dikasari. Namun Fabien Barthez menjadi satu-satunya manusia di planet ini berjaya menyelamatkan sepakan penalti David Beckham. Perlawanan bakal berakhir dengan keputusan 1-0 sebelum ia sama sekali berubah. Menerusi dua hadiah bola mati; penalti dan sepakan percuma lewat permainan, Zinedine Zidane membuktikan ketajaman sepakannya dengan menyempurnakan kedua-dua peluang tersebut. Jaringan minit 90 dan 92 itu memberikan tiga mata berharga buat skuad Les Blues.
Zidane menyempurnakan sepakan percuma.
7) Itali lwn Perancis
Final EURO 2000
"Kejayaan Gol Emas"
Perancis yang masih segar dengan kejuaraan dunia 1998 bertemu Itali pada perlawanan akhir. Final tunggal yang ditentukan menerusi sistem Golden-Goal (sistem ini telah dimansuhkan) dalam sejarah EURO. Marco Delvechio meletakkan Itali di depan pada minit ke 55 sehingga ke masa kecederaan. Sylvain Wiltord yang masuk sebagai pemain gantian mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol lewat pada minit 94 untuk memberi peluang kedua bagi Les Blues. Perlawanan diheret ke masa tambahan sudden-death. Seorang lagi pemain gantian, David Trezeguet menamatkan perlawanan serta merta apabila menyambut hantaran Robert Pires sebelum merembat deras melepasi Francesco Toldo. Perancis akhirnya muncul juara dengan jaringan emas Trezeguet.
Trezeguet dengan half-volley bergaya.
8.8) Tottenham United lwn Manchester City
Pusingan ke-4 Piala FA Inggeris 2004
“Keajaiban Empat Gol”
Manchester City ketinggalan 0-3 seawal babak pertama berdepan Spurs. Prestasi buruk Nicolas Anelka dan insiden kad merah Joey Barton sebelum tamat babak pertama memburukkan lagi keadaan. Sylvain Distin membangkitkan semangat melawan City dengan jaringan minit 48 diikuti jaringan sendiri Anthony Gardner minit 61 merapatkan jurang menjadi 2-3. Ketika permainan berbaki 10 minit, Wright-Phillips mengikat kembali kedudukan 3-3 dengan menewaskan Kessey Keller di pintu gol. Ketika perlawanan bakal berlanjutan ke masa tambahan, Kessey Keller dan seluruh kem Spurs dikejutkan dengan jaringan minit ke 90 City menerusi rembatan John Macken. Perlawanan tamat dengan keputusan 4-3 dengan skrip menakjubkan dilakar pemain-pemain Manchester City yang terlebih dahulu ketinggalan tiga gol. Separuh masa kedua nyata menjadi milik mereka.
Serangan minit akhir dilancarkan Manchester City.
9) Liverpool lwn AC Milan Final Liga Juara-Juara Eropah 2005 “Kegilaan Enam Minit”
Skrip yang agak sama. AC Milan turun sebagai pasukan pilihan dan membuktikan mengapa mereka dilabel seperti itu. Seawal minit ketiga mereka di depan menerusi volley menarik kapten Paolo Maldini. Keseluruhan babak pertama didominasi sepenuhnya AC Milan yang ditamatkan dengan kedudukan 3-0 menerusi dua lagi jaringan Hernan Crespo. Babak kedua menghadirkan skrip yang berbeza. Kemasukan ‘The Kazier’ Didi Hamann buat Liverpool mengubah tempo permainan. Kapten pasukan Steven Gerrard membakar semangat melawan The Reds menerusi tandukan cantik untuk gol pertama mereka pada minit ke 60. Hanya enam minit kemudian, kedudukan terikat menjadi 3-3. Rembatan melencong Vladimir Smicer minit ke 64 dan sepakan penalti Xabi Alonso minit ke 66 menyempurnakan Misi Mustahil mereka berdepan jaguh Eropah itu. perlawanan kekal terikat 3-3 dan diheret ke penentuan penalti yang dimenangi Liverpool dengan keputusan 3-2.
Gol pertama tandukan Gerarrd untuk kebangkitan The Kop.
10) Portugal lwn Korea Utara
Quarter-Final Piala Dunia 1966
"Amukan Eusebio"
Sememangnya Korea Utara mengejutkan dunia pada kejohanan itu. Hadir sebagai pasukan kerdil Asia, mereka mengejutkan pasukan Itali pada peringkat kumpulan untuk mara ke suku akhir. Ini sekaligus menjadikan Korea Utara sebagai pasukan pertama dari Asia yang berjaya mara ke suku akhir Piala Dunia. Pada suku akhir, Korea Utara bertemu dengan Portugal. Mereka berjaya mendahului Portugal dengan 3-0 menerusi jaringan Seung-Zin Pak, Dong-Woon Lee dan Seung-Kook Yang. Permata hitam Portugal, Eusebio mengubah senario perlawanan. Eusebio menyumbangkan empat gol berturut-turut dengan dua daripadanya menerusi sepakan penalti menewaskan Chang-Myung Lee. Tidak cukup dengan empat gol Eusebio untuk kedudukan 4-3, Jose Augusto menamatkan perlawanan dengan kedudukan 5-3 menerusi jaringan lewat permainan.
Jaringan keempat Eusebio melenyapkan penguasaan Korea.
Zahir ungkapan bibirku tak bisa merumus simpulan kasih
Limpah budimu kau curahkan ikhlas tak pernah merintih
Luhur pekertimu umpama pepasir di pantai memutih
Semoga dirimu di dalam rahmat Yang Maha Pengasih.
Engkaulah ibuku dan kau jugalah guruku
Bait nasihatmu setia menemani hari-hariku
Memimpin diriku menyusur jalan penuh berliku
Menagih rahmat mengharap redha Yang Maha Satu.
Indahnya saujana pagi dibelai percikan mentari
Indah senyumanmu bersinar menggembirakan hati
Seperti mentari yang tak pernah jemu menyinari bumi
Begitulah kasihmu menyinari hidupku tak pernah mati.
Maaf kupohon segala khilaf cela diriku
Andai perilaku diriku menggores hatimu
Redha kutagih daripadaNya dan juga dirimu
Agar diriku tidak terbabas dibuai nafsu.
Angin bayu bertiup nyaman tenang dan mendinginkan
Meniup udara rangkuman cinta tak berkesudahan
Begitulah nyamannya kasih suci engkau hembuskan
Membelai dirkui dari helah dunia yang mempesonakan.
Hari-hari kulalui terlalu bermakna berkat bimbinganmu
Semoga dirimu dirahmati Allah sebgaimana kau mengasihiku Ya Allah limpahkan rahmatmu ke atas kedua ibubapaku Sebagaimana kasih mereka yang sentiasa menyelimutiku.
Pagi mula mencerah menerangi segenap penjuru kampung halamanku. Dedaun pepohon kelapa melambai dek tiupan bayu pantai yang mengarak beburung yang berterbangan. Berkicauan memainkan melodi tenang menemani penduduk desa nan permai. Cukup menenangkan diriku yang sedang menikmati cuti akhir semester tanpa sebarang tekanan. Bahang peperiksaan akhir semester telah berlalu. Empat belas hari yang memenatkan minda. Sekarang aku punya empat belas hari lagi untuk merehatkan minda.
Pagi itu seperti lain-lain harinya, pertama kali aku jejakkan langkah apabila cerah tanah sudah pasti destinasi pertamaku ke arah reban ayam yang terletak lebih kurang dua puluh meter dari rumah. Sambil menatang bekas tupperware yang sarat dipenuhi makanan mereka berupa jejagung beku.
Nyenyakkah tidur mereka malam tadi?
Enam ekor kesemuanya. Seekor ayam jantan yang beristerikan empat ekor ayam betina (hidup bermadu tidak sukar bagi mereka berkongsi kasih, tetapi dalam hati siapa yang tahu?). Pasangan ini dihiasi dengan kehadiran cahayamata seekor ayam betina yang masih kurus. Melihat si anak ayam itu hati aku sebak mengenangkan tiga ekor adik beradiknya yang sudah mati beberapa bulan lalu atas beberapa alasan, yang pasti ia bukan kerana keganasan rumahtangga.
Hidup mereka harmoni.
Biarpun kadang-kadang mereka berebut makanan. Dah nama pun haiwan kan? Takkan nak berebut mp3 (entri ini dikarang ketika aku sedang mendengar mp3....bateri tinggal satu bar).
Tapi pagi itu...
Sesuatu yang kurang beres dapat aku rasakan. Biasanya kehadiran aku disambut dengan kokokan nyaring si jantan. Kokokan yang kekadang menyebabkan tanganku ini ringan sahaja rasanya nak capai pisau untuk melakukan upacara penyembelihan serta merta jika ia dilaungkan tidak kena pada masa dan tempatnya. Sabor je lah. Kalau aku lakukan hal itu sekarang, nanti raya nak makan ape? Gulai monyet? Haram.
Pagi itu, kokokan itu tiada kedengaran seperti kebiasaannya. Takkan si jantan sakit tekak kot? Kalau ya, hidangan jejagung pagi itu akan aku tukarkan kepada strepsils. Tapi tengok bajet abah aku jugalah kot nak bagi benda tu sebagai hidangan.
Hampir tiba di depan pintu reban. Aku mendengar bunyi bingit dari dalam reban. Mustahil mereka mengadakan pesta. Tiada apa untuk diraikan. Pun begitu, masakan aku tidak dijemput?
Aku memang tidak kisah kalau mereka mahu adakan parti liar asalkan tiada hidangan minuman keras dan hiburan yang melalaikan. Walaupun diorang (aku tau mereka binatang tapi biarlah aku gunakan kata ganti nama diorang) tidak solat lima waktu apa lagi berpuasa di bulan ramadhan, tapi aku tahu sikap diorang sudah cukup bermoral dalam kategori haiwan: ayam.
Sesekali diorang berak merata nak buat macam mana. Biasalah tu. Kalau diorang request tandas peribadi nanti tak ke effect bajet ekonomi tuan rumah? Hmm. Ini menarik.
Ya-Ha!!!
Perlahan-lahan aku selak pintu reban dengan berhati-hati. Memandangkan adikku pula baru sahaja pulang daripada perkhemahan tempoh hari, maka sempatlah aku kebas lampu suluhnya yang agak menarik pada penilaianku. Hari masih kelam jadi lampu suluh itu berguna. Aku tersenyum memandang mereka yang masih tidak berhenti berkokok seolah-olah memprotes diriku yang cuba menggangu parti mereka. Yalah, aku tidak dijemput pun.
Satu.
Dua.
Tiga.
Empat.
Kemana yang kelima dan enam?
Bilangan mereka tidak cukup. Aku sudah kira dengan cermat. Masih terngiang-ngiang ajaran cikgu matematik darjah satuku dahulu tentang cara mengira dengan betul. Ya. Aku tidak silap kali ini. Memang aku pernah gagal ujian matematik. Tapi ketika darjah satu. Aku cemerlang.
Hanya empat.
Aku suluh satu persatu. Ke segenap penjuru reban yang berbentuk segi empat sama. Si anak dan si jantan tiada. Tidak mungkin mereka lari dari rumah. Sesungguhnya kasih kami terhadap mereka tidak berbelah bagi. Mana mungkin mereka melarikan diri. Adakah si jantan bermain kayu tiga?
Tak mungkin. Isteri dah empat. Takkan tak cukup.
Si anak pula dimana? Dia tidak tinggal di asrama yang jauh daripada keluarga. Sekolah pun tidak, ini kan pula hendak berasrama bagai. Berasmara? Mungkin. Tapi apabila dia dewasa nanti (pembaca bawah 18 tahun perlu bimbingan orang dewasa).
Aku mula merasa sesuatu yang tak suka dirasakan. Perasaan kurang senang menyelubungi minda.
Dan segala misteri itu terjawab serta merta. Misteri kehilangan si jantan dan si anak.
Di sudut reban berhadapan denganku. Kira-kira setengah meter sahaja dari kakiku, berlingkar seekor ular sawa yang besar dan panjang. Sedang beristirehat kekenyangan. Jika aku selangkah ke hadapan pasti aku terpijak dirinya.
Aku undur ke belakang selangkah dan aku lalukan limpahan cahaya lampu suluh ke arahnya. Ya, benar. Si Batik sedang berlingkar kekenyangan.
Aku tahu si Batik yang kekenyangan seperti itu tidak akan berganjak dari tempatnya walaupun menyedari kehadiran manusia. Dasar pemalas (si Batik, maaf bahasaku agak keras terhadapmu). Dua daripada empat ayam yang lain sudah keluar dari reban penuh ketakutan. Aku yakin mereka takut. Tak perlu ditanya secara verbal lagi, memang jelas mereka ketakutan.
Aku simpan lampu suluh didalam poket dengan cermat. Keadaan yang kelam menyebabkan pandangan ayam-ayam itu masih rabun. Jika mereka mengenakan kacamata atau contact lense sekalipun aku pasti pandangan mereka tetap kabur. Aku capai kedua-dua ekor ayam itu dengan penuh kasih sayang (sebenarnya secara agresif) dan membawa mereka keluar dari reban. Setelah itu pintu reban itu ditutup rapat. Tinggalah si Batik seorang seekor diri di dalamnya. Sekelip mata sahaja, reban ayam bertukar menjadi reban ular.
Abah dan umi masih di rumah sedang mempersiap diri untuk ke tempat kerja masing-masing. Bagaimana ingin kusampaikan berita ini? Abah mungkin rilek-rilek sahaja. Tapi umi sudah pasti akan kaget seperit terkena kejutan elektrik. Kalau jumpa telur ayam tak mengapa, ini jumpa ular sawa dan ianya berbahaya.
Berita itu tetap kusampaikan. Isu ini bukan bersifat peribadi untuk dirahsiakan.
Seperti kujangkakan, umi mulai kaget bertanyakan keadaan aku. Aku hanya tertunduk dan menjawab ringkas.
“Along selamat tetapi ayam-ayam lain yang tinggal sudah berstatus janda.”
Biasanya umi ketawa dengan kata-kata aku. Tetapi pagi itu rasa gerun melampaui rasa geli hati.
Adik-adikku pula yang ketawa diiringi dengan amaran kerasku kerana mereka seolah-olah berlengah untuk kesekolah.
Abah dengan bergayanya mencapai telefon bimbit (baru topup agaknya) mendail 999 dan bercakap dengan slang KL untuk melaporkan hal itu kepada pihak berwajib. Adik-adikku ketawa mendengar abah bertutur seperti itu. Aku hanya diam sahaja. Nanti giliran aku bercakap dengan rakan-rakanku dari pantai barat, abah pula yang ketawakan aku.
Setelah beberapa ketika. Laporan itu dibawa terus ke pejabat JPA terdekat di Marang. Adik-adikku dengan berat hati dan berat beg pergi ke sekolah hampa kerana tidak dapat menyaksikan penangkapan si Batik secara life.
Dalam masa kurang setengah jam. Pihak JPA dengan bergaya menaiki van tertera RESQUE 999 tiba. Nombor 9 yang terakhir jelas nampak ditampal-tampal kerana sebelum ini mereka dikenali sebagai RESQUE 991.
Ah, persetankan hal nombor 9 itu. Ular sawa ini yang mahu kita tangkap!
Tiga orang brader keluar dari van itu. Aku pasti mereka semua sudah mandi kerana yang seorang itu wangi mengalahkan anak dara pingitan (bagi pembaca lelaki, jangan baca ayat ini dengan nada gay). Setelah beramah mesra dengan mereka sejenak (takkan nak terus diorang tangkap ular tu kan? Kurang adab namanya) mereka pun berjalan ke arah reban sambil di usher oleh aku dan abah. Umi di atas rumah mungkin sedang menggeletar kegelian.
Aku keluarkan henset N70 ku, bukan untuk menelefon sanak saudara bertanyakan khabar mahupun untuk mendengar lagu-lagu menarik tetapi untuk menangkap gambar situasi menarik ini. Hmm. Ini menarik.
Ya-Ha!!!
Mereka benar-benar terlatih. Dibantu dengan keadaan ular sawa itu yang memang malas bergerak. Dia seolah merelakan dirinya ditangkap. Mungkin ular itu itu tahu yang menangkapnya adalah pihak JPA. Organisasi yang tidak akan menjual dirinya kepada si cina yang menggemari daging ular sawa yang dikatakan lazat. Bagiku rasa dodol jauh lebih sedap.
Panjang ular tersebut kira-kira tiga meter dan beratnya sekitar sembilan atau sepuluh kilogram. Empat kilogram adalah milik ayam yang dia makan. I guess.
Ular sawa itu diikat kemas didalam guni dan akan dibawa pulang ke ibu pejabat. Menurut salah seorang brader JPA tersebut. Ular sawa itu akan di bawa dan di simpan dalam satu sangkar sehingga jumlah mereka tidak tertanggung banyak, barulah ia akan dilepaskan ke kawasan hutan. Biasanya di Kenyir, Hulu terengganu; kawasan yang tidak diterokai manusia (jangan pula korang takut nak pegi Tasik Kenyir lepas ni. Tasik Kenyir kekal indah selagi Allah mengizinkannya).
van ini bernama RESQUE 999.
slot ziarah: brader2 JPA mengadakan sesi suaikenal dgn si Batik.
mereka seolah2 b'main buaian bersama ular ini. sungguh mengharukan.
mereka dengan susah payahnya memasukkan si Batik ke dlm guni.
sungguh istimewa. perlu tiga org utk mengikatnya.
ini bukan bungkusan berisi buah rambutan.
selamat tinggal si Batik. tenanglah hidupmu di hutan sana.
alatan yg digunakan utk menangkap si Batik. hmm. ini menarik. ya-ha!
Perut si Batik besar membulat. Ingin sahaja aku tarah perutnya untuk mengeluarkan jasad ayam-ayam aku agar dapat aku semadikan mereka sebaiknya. Bukan perlu dikapan atau dibacakan talkin pun. Tapi kalau aku tarah perutnya pada masa itu, alamatnya kepala aku pulak yang kena tarah dengan abah kerana aku berkelakuan tak bermoral. Kita mesti ada rasa ihsan terhadap binatang. Itu ajaran agama. Tidak kira ia omnivor, karnivor atau herbivor (tiga kumpulan ni je kan? Survivor tak termasuk kan?).
Daripada Abu Ya'la Syaddad bin Aus r.a beliau mendengar Rasulullah S.A.W bersabda :
"Sesungguhnya Allah mewajibkan berlaku ihsan atas semua perkara. Jika kamu membunuh, berlaku ihsanlah ketika membunuh dan jika kamu menyembelih, berlaku ihsanlah ketika menyembelih. Kamu hendaklah menajamkan pisau dan menyenangkan haiwan sembelihan."
(riwayat Muslim)
Saat itu aku terkenang si jantan dan si anak. Lantas aku bertanya.
“Ular ni simpan dalam sangkar nanti bagi makan ape?”
“Tengoklah. Biasanya kami bagi ayam. Kadang-kadang daging.”
Aku berfikir.
“Hai si Batik, kalau kau tahan lapar kejap. Brader-brader ni datang tangkap kau tak de lah kau susah-susah nak cari makan. Dan tak perlulah kau tamatkan riwayat ayam-ayam aku.”
Tapi aku tak boleh salahkan ular sawa itu. Memang itu makanan dia. Sebagaimana firman Allah swt:
“Begitu banyak haiwan yang tidak mampu menghasilkan rezeki mereka sendiri tetapi Allah yang mengurniakan mereka rezeki begitu juga bagaimana Allah mengurniakan kepada kamu”
(al-‘Ankabut: 60)
Dia pun ad diet die juga nak kena makan apa dan pukul berapa. Takkan kita nak paksa dia makan lobak merah kan? Kalaulah ular sawa sekadar makan lobak merah atau sayur kangkung, pasti ramai yang menjadikan ular sawa sebagai haiwan peliharaan. Sudah pasti ini akan mengakibatkan ekonomi penjual ikan hiasan merosot. Kasihan mereka.
Tapi jauh dalam hatiku yang aku tak pasti berapa kilometer jauhnya, aku berharap kejadian ini tidak berulang lagi.
Segalanya selesai. Umi menarik nafas lega. Abah melihat jam kerana sudah lewat ke tempat kerja. Aku merasa lapar tapi bukan kerana cemburu melihat si Batik kekenyangan. Normal lah pagi-pagi lapar kan?
Kepada ayam-ayamku,
Maafkan aku. Aku sudah cuba melakukan apa yang terdaya. Pintu reban itu sudah aku tutup sebaik-baiknya semalam. Bagaimana si Batik masih dapat menyusup masuk aku kurang pasti. Aku berjanji reban itu akan aku selia kembali agar ia menjadi habitat yang lebih baik untuk waris-waris peninggalanmu.
Semoga kita berjumpa lagi di syurga.
Seperti yang terlakar di dalam al-Quran al-Karim:
“Allah yang menciptakan bagi kamu haiwan ternakan, sebahagian daripada mereka untuk ditunggangi dan sebahagiannya untuk dimakan”
(al-Ghafir: 79)
Sebagai manusia yang memelihara haiwan ternakan atau apa sahaja kategori haiwan yang dipelihara atau tidak kita pelihara sekalipun (in case kucing rumah sebelah atau haiwan liar yang lain), kita haruslah bertanggungjawab sepenuhnya akan kebajikan mereka. Makanan dan kesihatan mereka perlu diselia sebaik mungkin. Tak perlulah over sangat sampai belikan mereka baju Kiki Lala seekor sepasang, membazir namanya. Mereka juga makhluk Allah. Amanah dariNya. Hanya akal yang membezakan diri mereka dan diri kita. Haiwan juga punya perasaan dan sudah pasti mereka kepingin kasih sayang (kalau tak takkan la ayam aku kahwin sampai empat) dan jagaan selayaknya daripada tuan mereka: manusia. Haiwan ternakan itu mampu membawa rahmat dan peringatan kepada kita tentang keagunganNya.
Allah befirman:
“Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami memberi minum kepada kamu daripada apa yang terbit daripada perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah (iaitu susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya) bagi orang-orang yang meminumnya”
(al-Nahl: 66)
Peristiwa ini perlu dijadikan pedoman kepada kami sekeluarga. Aku berdoa agar perkara ini tidak berulang lagi. Kehadiran ular sawa ini adalah sebagai amaran dan kematian ayam-ayam itu adalah satu tazkirah. kita berkongsi bumi yang sama mengharap kasih suci al-Khaliq.
Pak Amirul yang sedang sakit dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan. Selepas didaftarkan dan menjalani orientasi ward oleh Student Nurse Shatirah, Pak Amirul berehat-rehat di koridor ward.
Pak Amirul duduk berehat sambil melihat pemandangan matahari terbenam yang indah. Tiba-tiba Pak Amirul mencondongkan badannya ke kanan.
Student Nurse Shatirah dengan cekap menyambutnya agar tidak terjatuh dan menegakkan badannya kembali.
Beberapa saat kemudian sekali lagi Pak Amirul mencondongkan badannya, kali ini ke kiri. Sekali lagi dengan tangkas Student Nurse Shatirah menegakkan badannya kembali.
Begitulah yang terjadi selama beberapa ketika.
Akhirnya dengan bantuan Student Nurse Fikriey, Student Nurse Shatirah memapah Pak Amirul kembali berehat di katilnya.
Keesokan hari, anaknya datang melawat.
"Bagaimana keadaan ayah di sini?" tanya anaknya.
" Semuanya bagus nak . Tilamnya empuk, layanannya baik. Doktor dan jururawat pun mesra. Tapi ada satu masalah"
"Masalah apa ayah?"
Seorang lelaki menelefon Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk memberitahu yang isterinya sudah mahu bersalin. Student Nurse Adriana menjawab panggilan telefon lelaki itu dengan ramah dan penuh sopan.
Lelaki : Hello... tolong saya sebab isteri saya nak bersalin!
Adriana : Sila bertenang. InsyaAllah kami akan mambantu. Ini anaknya yang pertamakah?
Lelaki : Apa pulak? Saya suami dia lah.
Adriana : Erh? (saya tanya anak yang dalam kandungan tu la encik).
Kejadian ini juga berlaku di Hospital Tengku Ampuan Afzan. Terdapat tiga orang suami yang sedang menunggu isteri masing-masing bersalin. Seketika kemudian, Student Nurse Shafareeza menghampiri lelaki yang pertama.
Shafareeza : Tahniah, anda memdapat anak kembar dua.
Suami 1 : Wah. Eloklah tu. Saya bekerja di Menara berkembar KLCC.
Kemudian, Student Nurse Shafareeza keluar dan menghampiri lelaki yang kedua.
Shafareeza : Tahniah, encik mendapat kembar tiga.
Suami 2 : Bagus!! Saya bekerja di TV3 .
Kemudian, Student Nurse Shafareeza keluar dan menghampiri lelaki yang ketiga yang agak gelisah.
Shafareeza : Encik.. kenapa begitu gelisah? Hospital ini adalah yang terbaik di Pahang.
Suami 3 : Saya tidak dapat bayangkan bagaimana seksanya isteri saya.
Shafareeza : Kenapa?
Suami 3 : Saya bekerja dekat tingkat 8 hospital ini.
Teladanilah taubat si Adam ikhlas berserah
Teladanilah cucukan jarum Idris dek olokan syaitan
Teladanilah kesungguhan Nuh di saat fatrah
Teladanilah kesabaran Hud menahan ejekan
Jika engkau mengaku para rasul itu teladanmu..
Teladanilah pekerti Saleh penuh hemat
Teladanilah redha Ibrahim menelan dugaan
Teladanilah kesungguhan Lut membasmi maksiat
Teladanilah ketaatan Ismail menjalankan suruhan
Jika engkau mengaku para rasul itu teladanmu..
Teladanilah kasih Ishak terhadap anaknya Ishu
Teladanilah adilnya Yaakub di antara dua bulan
Teladanilah kekentalan Yusuf dipenjara sekian waktu
Teladanilah ketabahan Ayub melayan ujian
Jika engkau mengaku para rasul itu teladanmu..
Teladanilah kehalusan Shuaib perihal neraca
Teladanilah kegagahan Musa mendepani Firaun
Teladanilah kesetiaan Harun menyebarkan ajaranNya
Teladanilah istiqamahnya Zulkifli melakukan amalan
Jika engkau mengaku para rasul itu teladanmu..
Teladanilah keberanian Daud berdepan si Jalut
Teladanilah kepakaran Sulaiman membina wilayah
Teladanilah kesedaran Ilyasa melerai simpul ikatan kusut
Teladanilah perjuangan Ilyas menidakkan si Ba’l berdiri megah
Jika engkau mengaku para rasul itu teladanmu..
Teladanilah keinsafan Yunus di selebung selimut sesalan
Teladanilah ketekadan Zakaria sehingga diri akhirnya terbelah
Teladanilah keyakinan Yahya mengajak manusia kepada Tuhan
Teladanilah kecekalan Isa meneruskan langkah berdepan khinayah
Jika engkau mengaku Rasulullah itu teladanmu..
Sebarkanlah lembaran ajaran sunnah lakunya
Hargailah keringat pengorbanan umur hayatnya
Amalkanlah sisipan pesanan Sahabat baginda
Teladanilah sepenuh hati seikhlas rasa